Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Jempol merupakan salah sebuah daerah serta luak adat yang terdapat Negeri Sembilan Darul Khusus. Dari segi pentadbiran politik moden, Jempol adalah daerah terbesar dari jumlah tujuh daerah (Jempol, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan Port Dickson) di Negeri Sembilan.

Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Kawasan pentadbiran politik moden bagi Daerah Jempol

Kawasannya terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kuala Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Jempol dan Ulu Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Pilah.

Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Kawasan luak adat Jempol

Dari segi pentadbiran luak ada pula, Luak Jempol merupakan sebahagian daripada gagasan Luak Tanah Mengandung yang meliputi Luak Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir dan Inas. Sempadan luak disebutkan seperti didalam perbilangan;

Batas Muar, sepanjang Sungai Muar,
Batas Jempol, sepanjang Sungai Jempol,
Batas Johol, sepanjang Sungai Jelai.

Maka daripada perbilangan ini dicatatkan di Balai Penghulu Luak Jempol meliputi kawasan bahagian hulu sungai hingga ke Kuala Sungai Jempol:

Anak Ayer Lonek ke Bukit Mempinas, Batu Sawa ke Jeram Panjang memotong Sungai Muar ke Simpang Palong Jeram Panjang, mudik ke Batu Menonggol sempada Pahang, Johor: Lunut Serampang terus ke Kuala Luit, Bukit Batu Beras, Bukit Pasong, Simpang Pertang, Langkap-Guntur termasuk: Tengkek, Padang Lebar, Keru, Jerjak, Sungai Jelutong, Seri Melenggang, Sungai Talan, Bukit Sempit, Batu Kikir, Serting Ulu, Serting Hilir, Kuala Jempol, Bahau dan lain-lain.

Dikatakan sebelum Jempol mendapat namanya, ia dikenali sebagai Leban Condong (Di Kampung Terentang dalam Mukim Hulu Jempol sekarang ini) dan kedua: dengan nama Danau Rasau (Di Kampung Tengkek sekarang ini.)

Dari dua nama diatas iaitu Leban Condong dan Danau Rasau, terdapat berbagai cerita menarik yang mengaitkan bagaimana ‘Jempol’ itu sendiri mendapat namanya.

CERITA PERTAMA: Anak Perempuan To’ Batin

Asal nama Jempol itu dikatakan mendapat namanya sempena daripada peristiwa tragis yang berlaku ke atas seorang gadis bernama Jempo, anak kepada sorang To’ Batin bernama To’ Pileh. Oleh kerana kecantikannya maka telah manjadi rebutan ramai bujang teruna kampung. Disebabkan perasaan iri hati sesama sendiri, maka terjadilah sebaran fitnah terhadap Jempo kononnya dia telah melakukan perbuatan sumbang.

Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Pekan Bahau, Jempol

Tanpa usul periksa, bapanya, To’ Pileh telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap anaknya dengan memaksa anaknya terjun ke dalam sungai yang dipenuhi ranjau buluh runcing yang tajam. Setelah anaknya terjun ke dalam sungai berkenaan maka teperciklah darahnya hingga ke tebing sungai. Dikatakan tempat percikan darah itu merah seperti darah dan tidak ditumbuhi rumput atau pokok-pokok hingga sekarang.

Setelah beberapa lama kemudian, barulah To’ Pileh menyedari anaknya itu tidak bersalah, ia cuma dianayai oleh pemuda-pemuda yang tidak dapat memilikinya. Jadi bagi mengingati kejujurannya, To’ Pileh telah menamakan sungai tersebut sebagai Sungai Jampo.

CERITA KEDUA: Anak Lelaki To’ Batin

Ada juga mengaitkan teori pertama ini bahawa individu bernama Jempol ini adalah seorang lelaki. Diceritakan bahawa ada seorang pemuda yang gagah perkasa bernama Jempol yang merupakan anak kepada seorang Tok Batin Orang Asli. Dia mempunyai suatu perangai yang buruk dimana selalu menganggu serta melakukan perbuatan sumbang terhadap gadis-gadis yang berada di kampungnya.

Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Masjid Tuanku Muhriz di Bandar Seri Jempol, Jempol

Kebiasaannya setelah Jempol bekerja di ladang atau berburu di hutan, dia akan singgah di suatu sungai untuk mandi. Dia akan terjun dari pokok Leban yang Condong dan bercampera sepuas-puasnya. Sehinggalah suatu hari tu ketika dia hendak mandi, sebaik sahaja dia terjun dari pokok yang nyatakan, tiba-tiba dia menjerit kesakitan yang amat sangat. Ini terkena di dasar sungai tersebut terdapat ranjau-ranjau tajam. Rupanya-rupanya ranjau tersebut telahpun dipasang oleh penduduk-penduduk kampung sejak awal lagi disebabkan berdendam dengan perbuatan si Jempol.

