13 Fakta Menarik Mengenai Jalan Penarikan, Jempol

satu program percuma khas oleh orangnogori.com

Seperti apa yang diceritakan oleh kami pada artikel sebelum ini mengenai Jalan Penarikan di Jempol, Negeri Sembilan sememangnya menunjukkan pentingnya jalan ini suatu ketika dahulu sebagai laluan penghubung antara dua sungai di Barat dan Timur semenanjung Melayu ini.

[Artikel Berkaitan:Jalan Penarikan Di Jempol, Laluan Sejarah Terpenting Suatu Ketika Dahulu]

Jalan Penarikan menjadi laluan pilihan buat kebanyakan para pedagang pada ketika itu memandangkan jarak perjalanan mereka dapat dipendekkan kerana mereka tidak perlu mengelilingi Tanah Melayu dari Selat Melaka untuk sampai ke Laut China Selatan. Selain itu, laluan itu juga lebih sdelamat daripada serangan lanun.

13 Fakta Menarik Mengenai Jalan Penarikan, Jempol

(Gambar Kiri) Peta lakar menunjukkan lot-lot tanah yang dilintasi oleh jalan penarikan. (Gambar Kanan) Pet lakar menunjukkan laluan Jalan Penarikan yang telah diubahsuai.

Dan pada kali ini kami senaraikan 13 fakta menarik mengenai Jalan Penarikan ini yang mungkin kebanyakan daripada anda tidak megetahuinya. Berikut adalah senarainya;

1. Pada kurun ke-14 hingga 15 Masihi, dikatakan bala tentera Siam menggunakan Jalan Penarikan ini sebagai pangkalan barisan hadapan dan juga laluan logistik mereka dalam operasi menggempur kedudukan tentera Melaka. Bahkan hingga kini terdapat satu kubur yang dikatakan merupakan kubur komander tentera Siam tersebut bertanda 1265 Masihi.

Selain itu, terdapat juga kesan-kesan penggalian terusan di lokasi Jalan Penarikan. Dipercayai ia dibuat oleh tentera tentera Siam sebagai satu alternatif untuk membawa bekalan logistik tentera mereka terus dari Sungai Serting tanpa perlu menarik kapal-kapal tersebut atau memunggah keperluan logistik dari pelabuhan Sungai Serting ke pelabuhan Sungai Jempol. Namun dipercayai gagal disiapkan. Kedalaman penggalian terusan dianggarkan sekitar 20-30 kaki dalam.

13 Fakta Menarik Mengenai Jalan Penarikan, Jempol

Gambar Hiasan

2. Percaya atau tidak, kesemua sungai-sungai di Semenanjung Malaysia ini satu masa dahulu mempunyai kedalaman sekitar 30-40 kaki. Ini membolehkan kesemua jenis kapal dan perahu layar dapat belayar dan mudik hingga ke kawasan hulu. Sekarang semua itu sudah tiada lagi.

3. Ketika aktiviti pengembangan dan penyebaran agama Islam giat dilakukan sekitar abad ke-14 dan 15, para pedagang dari Semenanjung Tanah Arab dan India seringkali cuba mengelakkan laluan berbahaya di sepanjang Selat Melaka khususnya apabila memasuki kawasan selatan Semenanjung Tanah Melayu kerana bimbang akan ancaman lanun yang hebat pada masa itu.

13 Fakta Menarik Mengenai Jalan Penarikan, Jempol

Bahagian Sungai Jempol yang dikatakan dimana Jalan Penarikan bermula. Kelihatan seperti bekas terusan yang tidak siap.

Mereka mengadukan masalah ini kepada Kerajaan Islam Pasai yang berpusat di Sumatera. Atas nasihat orang Pasai, maka para pedagang dan pendakwah Arab dan India ini diperkenalkan dengan laluan ini. Ia juga merupakan salah satu sebab kenapa agama Islam begitu mudah dan cepat tersebar hingga ke hulu Semenanjung Tanah Melayu.

4. Kisah Hang Tuah yang pergi berjumpa dengan Tun Teja dan membawa balik Tun Teja dari Pahang ke Melaka juga dikatakan menggunakan Jalan Penarikan ini.

5. Semasa Portugis menyerang dan menakluk Melaka pada 1511, dikatakan Jalan Penarikan ini telah digunakan oleh Sultan Mahmud dan orang-orang baginda untuk berundur ke Pahang.

