Sejarah Raja Melewar Yang di-Pertuan Besar Pertama Negeri Sembilan

Pada asalnya Orang Minangkabau seperti di Naning, Rembau, Seri Menanti, Penajis, Ulu Muar dan beberapa tempat lagi mengadap ke Melaka sebagai sultan mereka. Sebarang kesulitan mereka akan dibawa oleh ketua luak masing-masing yang dipanggil Datuk Undang Luak.

Apabila Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511, Sultan Melaka lari ke Johor dan menubuhkan kerajaan baru di sana, orang Minangkabau juga beralih arah ke Johor pula.

Walaubagaimanapun, Kesultanan Melayu Johor pada ketika lama-kelamaan tidak lagi mampu untuk mentadbir negeri-negeri Melayu di bawah jajahannya terutamanya selepas krisis pembunuhan Sultan Mahmud II (Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) dalam tahun 1699 yang seterusnya bermulanya pengaruh orang Bugis dalam pemerintahan Johor ketika Raja Kecil (Mendakwa dirinya anak Sultan Mahmud) menyerang serta menakluk Johor. Memandangkan Raja Kecil mendakwa dirinya daripada keturunan Minangkabau maka bermulanya permusuhan orang-orang Bugis dan Minangkabau di wilayah utara Negeri Johor.

Sekitar tahun 1760 semasa Belanda menguasai Melaka setelah mengambil alih pentadbiran daripada Portugis, Belanda pula mula mengganggu Johor di samping kacau bilau yang ditimbulkan oleh orang Bugis ke atas Orang Minangkabau. Orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Kemboja mahu supaya masyarakat Minangkabau tunduk kepada mereka tetapi tidak dipersetujui oleh Orang Minangkabau yang telah melafazkan taat setia kepada Kesultanan Melayu Johor.

Memandangkan mereka yang berada di bawah Datuk Undang Luak ini berasal dari Melaka dan mengamalkan Adat Perpatih sedangkan Kesultanan Melaka pula mengamalkan Adat Temenggung maka Sultan Johor telah menitahkan Undang Luak untuk memperolehi seorang ketua yang boleh diangkat sebagai sultan atau raja daripada Kerajaan Minangkabau. Maka bermulalah pencarian seorang Raja dari Pagar Ruyung.

Di antara tahun 1760-1770 Datuk-Datuk Undang Luak ini mula mengatur perancangan. Muafakat mengumpulkan luak, menentukan hukum, kuasa dan wakil yang akan dihantar ke Pagar Ruyung pada tahun 1770. Maka wakil-wakil yang diutus itu diketuai oleh Panglima Bandan dan Panglima Bandut diiringi oleh Tok Panglima Sutan Karu, Dato’ Johan, Datu’ Andatar, Dato’ Laksamana dan Dato’ Panglima Raja bagi menjemput raja dari Minangkabau itu.

Permohonan ketua-ketua Luak Minangkabau di semenanjung itu telah diperkenan oleh Sultan Abdul Jalil, Raja Pagar Ruyung pada ketika itu. Bagaimanapun bagi memenuhi permintaan tersebut, Sultan Abdul Jalil menguji beberapa orang anak kerabat diraja sebelum ditabalkan menjadi raja di negeri tidak bernama itu (Negeri Sembilan).

Ujian yang perlu dilaksanakan oleh setiap anak raja yang bakal menaiki takhta di istana Pagar Ruyung ialah perlu tidur satu malam di atas batu kasur beralaskan daun jelatang gajah yang terletak di bawah pohon beringin tiga sakti di kawasan astano rajo (makam di raja). Mengikut kepercayaan mereka sesiapa yang mengalami gatal-gatal seluruh badan akibat daun jelatang gajah bermakna mereka tidak lulus ujian bagi menaiki takhta (Maklumat mengenai batu kasur boleh baca disini). Namun, setelah beberapa orang anak kerabat diraja diuji semuanya gagal.

Disebabkan tidak ada pilihan lain Sultan Abdul Jalil terpaksa menguji puteranya sendiri bernama Raja Mahmud. Sepanjang malam Raja Mahmud tidur di atas batu kasur beralaskan daun jelatang gajah ini dalam kesepian di kawasan perkuburan raja-raja itu, beliau tidak mengalami sebarang gangguan. Oleh itu beliau didapati layak dihantar ke Semenanjung bagi menaiki takhta di negeri yang belum bernama itu.

Raja Mahmud diperkenankan oleh ayahandanya mengikuti Tok Panglima Sutan Karu ke Semenanjung. Sebelum angkatan Minangkabau bertolak ke Semenanjung, Sultan Abdul Jalil telah memerintahkan anak saudaranya bernama Raja Kasah (atau Raja Khatib) membuat tinjauan di samping mengatur persiapan bagi menyambut kedatangan Raja Mahmud ini. Beliau datang ke Hulu Muar di anggarkan sekitar tahun 1770an.

