Sudahlah Menganggur, Kad ATM Pula Disalahguna Rakan

SEREMBAN, 20 Okt – Seorang lelaki bukan sahaja hilang pekerjaan, tetapi kini perlu menanggung beban selepas kenalannya meminjam kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya sejak Jun lalu.

Sudahlah Menganggur, Kad ATM Pula Disalahguna Rakan

Mangsa, Ken Yee Yong Kian, 32 menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menggunakan kad ATM ketika ditemui pada sidang media di Pusat Komersil Oakland Seremban 2. – Foto Berita Harian

Yee Yong Kian, 32, yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual berkata, dia tidak menyangka kenalan yang dikenali kira-kira dua tahun lalu, menggunakan kad miliknya untuk melakukan pinjaman tidak wujud membabitkan jumlah RM360,000.

Katanya, lelaki berusia 27 tahun yang beralamat di Kajang, Selangor itu datang berjumpanya memberitahu mahu meminjam kad ATM bagi memudahkan majikannya memasukkan gaji, kerana dia tiada akaun bank berkenaan.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana memikirkan akaun bank itu yang tidak aktif dan tiada wang, lalu memberikan kad itu bersama kata laluan.

“Selepas beberapa minggu, saya cuba menghubunginya untuk mendapatkan semula kad, tetapi gagal.

“Pada Ogos lalu, polis dari Wangsa Maju datang ke rumah memaklumkan akaun bank milik saya digunakan untuk menipu ramai individu. Ketika itu baharu saya sedar kenalan salah menggunakan kad bank yang saya pinjamkan, dan sehingga kini terdapat sebanyak 26 laporan di 24 balai polis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu berkata, sejak itu sehingga 28 September lalu, dia direman dan diambil keterangan di beberapa balai polis termasuk Nilai, Dang Wangi, Putrajaya, Sungai Besar, Kuala Kubu Baru dan Kajang, dan akibat daripada kes itu, dia dibuang kerja.

Yong Kian yang kini sudah menutup akaun bank miliknya, berkata pada 6 September lalu, dia didakwa di Mahkamah Seremban mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memberi pinjam kad ATM dan didenda RM8,600.

“Denda itu hanya untuk satu kes, saya berdepan 25 lagi kes yang sama di seluruh negeri. Dengan keadaan tiada pekerjaan, sudah pasti susah untuk membayar denda.

“Saya berharap polis dapat menangkap segera suspek. Saya mendapat tahu suspek yang menggunakan Facebook untuk mengiklankan mengenai kegiatan pinjaman tidak wujud, turut menggunakan tujuh kad ATM milik individu berbeza untuk melakukan jenayah ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam, berkata pihaknya akan membantu memberikan perkhidmatan bantuan guaman kepada Yong Kian dan berharap semua orang tidak sewenang-wenangnya memberikan kad ATM dan kata laluan walaupun kepada rakan, kerana bimbang disalah guna.

Sumber – Petikan daripada Berita Harian Online (20 Oktober 2017 | 4:10pm)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.