6. Kebangkitan Mat Kilau menentang penjajahan British di Pahang mendapat sokongan bukan sahaja orang Melayu Pahang bahkan dari Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Dikatakan Jalan Penarikan inilah kerap digunakan oleh Mat Kilau untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dari Negeri Sembilan. Selain itu pejuang-pejuang Melayu juga turut menggunakan Jalan Penarikan ini ke Pahang untuk membantu perjuangan Mat Kilau dan Dato’ Bahaman menentang British.

7. Selain menggunakan Jalan Penarikan ke Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga turut digunakan sebagai laluan air/sungai ke Perak melalui Sungai Pahang naik ke sebelah hulu iaitu di Kuala Lipis.

13 Fakta Menarik Mengenai Jalan Penarikan, Jempol

Sungai Serting dibelakang kawasan Istana Serting yang ada sekarang. Disinilah dikatakan satu lagi hujung Jalan Penarikan

8. Pada 1613, satu peta tentang Jalan Penarikan telah dibuat oleh seorang pengembara Portugis bernama Godinho de Eredia (walaupun ada mengatakan peta Jalan Penarikan ini dibuat pada tahun 1598). Dikatakan laluan ini mengambil masa selama 6 hari untuk sampai ke Pekan dari Muar melalui Sungai Muar – Sungai Jempol – Jalan Penarikan – Sungai Serting – Sungai Bera – Sungai Pahang.

9. Jalan Penarikan pada zaman dulu boleh diibaratkan seperti Lebuhraya Pantai-Timur pada masa kini.

10. Jalan Penarikan ini mendapat namanya kerana aktiviti penarikan kapal, sampan, perahu, jong dan pelbagai muatan. Aktiviti menarik ini dilakukan oleh orang Asli dan orang kampung berdekatan. Upahnya pula cukup ringkas dan sesuai pada zaman itu iaitu garam, gula, beras, tembakau dan pelbagai barang keperluan harian. Tiada duit digunakan pada masa itu.

11. Walaupun jarak Jalan Penarikan ini sekitar 600 meter sahaja namun ia juga bergantung kepada kapasiti saiz kapal dan muatan yang hendak ditarik. Sebuah perahu memakan masa kira-kira 2 jam dengan kekuatan 14 orang untuk ditarik dari Sungai Jempol ke Sungai Serting.

Bayangkanlah jika kapal layar bersaiz besar, jong atau lancang layar yang memang bersaiz besar, sudah tentu sekurang-kurangnya paling tidak setengah hari atau sehari semalam.

12. Beberapa orang pengembara dan pegawai British seperti Charles Gray (1827) dan Daly (1865) pernah membuat catatan sejarah menyebut tentang tempoh masa diambil untuk menggunakan laluan Jalan Penarikan dan Sungai Muar serta Sungai Jempol.

Charles Gray menyatakan bahawa dia mengambil masa selama 8 hari menggunakan laluan Sungai Jempol dan Sungai Muar ke Melaka dari kawasan Jalan Penarikan. Manakala, Daly pula menyatakan selama 10 hari masa diambil untuk menggunakan laluan tersebut.

13. Apabila jalan darat seperti jalanraya dan landasan keretapi dibina oleh British di kawasan Johol, Serting, Jempol dan sewaktu dengannya pada hujung abad ke-19 Masihi terutama ketika memuncaknya era Revolusi Perindustrian yang melibatkan industri galian bijih timah dan getah, maka sejak itulah populariti Jalan Penarikan terus merudum dan tinggal terbiar tidak digunakan hingga ke hari ini.

13 Fakta Menarik Mengenai Jalan Penarikan, Jempol

Laluan Jalan Penarikan menghala ke Sungai Serting; kini hanya tinggal dalam catatan sejarah dan ingatan.

Menurut ahli kaji sejarah tempatan dan penduduk warga emas (yang berusia 70 tahun ke atas), sudah lebih 100 tahun Jalan Penarikan ini tidak digunakan. Kebanyakkan kawasan sungai di kawasan Jalan Penarikan kini sudah menjadi makin cetek dan tidak terurus. Dikatakan kedalaman sungai tersebut kini sudah tidak sampai 5 kaki sekali pun.

SUMBER – Majalah Warisan (Jalan Penarikan Laluan Sejarah Di Jempol); faizamer.com (Sejarah Jalan Penarikan, May 25, 2017);

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.