SMK St Paul Seremban Ada Sejarah Berharga

SEREMBAN – Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Jabatan Warisan Negara sedang menjalankan penyelidikan dan pendokumentasian bergambar bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul yang terletak di Jalan Tan Sri Manickavasagam, di sini.

SMK St Paul Seremban Ada Sejarah Berharga

Penyelidikan dijalankan Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti LMNS, Mohd Nazim Abd Gaman bersama Penolong Kurator Unit Adat Perpatih Bahagian Antikuiti LMNS, Asrul Effendi Kamaruzzaman. Ia turut dibantu pelajar praktikal dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama lapan kakitangan Jabatan Warisan Negara.

Mohd Nazim berkata, bangunan SMK St Paul telah dicadangkan untuk diangkat sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645). “Penyelidikan ini untuk mengenal pasti kriteria dan syarat yang melayakkan bangunan sekolah ini untuk diangkat sebagai warisan,” katanya. Menurutnya, penyelidikan tertumpu kepada maklumat berkaitan sejarah, pelan tapak, pelan lantai dan gambar.

SMK St Paul Seremban Ada Sejarah Berharga

“Dari segi sejarah, sekolah ini merupakan sekolah lelaki dan sekolah Inggeris pertama ditubuhkan pada 1899 di Negeri Sembilan. Pada awalnya bangunan sekolah ini dibina dengan menggunakan batu dan beratapkan genting. Hasil penyelidikan mendapati, segala rekod sekolah dari tahun 1900 sehingga sekarang masih lagi terdapat di galeri sejarah sekolah berkenaan. Rekod sekolah yang masih tersimpan tersebut adalah dalam bentuk gambar, majalah sekolah, trofi dan objek-objek lain yang relevan dengan sejarah sekolah ini,” katanya di sini.

Mohd Nazim berkata, bahan-bahan berkenaan merupakan adalah khazanah yang amat berharga dan tinggi nilainya serta menjadi asas utama dan kekuatan kepada pencalonan bangunan sekolah ini untuk diangkat sebagai warisan. – Sumber Sinar Harian

Artikel berkaitan:
Sekolah Tertua Di Negeri Sembilan

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.