Rumah Kongsi Pekerja Asing Terbakar, Wang Gaji RM100,000 Hangus

PORT DICKSON, 12 Nov – Bukan saja tinggal sehelai sepinggang malah 112 pekerja warga asing turut berputih mata apabila wang gaji berjumlah lebih RM100,000 hangus selepas enam rumah kongsi dihuni mereka musnah dalam kebakaran berhampiran Masjid Kampung Paya di sini, semalam.

Kebakaran jam 3 pagi itu berlaku ketika penghuni sedang tidur. Bagaimanapun, mereka dapat menyelamatkan diri selepas menyedari kejadian.

Warga Indonesia dikenali sebagai Ayid, 27, berkata, mereka tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi termasuk gaji yang baru diterima beberapa hari lalu.

“Wang gaji saya berjumlah RM1,000 hangus malah ada yang kerugian RM2,000. Bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana selamat. Bomba yang tiba tidak lama kemudian dapat mengawal api daripada merebak ke rumah kongsi lain,” katanya yang baru sebulan bekerja.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Port Dickson Mohd Zainudin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 3.23 pagi dan bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota.

“Sejurus tiba, kami dapati api sedang membakar rumah kongsi menempatkan warga Indonesia dan Bangladesh. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya 20 minit kemudian dan semua penghuni dapat menyelamatkan diri. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Rumah Kongsi Pekerja Asing, Terbakar Di Port Dickson

Mangsa kebakaran mencari barangan yang masih selamat selepas rumah kongsi didiami terbakar di Port Dickson.

Sumber – Petikan berita daripada Harian Metro Online (12 November 2017 | 9:01 AM)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.