Sejarah Kampung Tengkek, Hulu Jempol, Kuala Pilah

Kampung Tengkek adalah sebuah perkampungan jauh diperdalaman mukim Ulu Jempol dalam daerah Kuala Pilah. Kariah Kampung-Kampung Tengkek terdiri daripada 9 buah kampung. Kawasan Kampung Guntur ialah kawasan penempatan khas orang asli. Masyarakat orang asli kampung ini dipercayai penduduk asal kampung ini sehinggalah ia diteroka oleh sekumpulan kaum minang yang mudik dari Sungai Muar dan Sungai Jempol.

Sejarah Kampung Tengkek, Hulu Jempol, Kuala Pilah

Kampung ini dahulu dikenali juga sebagai Batu Dua Belas (Batu 12) memandangkan jaraknya dari Batu Kikir ialah 12 batu dan merupakan kawasan yang hulu sekali di Mukim Hulu Jempol ini.

Berdasarkan cerita orang terdahulu, peneroka awal agak susah untuk ke kampung ini. Mereka perlu mendaki bukit curam berdekatan dengan Kampung Kering sebelum sampai ke kampung ini. Bukitnya pula bertingkat-tingkat sehinggakan mereka terpaksa menggunakan tongkat untuk mendakinya. Disebabkan keadaan tersebutlah kampung ini dinamakan ‘Kampung Tengkek’. Walaubagaimanapun ada yang berpendapat nama Kampung Tengkek ini diambil sempena nama batin orang asli yang menetap disini.

Sejarah Kampung Tengkek, Hulu Jempol, Kuala Pilah

Kedudukan Kampung Tengkek dalam Google Maps

Merujuk kepada topografi kendudukan kampung ini, Tengkek benar-benar berada di lembah antara banjaran bukit dalam rangkaian Titiwangsa. Kewujudan air terjun yang menambah seri kampung dengan flora dan fauna menjadi kebanggaan anak kampung. Jeram Tengkek cukup terkenal dengan pemandangan yang nyaman dan kesejukan airnya.

Sejarah Kampung Tengkek, Hulu Jempol, Kuala Pilah

Jeram Tengkek di Hutan Lipur Jeram Tengkek, Batu Kikir, Negeri Sembilan

Dari sanalah juga terbentuk anak sungai Jempol atau dikenali ‘Tang Jempol’ oleh penduduk kampung. Menurut orang tua kampung, Jeram Tengkek dulu-dulunya adalah perkampungan masyarakat Bunian yang mana ada penduduk kampung datang meminjam pinggan mangkok untuk kenduri kawin dari orang Bunian ini. Namun apabila ada kemungkiran janji, hubungan ‘sosial kontrak’ kedua-dua masyarakat nyata dan ghaib ini telah terputus. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Apabila tanaman getah mula diperkenalkan disana pada suatu ketika dahulu, kawasan hutan tanah milik raja di Kampung Kering iaitu sebelah kampung Tengkek telah mula ditebang tebas untuk diusahakan. Kampung asal yang dahulu disebut bagai tempat jin bertandang kini menjadi gondol dan riuh rendah kemasukan orang luar. Jalan enam kaki mula dibina tetapi masih kekal berbentuk jalan tanah. Penduduk kampung mula mendapat manfaatnya kerana berbasikal ke pekan Batu Kikir dan Kuala Pilah menjadi lebih mudah.

Sejarah Kampung Tengkek, Hulu Jempol, Kuala Pilah

Jalan utama ke Kampung Tengkek

Sumber – ayahku.blogspot.my; WARISAN: Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Negeri Sembilan 21 (1998) – Asal-usul nama kampung dalam mukim Hulu Jempol, Daerah Kuala Pilah.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.