Semasa kedatangan Raja Mahmud ke Semenanjung, terdapat 2 perstiwa dikhabarkan berlaku pada ketika ini iaitu:

  1. Dalam tahun 1757 – Peristiwa Memutus Tali dengan Johor oleh Datuk Moyang Salleh, Undang Luak Jelebu yang tidak berpuashati dengan tindakan Sultan Johor yang membunuh Si Amat, tunangan Seri Banun (anak kepada Datuk Uban, Datuk Penghulu Rembau). Melalui Peristiwa ini, Jelebu secara tidak langsung bebas daripada jajahan Johor dan dianugerahkan dengan cop mohor “Bergajah Tunggal”.
  2. Sebelum ketibaan Raja Mahmud, Raja Khatib yang terlebih dahulu dihantar untuk membuat persediaan menyambut dan mengaturkan pertabalan telah belot dengan mengakui bahawa dirinya adalah anak raja yang dihantar untuk ditabalkan. Kehadiran Raja Mahmud tidak dipersetujui oleh Undang Luak Sungai Ujong (Datuk Kelana Putera) dan Undang Luak Johol (Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Datuk Puteri Setiawan II, 1760-1790). Ini kerana kedua-dua mereka telah menerima Raja Khatib pada mulanya dan berada di dalam keadaan serba-salah. Datuk Moyang Salleh telah bermuafakat dengan kedua-dua Undang Luak tersebut sehingga terdirinya Tiang Balai iaitu Tiang Istana di Seri Menanti pada 17 Syawal 1192 Hijrah.

Sementara itu di Pagar Ruyung, angkatan Raja Mahmud bersama-sama pengiring dan panglimanya mula belayar menuju Tanah Melayu. Sebelum sampai Tanah Melayu beliau sempat singgah di Siak untuk mendapat restu daripada Raja Siak, Sultan Abdul Jalil Alamuddin Syah dan meneruskan perjalanan ke Riau untuk bertemu dengan Sultan Johor, Sultan Mahmud III (1761–1812). Sultan Johor telah mengurniakan Raja Mahmud sebuah cap mohor sebagai simbolik atau restu kepada Sultan Mahmud untuk memerintah negeri yang tidak bernama di Utara Negeri Johor itu.

Selain daripada Siak dan Riau, Sultan Mahmud juga telah mengunjungi beberapa buah negeri lain antaranya seperti Palembang, Jambi, Inderagiri, Sungai Paku, Bandar Sepuluh, Pariaman dan Acheh. Tujuannya adalah sama iaitu untuk mendapat pengiktirafan dan perestuan raja-raja berkenaan, disamping memberitahu akan perlantikannya sebagai Raja di negeri tidak bernama itu.

Perbuatan Raja Mahmud yang singgah-menyinggah di negeri-negeri tersebut dan perbuatannya memberitahu raja-raja berkenaan mengenai pencalonannya telah membuatkan pembesar-pembesar di Rembau khususnya dan Negeri Sembilan amnya menggelarkan Raja Mahmud sebagai Raja Melewar – Raja yang suka melewa atau melawa.

Selepas perlantikan itu Raja Melewar dan angkatannya berangkat menuju ke Negeri Sembilan melalui Naning. Sampai sahaja di Naning, angkatan Raja Melewar telah bertembung dengan angkatan perang Bugis pimpinan Daeng Kemboja. Pertempuran berlaku dan akhirnya angkatan Bugis berjaya dikalahkan dan Daeng Kemboja terpaksa melarikan diri.

Raja Melewar kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga sampai di Rembau dan ditabalkan menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Kampung Penajis. Tempat bersemayam Raja Melewar ini sampai sekarang diberi nama Kampung Astana Raja.

Selepas pertabalan itu Raja Melewar memimpin satu angkatan perang untuk menyerang Raja Khatib yang telah membelot beliau di Seri Menanti. Raja Khatib bersama-sama mertuanya, Penghulu Naam memberontak menentang Yang Dipertuan Besar Raja Melewar. Dalam peperangan itu Penghulu Naam kalah dan dikenakan hukuman pancung. Dengan itu selesailah ketegangan dalam pemerintahan negeri tidak bernama itu.

Sejarah Raja Melewar Yang di-Pertuan Besar Pertama

Setelah tamat peperangan, Raja Melewar telah berkahwin dengan puteri bongsu Penghulu Naam iaitu Sani (kemudiannnya bergelar Encik Puan) bermakna beliau mengambil perempuan dari suku Batu Hampar sebagai permaisuri pertama dalam sistem beraja di negeri yang belum bernama itu.

