Sejarah Pembukaan Dan Pemerintahan Awal Luak Ulu Muar

Luak Ulu Muar adalah sebahagian daripada Luak Tanah Mengandung. Bandar Kuala Pilah sekarang termasuk dalam Luak Ulu Muar. Disebabkan dalam sejarah terawal kerajaan Melayu tidak mempunyai sebarang catatan mengenai nama Kuala Pilah dan Seri Menanti, adalah dipercayai Ulu Muar telah wujud sebagai penempatan lebih awal daripada Kuala Pilah atau Seri Menanti.

Sejarah Pembukaan Dan Pemerintahan Awal Luak Ulu Muar

Kedudukan Luak Ulu Muar dalam peta Negeri Sembilan yang termaktub dalam perlembagaan negeri 1895 (Perjanjian menubuhkan persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan)

Sejarah Nama Ulu Muar
Ada pendapat mengatakan bahawa Ulu Muar mendapat namanya daripada sekumpulan pendatang yang memudiki sebatang sungai dari Singapura ke satu penempatan. Disebabkan mereka Muak (jemu) memudiki sungai berkenaan lalu dinamakan ‘Muak’ yang kemudiannya bertukar menjadi ‘Ulu Muar’. Tetapi berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ ada disebutkan;

“..Syahdan patahlah perang orang Singapura. Maka Raja Iskandar pun berlepas dari Seletar lalu ke Muar..”

Jadi bermakna perkataan Muar itu sendiri bukannya berasal daripada Muak seperti yang digambarkan. Ini juga juga bermakna, Sungai yang dimudiki oleh mereka sudahpun bernama dan Muar itu sendiri telah wujud sejak pemerintahan Melaka lagi. Berdasarkan Haji Buyong Adil dalam ‘Sejarah Johor’ pula menceritakan yang Muar sudahpun wujud sejak awal abad ke-18 lagi. Nama ‘Muar’ itu sendiri berasaskan daripada perkataan asal ‘muara’. Haji Buyong Adil menulis;

“..Dalam tahun 1604, dengan usaha seorang pegawai Portugis di Melaka bernama Godinho d’Eredia, orang-orang Portugis telah mendirikan sebuah kota kecil ke Kuala Muar, dan kota itu disebut oleh orang-orang Portugis namanya Fortaleza de Muar..”

Sumber sejarah bertulis ini tidak dapat dipertikaikan lagi mengenai wujudnya Muar di kuala atau muara sebatang sungai yang lebar sebelum abad ke-18. Menjadi kebiasaan pula pada masa dahulu sungai menjadi jalan perhubungan utama. Apabila mereka mudik dari kuala sungai yang diberi nama Muar, di sebelah hulunya tentulah diberi nama ”Ulu Muar’‘.

Sejarah Pemerintahan Awal Ulu Muar
Luak Ulu Muar sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan Luak Johol dari segi kesependudukan mahupun sempadan wilayah. (Luak Ulu Muar atau Pasir Besar pada peringkat awal berada dalam wilayah Luak Johol). Salasilah keturunan mengikut cerita lisan memang agak kompleks tapi daripada beberapa sumber ternyata penduduk asal di Ulu Muar adalah Orang Asli.

Walaubagaimanapun kisah penerokaan Ulu Muar dikaitkan dengan kedatangan 7 orang pedagang Hindustan dari Singapura yang mudik melalui Sungai Muar sekitar awal abad ke-18 yang dipercayai adalah orang-orang Minangkabau yang diketuai oleh Mogek Si Ramo. Dikatakan beliau adalah pembesar Johor yang terbabit dalam pembunuhan Sultan Mahmud II (atau Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) pada tahun 1699 iaitu Megat Si Rama, Laksamana Bentan. (Klik disini untuk baca artikel sebelum ini).

