Siapa Menumpang Tidur Di Kamar Istana Lama Seri Menanti?

Artikel yang kami kongsikan pada hari ini dipetik dari laman web Utusan Online pada bahagian Laporan Khas pada 27/04/2013. Artikel ini berkisar tentang peristiwa aneh yang berlaku di kamar Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Istana yang diperbuat daripada kayu ini menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada sekitar tahun 1900-an.

Siapa Menumpang Tidur Di Kamar Istana Lama Seri Menanti?

Kini istana lama ini tidak lagi digunakan sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Namun, memandangkan ia merupakan suatu warisan sejarah yang penting, istana itu telah diubah menjadi muzium dan dikenali sebagai Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti. Di kalangan kakitangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, mereka selalu menghadapi peristiwa-peristiwa aneh yang kerap berlaku di sebuah bilik yang dahulunya pernah menjadi kamar beradu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Keanehan itu sering menjadi topik perbualan mereka dari hari ke hari.

Antara peristiwa aneh yang sering berlaku ialah kamar yang terletak di aras tiga istana tersebut mempunyai kesan seperti digunakan oleh ‘seseorang’. Sehingga ke hari ini, ia masih lagi kekal menjadi misteri yang tidak terjawab. Menurut seorang kakitangan muzium itu yang bernama Rohaizad Zakaria, 47, biarpun beliau tidak pernah melihatnya sendiri tetapi cerita tentang ‘tetamu’ yang kerap bermalam di kamar tersebut sering menjadi buah mulut para petugas muzium tersebut.

Kata Rohaizad, bukti bilik tersebut seakan-akan menerima kunjungan ‘seseorang’ dapat dilihat dengan jelas apabila keadaan cadar yang membaluti tilam di atas katil yang terdapat dalam kamar tersebut seolah-olah telah digunakan. “Sudah menjadi tanggungjawab bagi kakitangan yang bertugas untuk mengemas dan memastikan semua barangan yang dipamerkan di muzium berada di kedudukan asal selepas masa melawat tamat.

Siapa Menumpang Tidur Di Kamar Istana Lama Seri Menanti?

“Biasanya kakitangan tersebut akan mengemas setiap cadar katil yang terdapat di dalam istana. Walau bagaimanapun, keesokan harinya keadaan cadar yang telah dikemas rapi sebelum itu kelihatan seperti baru sahaja ditiduri oleh seseorang. Jika ikutkan akal yang logik, mungkin ada di antara kami (kakitangan muzium) menumpang tidur pada malamnya, tetapi sehingga hari ini tidak ada sesiapa pun yang mengaku,” kata Rohaizad lagi.

Jika selama ini, Rohaizad hanya mendengar pelbagai cerita misteri daripada kakitangan lain, namun pada Disember lalu, dia mengalami sendiri peristiwa aneh di istana itu. “Waktu itu kira-kira pukul 9 malam, saya dihubungi oleh pengawal keselamatan yang bertugas syif malam kerana kononnya saya tidak menutup lampu dan tingkap”.

“Selepas menamatkan perbualan dengan pengawal keselamatan tersebut, saya bergegas kembali ke istana untuk melihat sendiri kerana saya yakin bahawa sebelum pulang ke rumah kira-kira pukul 7 malam, saya telah menutup semua lampu dan tingkap muzium,” katanya. Tambah Rohaizad lagi, bukan dia sahaja berasa aneh malah pengawal keselamatan yang bertugas syif siang yang menjadi saksi pada hari tersebut juga hairan bagaimana perkara tersebut boleh terjadi.

Sumber – Utusan Online (27 April 2013).

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.