Stesen Keretapi Di Melaka Yang Menggunakan Nama Tampin

Stesen KTMB yang pada mulanya diberi nama Tampin (Pulau Sebang) ini merupakan stesen kereta api bagi penumpang yang ingin ke Melaka menggunakan rel. Stesen ini sebenarnya terletak di Pulau Sebang, Melaka bersebelahan dengan bandar Tampin, Negeri Sembilan. Disebabkan kemajuan bandar Tampin pada ketika itu berbanding Pulau Sebang ia dinamakan sebagai Stesen Keretapi Tampin. Dari segi laluan, stesen ini terletak di antara stesen Seremban dan Gemas, kedua-duanya di Negeri Sembilan.
stesen keretapi pulau sebang/tampin

Mengikut sejarah, landasan kereta api dari Seremban ke Pulau Sebang telah siap dibina pada tahun 1905. Tidak lama selepas itu satu stesen kecil dibina dan dinamakan Stesen KTM Pulau Sebang. Walau bagaimanapun pembangunan pesat bandar Tampin yang berjiran dengan Pulau Sebang telah menyebabkan pihak British pada ketika itu menukar nama stesen Pulau Sebang kepada Tampin walaupun kedudukan stesen itu dalam kawasan Melaka. Pada waktu itu juga landasan kereta api dari Tampin (Pulau Sebang) ke Bandar Melaka telah siap dibina. Antara stesen yang terdapat dalam laluan sejauh 34 km ini ialah Alor Gajah, Melaka Pindah, Durian Tunggal dan Melaka. Untuk pengetahuan anda juga, semasa pendudukan Jepun landasan laluan landasan kereta api daripada tampin ke bandar Melaka ini telah dibongkar semula (dileraikan/dibuka) oleh tentera Jepun untuk membina landasan kereta api maut di Burma. Justeru, bekas laluan dan jambatan kereta api yang melintasi sungai masih jelas kelihatan pada hari ini.

stesen keretapi pulau sebang/tampin

stesen keretapi pulau sebang/tampin

Sekarang Stesen KTMB Pulau Sebang/Tampin terpaksa dipindahkan beberapa meter ke arah selatan memandangkan stesen ini terlibat dalam Projek landasan berkembar elektrik dari Seremban ke Gemas yang melalui 28 kilometer dalam Negeri Melaka sebelum ke Negeri Sembilan semula. Stesen baru ini dilengkapi fasiliti dan kemudahan yang moden termasuklah kawasan perhentian bas dan teksi.

stesen keretapi pulau sebang/tampin

Pada mulanya stesen ini ingin dinamakan sebagai Sebang Sentral. Ini disebabkan Kerajaan Negeri Melaka mahukan stesen yang baru ini tidak lagi dibayangi dengan nama Tampin, sebaliknya pengguna mengetahui stesen KTMB yang baru ini dalam daerah Alor Gajah, Melaka dan bukan Tampin Negeri Sembilan. Namun demikian KTMB tidak dapat menukar nama stesen itu kepada Pulau Sebang kerana orang ramai sudah sinonim dengan nama Tampin. Langkah penyelesaian awal dibuat KTMB dengan menamakan stesen itu kepada Tampin/Pulau Sebang. Begitulah hebatnya pengaruh nama Tampin ini sehingga kawasan Melaka juga turut terkena tempiasnya =)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.