Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar

Bagi mereka yang tinggal di Kuala Pilah, sudah semestinya Masjid Jamek Yamtuan Raden menjadi tumpuan bagi jemaah yang ingin menunaikan solat fardhu lima waktu mahupun Jumaat. Tapi mungkin ada segelintir yang datang ke masjid ini juga tidak mengetahui sejarah serta asal usul masjid ini dibina pada mulanya, terutamanya orang luar yang datang singgah ke masjid ini.

Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar

Sebenarnya tapak Masjid Jamek Yamtuan Raden yang ada sekarang ini bukanlah tapak asal masjid tersebut. Tapak asal masjid ini sebenarnya terletak di pinggir Sungai Muar iaitu dibelakang Pejabat Daerah Kuala Pilah sekarang, yang dikenali sebagai Masjid Tok Muar. Memandangkan penduduk makin bertambah maka dipindahkan ke tempat sekarang ini.

Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar

Masjid asal tersebut dikatakan telah dibangunkan sebelum tahun 1900 lagi dan namanya diambil dari sempena Penghulu Luak Ulu Muar yang pertama iaitu Dato’ Muar Bongkok Abdul Malik yang hidup sekitar tahun 1839 dan dikatakan juga beliau disemadikan dikawasan masjid tersebut.

Tok Muar Bongkok ini pula sezaman dengan Yamtuan Raden iaitu Yamtuan Negeri Sembilan Yang ke-4. Menurut cerita orang-orang dahulu, pedagang-pedagang terutama dari Johor dan Melaka menggunakan laluan sungai ini dan singgah untuk berdagang dengan peduduk tempatan. Dengan kepesatan urus dagangan waktu itu, mereka mendirikan sebuah surau dan lama kelamaan jadilah ia sebuah masjid bagi penduduk Kuala Pilah.

Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar

Dalam tahun 1937, lahir pula satu cita-cita yang ingin melihat terdirinya sebuah lambang Islam bagi daerah ini dan bagi keperluan umat Islam Kuala Pilah yang semakin berkembang, tetapi cita-cita itu berkecai dimamah zaman, mereka yang mengerakkan azam tersebut ialah Almarhum Tunku Laksamana Abdul Kahar Ibni Almarhum Yam Tuan Antah (Penaung), Aly. Dato’ Pengaman Ismail bin Dato’ Laksamana Manat (Ketua) Tuan Kadhi Aly. Hj. Sulaiman Othman, Tengku Husin bin Tengku Yahaya, Tuan Sheikh Tahir bin Laba (Setiausaha) dan beberapa orang kenamaan yang lain.

Apabila tamat penjajahan Jepun keatas Tanah Melayu, cita-cita tersebut masih tidak kesampaian, dan muncul lagi azam tersebut pada tahun 1947, dan Jawatankuasanya silih berganti sehingga terbentuk satu lagi Jawatankuasa yang diketuai oleh En. Ismail Ibrahim sehingga terbinanya sebuah Masjid baru bagi penduduk daerah ini pada tahun 1966.

Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar

Bagi mengekalkan perjalanan Masjid Tok Muar dan tidak ditinggalkan kosong, pengurusan Masjid tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Polis Daerah Kuala Pilah mulai 16hb. Februari 1957 dengan suatu perjanjian yang tertentu dan dijadikan Madrasah Polis Kuala Pilah.

Pada tahun 2006 pengurusan Masjid Tok Muar tersebut telah diserahkan pula oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sebagai Pemegang Amanah kepada Yayasan Kasih Sayang yang dipimpin oleh En. Muhammad Adnan Bin Abdullah sebagai Presiden, dan masjid lama ini dibaikpulih dan masih mengekalkan reka bentuk asal. Yayasan tersebut memberi tumpuan kepada saudara baru Islam dalam soal kebajikan, bimbingan dan sebagainya. Maka Masjid Tok Muar terus berfungsi sehinggalah sekarang. Dipercayai juga Masjid Tok Muar merupakan masjid tertua di daerah Kuala Pilah.

Sejarah Masjid Jamek Yamtuan Raden Dan Kaitannya Dengan Masjid Tok Muar

Tanggal 10hb. Oktober 1964 merupakan hari bersejarah bagi Kuala Pilah, bila batu asas telah diletakkan oleh DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kerja-kerja pembinaan dimulakan awal tahun 1965 dengan kos sebanyak RM 209,212.50

Masjid baru ini telah mengambil nama Yang Di Pertuan Besar Seri Menanti iaitu gelaran yang ke empat dari salasilah Raja-raja yang memerintah Negeri Sembilan (1824-1861), iaitu Masjid Jamek Yamtuan Raden.

Maka hari yang bersejarah bagi penduduk Kuala Pilah iaitu pada 23 Januari 1966 bersamaan 1 Syawal 1385, mereka pertama kali mendirikan Solat Aidil Fitri di Masjid tersebut, dan mendirikan Solat Jumaat pada 4 March 1966. Mulai tahun tersebut, perkembangan Masjid Jamek Yamtuan Raden terus berjalan lancar termasuklan tambahan infrastruktur bagi keperluan jamaah.

Jika dibandingkan konsep reka bentuk antara kedua-duanya, masjid lama berkonsepkan reka bentuk tradisi dan diperbuat daripada kayu, manakala bumbungnya beratapkan rumbia. Masjid baru pula dibina mengikut reka bentuk Timur Tengah dan didirikan berasaskan konkrit dan berbumbung rata. Selain itu ia diperindahkan dengan kemasan moden seperti marmar yang bercorak. Masjid ini juga dilengkapi dengan ruang pejabat untuk pengurusan masjid dan pelbagai kemudahan asas demi keselesaan jemaah.

Sumber – ii.islam.gov.my; gerbangkeadilankp.blogspot.my (Khamis, 13 November 2008), yksn9.blogspot.my (Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.