Desas Desus Bakal Exco Negeri Sembilan

SEREMBAN, 17 Mei – ‘Tsunami’ Malaysia yang berlaku pada 9 Mei lalu, menyebabkan negara ditadbir dengan pemerintahan kerajaan baharu mendapat mandat penuh untuk membentuk kerajaan.

(Gambar atas) Siew Fook, Arul Kumar & Mohd Taufek

Keputusan PRU14, menunjukkan rakyat mahu perubahan dan berharap barisan pimpinan dalam Parti Harapan (Harapan) dapat membantu memulihkan semula negara, termasuklah di peringkat kerajaan negeri.

Di Negeri Sembilan, tempias gelombang rakyat juga berlaku, apabila negeri penuh beradat ini menunjukkan peralihan kuasa daripada BN kepada Harapan.

Daripada 36 kerusi Dun di negeri ini, BN hanya berjaya memperoleh 16 kerusi sahaja, berbanding 20 kerusi milik Harapan.

Peralihan kuasa kerajaan negeri berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni, masing-masing menghormati sistem demokrasi yang diamalkan negara dengan menghormati pilihan rakyat.

Dengan kemenangan tersebut, Pengerusi Harapan Negeri, Aminuddin Harun dilantik Menteri Besar yang ke-11, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawair.

Majlis Angkat Sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, pada 12 Mei di Istana Besar Seri Menanti, berjalan lancar dengan kehadiran penyokong Harapan, yang telah menunggu sekian lama detik bersejarah ini.

Manakan tidak, hampir 61 tahun mereka berjuang untuk menumbangkan kerajaan BN, akhirnya kini impian menjadi kenyataan.

Formula 4-4-2?

Setelah pelantikan MB selesai, kini gerak kerja perlu diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pemilihan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Barisan exco mantap dan padu perlu disediakan bagi membantu MB melaksanakan tugas pentadbiran kerajaan dengan sempurna.

Adakah mungkin gabungan muka baharu dan senior akan dijadikan teras kepada pembentukan barisan exco nanti?

Fokus untuk memenuhi semua tawaran dalam manifesto yang dilancarkan sebelum ini perlu dilaksanakan dengan baik kerana itu akan menjadi penanda aras kepada pemilihan rakyat pada PRU15.

Jika semua janji dalam manifesto dipenuhi, sudah pasti melegakan hati rakyat yang memilih, namun jika sebaliknya, mereka sendiri yang perlu menanggung akibat daripada kelalaian memenuhi manifesto yang dijanjikan.

Siapa bakal exco yang akan dilantik? Adakah formula 4-4-2 akan diguna pakai pada pemilihan Exco Kerajaan Negeri di sini? Sehingga kini masih lagi belum dapat dipastikan.

Melalui pengumuman MB kelmarin, seramai 10 jawatan exco disenarai dan disembahkan kepada Tuanku Muhriz untuk mendapatkan perkenan terlebih dahulu.

Namun, siapa barisan exco itu tidak dinyatakan, malah pembahagian komposisi juga belum dimuktamadkan lagi.

Apa yang pasti, barisan Exco Kerajaan Negeri ini mestilah terdiri daripada mereka yang bijak pandai, mantap dalam melaksanakan tugas dan mampu memikul tanggungjawab dengan penuh amanah.

Ramalan Demi Damalan

Ramai yang menduga Adun Paroi, Mohd Taufek Abd Ghani yang mewakili Parti Amanah akan dipilih menyertai barisan exco, memandangkan beliau mempunyai pengalaman dalam sidang dewan Dun, dan mempunyai latar belakang yang cemerlang.

Selain itu, beberapa nama lain yang disebut-sebut bakal menganggotai barisan exco, adalah Adun Ampangan, Dr Rafie Ab Malek (PKR); Adun Labu, Ismail Ahmad (PKR); Adun Klawang, Bakri Sawir (Amanah), Adun Repah, Veerapan (DAP) dan yang pasti Adun Nilai, Arul Kumar (DAP), merangkap Naib Ketua Pemuda Harapan Malaysia.

Memandangkan beliau masih muda dan bertenaga, ramai yang jangka sudah pasti beliau adalah orang paling layak menjawat jawatan Exco Belia dan Sukan, dan tidak hairanlah jika nama ini naik memegang jawatan tersebut.

Begitu juga dengan pemimpin paling popular, Anthony Loke Siew Fook, nama beliau tidak terkecuali tersenarai dalam barisan exco.

Disebabkan Siew Fook berjaya kedua-dua kerusi yang ditandinginya (Dun Chennah dan Parlimen Seremban), sudah pasti ada jawatan terpenting akan diberikan kepadanya di bahagian kementerian.

Namun begitu, di peringkat kerajaan negeri, adakah beliau juga akan tersenarai? Jika begitu keadaannya, Siew Fook perlu membuat keputusan bijak, sama ada melaksanakan tugas menjaga kementerian, mahupun menjadi seorang ahli Exco Kerajaan Negeri, atau mungkin beliau akan memangku kedua-dua jawatan tersebut?

Sama-samalah kita saksikan, pengumuman pelantikan exco.

Nama-nama disebut itu hanya spekulasi sahaja, namun siapa juga orangnya, kerajaan negeri perlu pastikan individu tersebut mestilah benar-benar layak dan boleh bersama membantu dalam hal ehwal pentadbiran, sekali gus memenuhi setiap manifesto yang dijanjikan.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian (17 MEI 2018)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.