Apabila keadaan kembali aman, penghulu-penghulu luak bersetuju menabalkan Raja Melewar memerintah di negeri yang belum bernama itu dan bersemayamlah baginda di Seri Menanti sebagai Yamtuan Seri Menanti dan daerah Seri Menanti dinamakan sebagai “Tanah Mengandung” yang bermaksud tanah yang dipunyai sendiri oleh Yamtuan Seri Menanti. Sejak itu timbullah perbilangan yang berbunyi;

Pertabalan Yamtuan Melewar ini dibuat oleh sembilan orang penghulu luak dalam tahun 1773 iaitu Penghulu Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau, Jelai (lnas), Kelang, Naning, Segamat/Pasir Besar (Jempol) dan Hulu Pahang (Kenaboi). Dan dengan itu, Yamtuan Melewar menamakan negeri yang tidak bernama ini kepada Negeri Sembilan yang merujuk kepada 9 luak/kawasan yang menabalkan Yamtuan Melewar.

Selepas pada itu, dipercayai penghulu-penghulu yang menabalkan Yamtuan Melewar diberi gelaran sepertimana gelaran yang diterima oleh undang-undang yang terdapat di Negeri Sembilan. Antara gelaran tersebut ialah Penghulu Bador (Sungai Ujong) kemudiannya bergelar Dato’ Kelana Putera Penghulu Salleh (Jelebu) bergelar Dato’ Mendelika Vlenteri Akhir Zaman, Penghulu Lulinsoh (Rembau) bergelar Dato’ Lela Maharaja. Bagaimanapun Rembau menetapkan dua gelaran apabila penyandangnya bertukar carak yang lain iaitu Dato’ Lela Maharaja kepada Waris Jakun, dan Dato’ Sedia Raja kepada Waris Jawa.

Lain-lain gelaran ialah Penghulu Sitiawan || (Johol) bergelar Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan (mengikut namanya), Penghulu Bayan (Jelai/Inas) gelaran sama dengan Johol tetapi ditambah Wallad Kuala Dioh (mengikut sumber Penghulu Inas mewakilkan kepada Penghulu Johol dalam upacara pertabalan Yamtuan Melewar). Lain-lain gelaran penghulu tidak diketahui disebabkan selepas campur tangan penjajah barat keadaan negeri negeri Melayu juga kuCar kacir.

Catatan bertulis mengenai sejarah pembentukan Negeri Sembilan juga tidak ditemui, tetapi dikumpulkan berdasarkan catatan cerita lisan. Penghulu Kelang (meliputi Lukut, Jugra dan Morib) mungkin bergelar Dato’ Engku Kelang, Penghulu Naning tidak diketahui siapa yang menyandang pesaka, manakala Penghulu Hulu Pahang (Kenaboi) juga tidak diketahui.

Selepas tahun 1780-an Belanda telah mengambil Naning dimasukkan ke bawah kuasa Melaka, sementara Kelang dan Segamat terpisah apabila kuasa Bugis semakin bertapak di Selangor dan Johor. Disamping itu Hulu Pahang yang meliputi Temerloh masuk ke bawah pemerintahan Pahang dengan meninggalkan Kenaboli kepada luak Jelebu. Gejala-gejala inilah menyebabkan sejarah penubuhan awal Negeri Sembilan ikut tenggelam disebabkan tidak ada catatan bertulis.

Bagaimanapun Yamtuan Melewar sebagai pengasas Negeri Sembilan berjaya mengekalkan sistem pemerintahan Adat Perpatih dalam pergolakan politik negeri-negeri Melayu ketika itu. Gelaran-gelaran kepada dato’-dato’ lembaga dan buapak di luar-luak adalah dibuat oleh penghulu masing-masing. Tahun 1773.

Yamtuan Melewar juga mengkotakan janji dalam menetapkan pemerintahan: Berjenjang naik, bertangga turun dengan tidak menetapkan puteranya Raja Totok menaiki takhta. Penghulu-penghulu luak diberi kuasa menjemput anak raja di istana Pagar Ruyung menaiki takhta dengan menyemenda ke istana Seri Menanti. Raja Hitam telah dijemput dari istana 17 Pagar Ruyung lalu dikahwinkan dengan puteri Yamtuan Melewar bernama Raja Aisyah.

Tidak banyak disebut mengenai perkembangan Negeri Sembilan selepas pertabalan Yamtuan Melewar, kecuali pemakaian Adat Perpatih iaitu adat Minangkabau dari carak Bodi Caniago itu menjadi pegangan dalam pentadbiran di setiap luak. Baginda Yamtuan Melewar mangkat dalam tahun 1795 dengan meninggalkan kuasa menentukan pengganti takhta kepada penghulu-penghulu luak.

Baginda Yamtuan Melewar atau Raja Mahmud ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil mangkat di istana Penajis (Astana Raja) dan dimakamkan di kampung berkenaan. Sekalipun istana baginda didirikan di tanah tapak semendanya di Ampang Rambai, Seri Menanti tetapi baginda terus bersemayam di Penajis sehingga akhir hayatnya.

Artikel berkaitan:
Kisah Disebalik Batu Kasur dan Batu Batu Batikam Di Istana Seri Menanti Kuala Pilah
Asal Usul Pembentukan Negeri Sembilan

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.