Asal Usul Nama Rembau, Negeri Sembilan

satu program percuma khas oleh orangnogori.com

Bila sebut sahaja “Saya Orang Rembau”, sudah pasti orang akan mengaitkannya dengan lagu “Rembau Most Wanted” nyanyian Waris. Malah, tak kurang juga mengaitkannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin ataupun Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana kedua-duanya pemimpin ini berasal dari Rembau.

peta rembau

REMBAU merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang banyak menyimpan sejarah kedatangan orang-orang Minangkabau di Negeri Sembilan. Malah Rembau menjadi tempat berkumpulnya orang-orang Minangkabau untuk memulakan penghidupan baru di tanah melayu.

Nama Rembau diambil dari nama sejenis pokok yang bernama Merbau. Kisah bermula apabila sekumpulan orang asli terjumpa sebatang pokok Merbau yang amat besar dan tinggi menjulang. Pokok tersebut tumbuh di kaki Gunung Datuk. Gunung Datuk banyak menyimpan kisah sejarah dan kini orang ramai suka mendakinya sebagai salah satu aktiviti mendaki gunung.

pokok merbau

Nama Rembau bermula dari peristiwa sekumpulan orang-orang asli yang diketuai oleh Batin Sekudai hendak membuat penempatan baru di kaki Gunung Datuk. Semasa membuat kerja menebas dan menebangdalam usaha membersihkan kawasan tersebut mereka terjumpa sebatang pokok yang amat besar dan tinggi menjulang yang dikenali dengan nama Pokok Merbau. Setelah bebincang akhirnya mereka membuat keputusan menebang pokok itu kerana kawasan tersebut hendak dijadikan tempat kediaman. Mereka bimbang pokok yang besar itu akan membahayakan keselamatan mereka. Maka mereka pun menebang pokok Merbau tersebut secara bergilir-gilir dengan menggunakan kapak dan beliung. Mereka berkerja siang dan malam selama tujuh hari tujuh malam. Tetapi apa yang menghairankan mereka ialah pokok tersebut masih juga tidak mahu tumbang.

Setelah genap tujuh hari tujuh malam mereka berusaha untukmenumbangkan pokok Merbau tersebut tetapi masih tidak berjaya, akhirnya mereka mengadukan perkara itu kepada seorang Bomoh yang paling handal di kalangan mereka. Dan setelah bomoh itu melihat pokok tersebut maka bomoh itu menyuruh orang-orang asli itu mendaki Gunung Datuk hingga sampai ke kemuncak. Kemudian mereka hendaklah meminta izin dari penunggu Gunung tersebut untuk menebang pokok Merbau tua itu.

panaroma gunung datuk

Esoknya beberapa orang asli mendaki Gunung Datuk dengan membawa pelbagai persembahan untuk diberikan kepada penunggu yang dipercayai berada di puncak gunung tersebut. Setelah sampai dipuncak Gunung Datuk, mereka pun menyeru nama penunggu gunung itu sambil meminta kebenaran untuk menebang pokok Merbau tua yang tumbuh di kaki gunung itu. Setelah selesai mereka pun pulang kerumah masing-masing.

Pada malamnya turunlah hujan lebat bersama ribut kencang. Dan pada keesokan paginya mereka beramai-ramai keluar dari rumah masing-masing menuju ke pokok Merbau tua itu untuk meneruskan kerja mereka untuk menebang pokok tersebut.

peta rembau

Tetapi alangkah terperanjatnya mereka bila melihat pokok Merbau tua yang amat besar dan tinggi itu sudah pun tumbang menyembah bumi. Mereka amat hairan melihat pangkal pokok yang begitu besar dan untuk mengukur lebarnya mereka duduk bersila di perdu pokok itu. Khabarnya setelah 40 orang duduk bersila barulah penuh pangkal pokok Merbau yang ditebang itu.

peta rembau

Mereka menjamu selera sambil bersuka ria menandakan sudah berjaya menumbangkan pokok yang paling besar itu. Sebahagian dari mereka menyusuri batang pokok itu untuk mencari pucuknya. Khabarnya lagi pucuk pokok Merbau yang tumbang itu sampai ke sebuah sungai lalu Sungai itu dinamakan Sungai Ujung. Dan kawasan pangkal pokok itu mereka namakan Kampung Merbau Tua. Untuk meringkaskan sebutan mereka sebut “Kampung Merbau”sahaja dan akhirnya lama-kelamaan disebut menjadi Rembau sahaja.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.