7 orang pedagang lain selain daripada Mogek Si Ramo ialah Dato’ Perdana, Dato’ Purba, Dato’ Bujang dan isterinya Nenek Gadeh, dan Banun bersama suaminya Syeikh Abdul Rahman. Bagaimananapun kesemua pendagang tidaklah sampai ke Ulu Muar. Hanya Banun dan suaminya Syeikh Abdul Rahman sahaja yang tiba dan menetap di Ulu Muar manakala yang lainnya megambil keputusan keputusan untuk menetap di Pasir Besar. Daripada keturunan inilah bermulanya pemerintahan awal Penghulu Luak Muar.

Selepas Banun membuka penempatan disini, sebuah keluarga Orang Minangkabau dari Pahang berhijrah ke Ulu Muar. Mereka terdiri daripada suami isteri bersama dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki dikenali sebagai Khatib Akhir. Keluarga berkenaan dari suku Seri Lemak (Pahang). Anak keluarga ini kemudiannya berkahwin dengan anak perempuan Banun bernama Tengkis (atau Senduk Emas).

Perkahwinan antara Tengkis dengan Khatib Akhir ini mendapat seorang anak bernama Naam yang kemudiannya menjadi Penghulu Luak pertama.

Sejarah Pembukaan Dan Pemerintahan Awal Luak Ulu Muar

Salasilah Dato’ Naam, Penghulu Luak Ulu Muar Pertama

Ikatan tali persaudaraan antara Penghulu Luak Ulu Muar dengan kerabat DiRaja Seri Menanti sudah bermula sejak Raja Melewar lagi apabila baginda berkahwin dengan Sani anak perempuan Penghulu Naam, Penghulu Luak yang pertama. Ia berlaku selepas tercetusnya krisis pertama (klik disini untuk baca) di Negeri Sembilan antara Penghulu Luak Ulu Muar, Dato’ Naam dengan Raja Melewar. Ia berlaku disebabkan Dato’ Naam tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Raja Melewar sebaliknya mempertahankan menantunya, Raja Khatib yang menyamar sebagai Raja Melewar. Akhirnya Penghulu Naam dijatuhi hukuman pancung memandangkan beliau enggan mengakui Raja Melewar sebagai Raja.

Sejarah Pentadbiran Awal Ulu Muar
Sistem pentadbiran adat Luak Ulu Muar berbeza sedkit daripada luak-luak lain. Penghulu Luak Ulu Muar adalah pemerintah tertinggi sebagai ‘imam’ kepada penghulu-penghulu luak lain di Tanah Mengandung. Penghulu luak ini juga memiliki 2 buah cop mohor iaitu;

Sejarah Pembukaan Dan Pemerintahan Awal Luak Ulu Muar

Pertama yang dianugerahkan oleh Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil II (Berkemungkinan ia adalah Cop Mohor yang dianugerahkan Oleh Sultan Siak berdasarkan fakta garis masanya yang tidak menepati zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil II, Johor dengan kedatangan orang-orang Minangkabau ke Ulu Muar). Gelaran cop mohor tersebut sebagai memperakui pemerintah Luak Ulu Muar ialah ‘Bendahara Setia Maharaja’.

Cop Mohor kedua pula dikurniakan oleh Yamtuan Antah, Seri Menanti yang membawa gelaran ‘Setia Maharajalela Pahlawan’ selaku ‘pengetua istana besar Seri Menanti’ (nama inggerisnya, The Great Lord Chamberlian).

Sejarah Pembukaan Dan Pemerintahan Awal Luak Ulu Muar

YM Dato’ Bendahara Setia Maharaja Lela Pahlawan Haji Mansor bin Yusof, Penghulu Luak Ulu Muar sekarang bersama isteri beliau

Gelaran penyandang pesaka bagi Penghulu Luak Ulu Muar ialah Dato’ Bendahara Setia Maharaja, Setia Lela Pahlawan. Pesaka ini diwariskan secara bergilir kepada Dato’ Perdana dan Dato’ Purba sekiranya berlaku kematian atau peletakan jawatan oleh Penghulu Luak Ulu Muar.

Sumber – Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram, Luak Tanah Mengandung; [email protected] (Sejarah Luak Ulu Muar).

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.