Residen Pertama British Dan Peyatuan Wilayah Yang Dinamakan Negeri Sembilan

Residen merupakan jawatan perwakilan diplomatik yang diwujudkan oleh penjajah British, terutamanya untuk tanah jajahan dan negeri naungan. Selepas Perjanjian Pangkor 1875, British telah melantik beberapa Residen di Negeri-negeri Melayu Bersekutu antaranya di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Tujuannya adalah sebagai penasihat kepada Sultan negeri-negeri tersebut.

Residen Pertama British Dan Peyatuan Wilayah Yang Dinamakan Negeri Sembilan

Di Negeri Sembilan kewujudan sistem residen bukanlah wujud selepas perjanjian Pangkor lagi. Malah ia telah wujud dalam pemerintahan luak Sungai Ujong ketika itu dimana Patrick J. Murray telah dilantik menjadi residen disana. Kewujudannya adalah atas permintaan pemerintah luak Sungai Ujong sendiri iaitu Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman bagi menghadapi krisis perbalahan serta penentangan oleh Dato’ Syahbandar Abdullah Tunggal. (Baca artikel berkaitan disini.)

Sungguhpun begitu perbalahan atau kekacauan ini bukan berlaku di Sungai Ujong sahaja, malah ia juga berlaku di Jelebu, Seri Menanti dan Rembau sehingga akhirnya mendorong Inggeris untuk campurtangan keatas semua luak-luak ini. Campurtangan ini membawa kepada penyatuan wilayah-wilayah (luak) tersebut hingga membentuk persekutuan Negeri Sembilan yang ada sekarang.

Menjelang tahun 1888, semua negeri kecuali Tampin adalah dibawah penyeliaan British. Pada 18 Mac 1889, Yamtuan Tuanku Muhammad yang juga Yamtuan Seri Menanti telah menandatangani satu perjanjian dengan Undang Yang Empat yang membawa kepada pembentukan awal Negeri Sembilan yang meliputi Seri Menanti, Johol, Ulu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir, & Inas.

Antara kandungan perjanjian yang bersejarah ini ialah persetujuan Undang Yang Empat mengiktiraf Yamtuan Tuanku Muhammad sebagai Yamtuan kepada keempat-empat Luak yang disatukan itu membentuk satu negeri yang dinamakan Negeri Sembilan. Melalui perjanjian ini jugalah Yamtuan Seri Menanti bersama-sama Undang Yang Empat bersetuju menerima seorang Penasihat British menjadi Penasihat kepada Negeri Sembilan melainkan hal-hal yang bersangkutan dengan hal-ehwal Agama Islam.

Residen Pertama British Dan Peyatuan Wilayah Yang Dinamakan Negeri Sembilan

Sesungguhnya perjanjian yang ditandatangani pada dalam tahun 1889 membawa dua kesan. Kesan pertama ialah penyatuan beberapa Luak dengan nama Negeri Sembilan dan kesan kedua ialah bermulanya campur tangan British di Negeri Sembilan secara langsung. Sungguhpun Yamtuan dilantik mewakili keempat-empat luak di Negeri Sembilan, bidang kuasanya hanya terletak pada Seri Menanti sahaja. Dengan pelantikan Penasihat British di Negeri Sembilan pada ketika itu bermulalah perlantikan Residen Inggeris secara lansung di Negeri Sembilan. Residen yang dilantik pada ketika itu ialah Martin Lister.

Pada 13 Julai 1889 pula, satu konfiderasi yang dinamakan Negeri Sembilan telah dicapai. Yamtuan Sri Menanti, Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah bersama-sama pemerintah-pemerintah Johol (termasuk Gemenceh), Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir dan Terachi, bersama-sama dengan Tunku Syed Hamid pemerintah Tampin dan Dato Setia Raja dari Rembau dengan rasminya telah bersetuju menerima perlindungan British melalui satu satu perjanjian yang telah ditandatangani bersama oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil C. Smith.

Residen Pertama British Dan Peyatuan Wilayah Yang Dinamakan Negeri Sembilan

Dengan penubuhan Konfiderasi ini, maka kawasan Negeri Sembilan terbahagi kepada dua unit pentadbiran yang diakui oleh Inggeris. Yang pertama ialah kawasan bahagian Timur yang mengandungi Sungai Ujung (termasuk Jelebu) di bawah Residen Sungai Ujung iaitu W.F.B. Paul, manakala bahagian Barat dengan nama Negeri Sembilan terletak di bawah Residen Negeri Sembilan, Martin Lister.

Pada 8 Ogos 1895, satu lagi perjanjian telah ditandatangani di hadapan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charlis Bullen Hugh Mitchell mengenai penubuhan Konfiderasi Negeri Sembilan yang lebih besar dimana Sungai Ujong dan Jelebu turut dimasukkan sekali dalam penubuhan ini dengan Martin Lister telah dilantik sebagai Residennya yang pertamanya. Perjanjian tersebut adalah merupakan asas kepada pembentukan wilayah Negeri Sembilan yang ada sekarang ini.

Residen Pertama British Dan Peyatuan Wilayah Yang Dinamakan Negeri Sembilan

INFO TAMBAHAN: Martin Lister yang merupakan Residen Inggeris pertama di Negeri Sembilan telah berkhidmat diawal penubuhan persekutuan Negeri Sembilan (1888 – 1897). Walaubagaimanapun, pada tahun 1897 beliau dipercayai dibunuh dengan cara diracuni sewaktu beliau mengadakan penjelajahan hutan di Negeri Sembilan. Dikatakan pembunuhan itu disebabkan campurtangan Lister dalam meredakan konflik antara kongsi Gelap Cina yang berleluasa di kalangan penduduk asing di Kuala Pilah. Sebagai memperingati jasanya suatu tugu telah dibina di Kuala Pilah. (Rujuk artikel ini untuk maklumat selanjutnya)

Residen Pertama British Dan Peyatuan Wilayah Yang Dinamakan Negeri Sembilan

Sumber – arkib.gov.my; Negeri Sembilan: Bab4 – Pengenalan Negeri Sembilan Sebagai Sebuah Persekutuan (Kertas Kajian UM), Negeri Sembilan (Ooi Keat Gin & Amriah Buang), Map Malay Peninsula 1908 – Euratlas.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.