Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Sebelum ini kami pernah kongsi dengan anda asal usul nama Jelebu (Baca disini) dan sejarah pembentukannya. Kali ini kami ingin berkongsi dengan anda dengan lebih terperinci mengenai sejarah pemerintahan awal Luak Jelebu sehinggalah menjadi luak berundang semasa dibawah pemerintahan Moyang Salleh iaitu sejak awal abad ke-17.

Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Sungguhpun tidak diketahui bila Moyang Salleh ditabalkan menjadi Undang Yang Pertama di Luak Jelebu tetapi berdasarkan sumber yang direkodkan pada tahun 1757 iaitu ketika berlakunya peristiwa “Memutus Tali Ke Johor” menunjukkan Moyang Salleh sudahpun memerintah seawal tahun tersebut cuma gelarannya sebelum peristiwa itu adalah sebagai Penghulu Luak sahaja. Peristiwa itu menjadi titik tolak kepada kemerdekaan Jelebu yang bebas daripada kekuasaan Kesultanan Melayu Johor serta gelaran yang digunapakai beliau iaitu Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman.

Batin Maha Galang Pembuka Negeri Bernama Jelebu

Dalam ‘mantera’ Jelebu (terombo) disebutkan salasilahnya bermula daripada seorang yang bernama Mertang yang telah berkahwin dengan adik perempuannya dan beroleh seorang anak bernama Tok Etah. Tok Etah ini kemudiannya telah pergi ke Minangkabau dan berkahwin disana. Hasil perkahwinannya telah beroleh seorang anak lelaki bernama Tok Terjali atau Batin Terjali.

Beliau kemudiannya bersama-sama Maharaja Alif yang merupakan raja di Minangkabau bertolak ke Jelebu dan menetap di Bukit Kundek (bukit-bukit dari Hulu Teriang ke Gunung Hantu). Tempat ini merupakan kediaman awal nenek moyang dari suku Jakun (Biduanda). Disana beliau telah dilantik menjadi ketua puak disana dengan dibantu oleh Maharaja Alif. Disana Batin Terjali telah berkahwin dengan Puteri Embong Seri Alam dan peroleh seorang anak bernama Lambong Setia Raja.

Sehinggalah pada suatu ketika Batin Terjali dan Maharaja Alif mengadakan pertemuan ramai di suatu gunung di Jelebu. Disana Batin Terjali telah bersepakat untuk melantik Lambong Setia Raja menjadi Batin sementara anak kepada Maharaja Alif iaitu Shah Alam Raja Sehari untuk dijadikan menterinya. Kedua-duanya diperintahkan untuk turun dari gunung tersebut dan diberi arahan untuk membuka Negeri apabila bertemu sedulang nasi.

Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Atas arahan tersebut, Batin Lambung Setia Raja dan Shah Alam Raja pun turunlah dari Gunung sehinggalah tiba di suatu bukit bernama Bukit Buaian mereka menemui dulang berisi nasi tersebut. Disitulah mereka memulakan tugas mereka untuk meneroka kawasan tersebut dan menamakan kawasan itu sebagai Kuala Dulang bersempena dengan dulang berisi nasi yang ditemui mereka.

Mereka kemudiaanya terus membuka Hulu Teriang. Dan setelah negeri terbuka dengen penduduk bertambah ramai, Batin Lambong Setia Raja menukar namanya kepada Batin Maha Galang. Sempadan tanah untuk mereka memerintah juga turut ditandakan oleh Batin Terjali. Batin Terjali dan Maharaja Alif telah mengundurkan diri daripada tempat itu dan tidak diketahui dimanakah mereka pergi dan dimana mereka meninggal dunia.

Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Setelah menetapkan sempadan negeri Batin Maha Galang melantik Jenang Singa Setia Raja menggantikannya sebagai batin di Jelebu. Beliau kemudiannya menghilangkan diri. Selepas Singa Setia Raja menjadi Batin inilah pesaka yang diwariskan kepada perempuan iaitu Moyang Angsa.

Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Pada zaman Moyang Angsa, bermulalah persemendaan di antara orang melayu Minangkabau dan orang biduanda waris (jakun) di Jelebu. Persemendaan inilah yang mempengaruhi penduduk tempatan yang dikenali sbeagai Biduanda Waris.

Dato’ Gombak Penghulu Luak Jelebu Pertama.

Tersebutlah kisah serombongan orang Minangkabau yang diketuai oleh Dato’ Gombak yang datang ke Sungai Lumut (Jelebu) dengan izin Sultan Johor. Tujuannya ialah mengembangkan dan mengajar waris-waris biduanda disitu mengenai adat istiadat dan cara pemerintahan di Pagar Ruyung.

Sampai di tanah Jelebu Dato’ Gombak bertemu dengan Angsa, seorang gadis yang sangat jelita anak orang bergelar Batin Jenang Singa Raja Setia yang juga merupakan keturunan daripada peneroka Luak Jelebu iaitu To’ Jelondong. Apa lagi Dato’ Gombak pun rindu dendam pada Angsa. Dia rupanya terkena penyakit “Tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah”.

Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Kalau Pulau Langkawi gah dengan Mahsuri yang cantik jelita, Negeri Pahang dengan Tun Tijah, Kerajaan Melaka dengan Tun Kudu dan Majapahit dengan Radin Galohnya. Jelebu pun apa kurangnya. Moyang Angsalah saingannya.

Maka Dato’ Gombak pun berkahwinlah dengan Moyang Angsa. Sejak perkahwinan itulah Adat Perpatih berkembang sehingga menjadi dasar pemerintahan dan tata susila hidup orang di Jelebu. Bagi memuliakan suaminya, Moyang Angsa bersetuju supaya suaminya dilantik menjadi Penghulu di Jelebu. Pada ketika ini pemerintah di Jelebu dikenali sebagai Dato’ Penghulu Jelebu sahaja.

Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Semua orang Jelebu bersetuju dengan pelantikan Dato’ Gombak sebagai pemerintah Jelebu dan menjadi ketua kaum di situ. Sungguhpun Dato’ Gombak yang memerintah tapi mengikut adat, kunci pemerintahan ialah di tangan Moyang Angsa. Hal ini telah diwartakan kepada Sultan Johor dan baginda juga bersetuju.

Dengan Dato’ Gombak sebagai Dato’ Penghulu di Jelebu, bermulah era persemendaan orang Minangkabau ini. Dato’ Gombak mendapat anak perempuan bernama Moyang Acheh. Anaknya juga berkahwin dengan lelaki keturunan Minangkabau bernama Dato Mentunggang. Setelah Dato’ Gombak meninggal dunia, menantunya Dato’ Mentunggang pula dilantik menjadi Dato’ Penghulu.

Sejarah Pemerintahan Awal Luak Jelebu

Perkahwinan Moyang Acheh dengan Dato’ Mentunggang ini memperolehi sorang anak lelaki yang dinamakan Moyang Salleh. Cerita Moyang Salleh ini akan kami ceritakan pada artikel akan datang nanti tentang bagaimana peranan serta kehebatan beliau dalam peristiwa “Memutuskan Tali Ke Johor” sehingga berjaya memerdekakan Jelebu serta menjadi Undang Pertama Di Luak Jelebu.

Sumber – Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram: Luak Jelebu (1994); Sejarah Negeri Sembilan (1981); Kertas Kerja Sejarah Penghijrahan Petempatan Orang Minangkabau Di Negeri Sembilan, Abu Talip Bin Ramli (2001); jiwafaham-luakjelebukisahyangbenar.blogspot.my;

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.