Maka setelah badannya kena pada ranjau-ranjau tersebut maka memancut-mancutlah darah Jempol ke kesuluruh kawasan itu. Menurut cerita, darahnhya terpercik ke kawasan yang amat luas sehinggakan tanahnh dikawasan itu menjadi merah. Dikatakan sebabitulah Kampung Terentang sekarang ini bertanah merah. (Di Mukim Hulu Jempol, hanya kawasan ini sahaja bertanah merah).

Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Mercu tanda baru di Jempol. Terletak di Taman Reakrasi Bahau

Mayat anak batin asli ini kemudiannya ditanamkan di suatu kawasan di lurah, hulu anak sungai dekat Masjid Kariah Terentang sekarang ini. Ada orang mengatakan kawasan itu berpenunggu sehingga ke hari ini. Oleh sebab kecelakaan ini, ramai Orang Asli telah berpindah ke hulu sungai dan sekarang ini ia menjadi suatu perkampungan Orang Asli dikenali sebagai Kampung Guntor, Tengkek.

Walaubagaimanapun sebelum orang asli tersebut meninggalkan perkampungan itu, Orang Asli disitu telah menukarkan nama tersebut daripada Leban Condong kepada nama Jempol iaitu sempena mengingati anak Tok Batin yang mati diranjau itu.

Daripada cerita diatas, disimpulkan kejadian tersebut berlaku di Leban Condong dan berkemungkinan nama Jempol itu sendiri disebut sebagai Leban Condong pada mulanya.

Walaubagaimanapu ada cerita lain yang tidak mengaitkan cerita ini dengan cerita-cerita Tok Batin terdahulu. Ia dikatakan kawasan ini diterokai oleh 9 keluarga dari Pasai yang diketuai oleh Dato Sempadang.

CERITA KETIGA: Perantau Dari Pasai, Sumatera

Menurut sumber lisan orang tua-tua, mengenai asal usul nama Jempol itu dikaitkan dengan kedatangan sembilan (9) orang bersaudara serta pengikutnya dari Pasai Sumatera. Mereka mencari perlindungan dan penempatan baru, kerana tempat tinggal mereka (di Sumatera) akan mengalami bencana gunung berapi.

Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Teratak Za’ba yang terlatk di Kampung Kerdas, Batu Kikir, Jempol

Rombongan itu telah berhenti di satu kuala sungai (Penarikan) untuk menambah barang keperluan. Salah seorang daripada mereka iaitu Datuk Sempadang telah mengarahkan pengikutnya pergi mencari dan meninjau di persekitaran kuala sungai itu, kira-kira setengah batu jauhnya.

Diberitakan bahawa kawasan tersebut menarik dan cantik. Oleh demikian Datuk Sempadang telah menamakan kuala sungai tersebut sebagai Jempol (cantik) dari kuala hingga ke hulunya. Berdasarkan maklumat yang menyenangkan itu Datuk Sempadang mengambil keputusan untuk menetap di situ bersama-sama dengan pengikutnya. Kawasan tersebut dijadikan penempatan dan kawasan pertanian yang mana ia telah menarik ramai perantau-perantau yang turut serta pula menetap di situ.

Asal Usul Nama Jempol Dan Sempadan Kawasan

Sungai yang terdapat di Hutan Lipur Ulu Serting

Begitulah sedikit cerita bagaimanan Jempol itu sendiri mendapat namanya. Cuma tidak dipastikan sama ada cerita daripada peristiwa Tok Batin itu dengan cerita peneroka dari Sumatera itu mempunyai kaitan semasa sendiri atau pun suatu kebetulan. Lagipun tempat-tempat yang diceritakan agak jauh dibandingkan contohnya cerita Tok Batin berlaku di Leban Condong (Kampung Terentang), manakala cerita peneroka dari Sumatera itu berlaku di Kuala Jempol. Jaraknya antaranya kedua-dua tempat ialah 15km dipisahkan dengan sebaris bukit dikenali sebagai Bukit Sempit.

Bagi sesiapa yang mempunyai cerita yang lebih lanjut serta mengesahkan kesasihan bagi ketiga-tiga cerita ini, bolehlah menghubungi admin di Facebook orangnogoridotcom

SUMBER – Majalah Warisan Negeri Sembilan (Sebelum Jempol bernama Jempol; A Rahim Hj Ismail); Luak Tanah Mengandung (A.Samad Idris, dll); Jejak Adat Perpatih (Luak Jempol); ujanglobek.blogspot.my (Asal Nama Jempol); dteam76.blogspot.my (Asal Usul Nama Tempat di Malaysia – Jempol, Negeri Sembilan)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.