Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Sekolah Tertua Di Kuala Pilah

Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad atau nama ringkasnya SMK Tuanku Muhammad (TMS), merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Km 2 Jalan Tampin. Bangunan TMS ini pula merupakan bangunan kedua tertua di Kuala Pilah selepas Istana Seri Menanti yg masih teguh berdiri.

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Sekolah Tertua Di Kuala Pilah

Sekolah Tuanku Muhammad bermula dengan kelas Bahasa Inggeris yang telah dibuka oleh seorang kerani bernama Encik Pyne yang bertempat di sebuah bangunan lama berhampiran dengan Bangunan Union iaitu Bangunan Syarikat Bas United.

Pada tahun 1908, Kuala Pilah English School telah dibuka sebagai sebuah sekolah persendirian yang bertempat di Bangunan Mahkamah di Pejabat Daerah Lama. Kuala Pilah English School ini telah dibiayai oleh seorang dermawan tempatan iaitu mendiang En. Tung Yen (Diceritakan dalam artikel sebelum ini). Guru besarnya pada ketika itu ialah Mr. De Witt.

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Sekolah Tertua Di Kuala Pilah

Pada tahun 1914, Government English School telah dibuka. Guru besarnya yang pertama ialah Mr. J. W. Moore. Semasa dibuka, pelajar-pelajarnya ialah seramai 21 orang dan sehingga akhir tahun tersebut pelajar-pelajarnya telah meningkat kepada 51 orang. Adalah dipercayai bangunan Government English School ini pernah didiami oleh Martin Lister.

Pada tahun 1918, bangunan baru telah pun siap dibina. Bangunan itu ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah yang pernah digunakan sebagai Pejabat Pendidikan Daerah KPJJ. Pelajar-pelajarnya berpindah ke bangunan baru ini. Guru besarnya ialah En. Nonis. Sekolah ini terus berkembang dan pada tahun 1924, pelajar-pelajarnya telah meningkat kepada 200 orang dengan 6 orang guru. Pada tahun itu juga, pelajar-pelajar sekolah ini telah ditawarkan untuk mengambil Peperiksaan Junior Cambridge.

Pada tahun 1929, bilangan pelajar telah meningkat kepada 331. Pertambahan tersebut membawa kepada pembinaan Sekolah Tuanku Muhammad yang ada sekarang ini. Tapak bangunan baru ini telah dicadangkan oleh En. Gordon Hall. Dengan itu, terbinalah sekolah baharu itu pada tahun 1930 dengan kos sebanyak $105,995.00.

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Sekolah Tertua Di Kuala Pilah Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Sekolah Tertua Di Kuala Pilah

Selepas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar, Tuanku Muhammad pada tahun 1933, Government English School ini ditukar namanya kepada Tuanku Muhammad School (TMS) bagi memperingati Al-Marhum. Bangunan asrama putera pula telah dibina pada tahun 1938 dan dapat menempatkan kira-kira 26 orang penghuni pada ketika itu.

Semasa pemerintahan Jepun, TMS telah digunakan oleh Tentera Jepun. Segala peralatan sekolah, buku-buku teks dan perpustakaan telah dimusnahkan serta dibakar. Adalah dipercayai askar-askar Jepun ini telah menanam mangsa-mangsa yang dibunuh di bahagian belakang asrama. Sementara itu, padang sekolah pula digunakan untuk menanam sayur-sayuran dan ubi kayu.

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Sekolah Tertua Di Kuala Pilah

Setelah tamat pemerintahan Jepun, TMS dibuka semula pada 7 September 1945 dan Mr. Francis menjadi Guru Besarnya. Sekolah Tuanku Muhammad terus bekembang maju selepas Perang Dunia Kedua. Dalam tahun 1948, bilangan pelajar yang didaftarkan dis sekolah ini ialah kira-kira 760 orang. Pada tahun yang sama juga, sekolah rendah iaitu Tuanku Muhammad Primary, sekarang dikenali sebagai Sekolah Rendah Tuanku Munawir turut dibuka.

Pada tahun 1951, bangunan tambahan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman. Pada tahun 1952, bangunan makmal di tepi Jalan Tampin telah dibina.

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Sekolah Tertua Di Kuala Pilah

Serentak dengan itu juga, sekolah Tunku Kurshiah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan untuk menempatkan pelajar perempuan. Dengan itu, Sekolah Tuanku Muhammad menjadi sekolah untuk pelajar lelaki.

Sekolah Tuanku Muhammad merupakan satu-satunya sekolah yang terkemuka lagi tertua di daerah Kuala Pilah dan menjadi tumpuan pelajar dari setiap golongan dan peringkat. Ramai bekas pelajar sekolah ini telah berjaya menjadi pemimpin dan pentadbir terkemuka di negara ini contohnya seperti Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin (pengasas NAZA Group of Malaysia), Allahyarham Tan Sri Dato’ Dr. Haji Abdullah Sanusi Ahmad (bekas Naib Canselor Universiti Malaya), Professor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara), Tan Sri Abu Zahar Ujang (Yang Dipertua Dewan Negara), Datuk Seri Hasan Malek (Duta Besar Malaysia ke Kemboja) dan beberapa nama lain lagi yang tercatat di dalam lembaran sejarah Sekolah Tuanku Muhammad.

Sumber – tmsian.blogspot.my, kosmo.com.my (26 April 2016)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.