Usaha Memulihara Batu Megalith Di Negeri Sembilan

SEREMBAN, 21 Nov – Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas di Linggi, Port Dickson akan dicadangkan sebagai pusat konservasi setempat Batu Megalith.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Mat Ali Hassan berkata, ini penting bagi memastikan Batu Megalith, batu yang dikaitkan dengan prasejarah akan dapat terus dipulihara dan dipelihara dengan cara yang lebih bersistematik sekali gus dapat menjadi tatapan kepada generasi muda.

“Adalah diharapkan dengan penubuhan pusat konservasi ini nanti akan menjadikan Batu Megalith bukan sahaja terus kekal terpelihara sebagai khazanah warisan di negeri ini, malahan juga di negara. Semoga apa yang dihasratkan ini akan menjadi kenyataan pada satu hari nanti dalam usaha untuk menjadikan negeri ini terkenal dan kaya dengan warisan Batu Megalith.

“Sesuatu yang dianggap warisan bersejarah seperti Batu Megalith ini seharusnya kita cintai sepenuh hati dan tidak boleh dibiarkan hilang begitu sahaja dalam arus pembangunan yang pesat pada hari ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian seminar Batu Megalith 2017 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dan Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) Aziz Mohd Gorip. Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Johani Hassan.

Mat Ali dalam pada itu menyarankan LMNS menerbitkan buku khas berkaitan tapak-tapak Batu Megalith yang terdapat di setiap daerah di negeri ini iaitu di Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.

Sementara itu, Kamarul Baharin dalam ucapannya berkata cadangan untuk memindahkan Batu Megalith yang ada di sekitar negeri ini ke Pengkalan Kempas merupakan satu daripada resolusi seminar tersebut, namun perlu diadakan satu perbincangan mendalam bersama Jabatan Warisan Negara bagi memperhalusi cadangan itu.

Usaha Memulihara Batu Megalith Di Negeri Sembilan

Salah satu tapak Megalith yang terdapat di Terachi

Batu Megalith telah wujud di negeri ini sejak zaman logam (besi) hingga ke abad ke-18 dan ia juga pernah dikaitkan dengan sejarah dan kebudayaan masyarakat Minangkabau yang datang ke Negeri Sembilan.

Batu Megalith atau batu hidup banyak terdapat di negeri ini dan LMNS setakat ini telah mengenal pasti sebanyak 38 tapak Batu Megalith jenis ‘Menhir’ sebagai jenis batu yang banyak terdapat di Kuala Pilah, selain di Tampin, Jelebu dan Port Dickson.

Perkataan ‘megalith’ berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘mega’ yang membawa maksud besar dan ‘lithos’ iaitu batu.

Seminar sehari itu yang menampilkan enam pembentang kertas kerja dihadiri seramai 100 peserta yang terdiri daripada pengkaji sejarah, pensyarah, pelajar universiti, pemimpin setempat dan juga wakil daripada Jabatan Muzium Malaysia serta LMNS.

SUMBER – Petikan daripada BERNAMA (21 November 2017)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.