Rendang Maman Masyarakat Minang Terlazat Di Dunia

Sekiranya ada yang bertanya, apakah masakan yang sinonim dengan Negeri Sembilan, pasti ramai yang terbayangkan kuah lemak berwarna kekuningan yang kaya dengan ramuan santan dan cili api.

Rendang Maman Dari Negeri Sembilan Terlazat Di Dunia

Baik menggunakan ikan sungai salai, udang galah, ayam kampung mahupun daging yang disalai, masak lemak cili api ini sudah menjadi hidangan wajib bagi penduduk di negeri itu sejak beratus tahun dahulu. Namun, selain masak lemak cili api, negeri ini yang terkenal dengan budaya Minang turut popular dengan masakan tradisionalnya iaitu rendang daging lembu.

Lebih menarik, rendang Minang ini turut disenaraikan sebagai 50 hidangan terlazat di dunia oleh CNN International menerusi pencarian daftar makanan World’s 50 Most Delicious Foods pada tahun 2011.

Kekayaan gastronomi yang diwarisi sejak turun-temurun di Negeri Sembilan turut dipelbagaikan, kebanyakannya melalui perkahwinan dan perpindahan. Di pekan Gemencheh yang terletak di daerah Tampin, misalnya, masakan ini sangat popular. Ia lebih dikenali dengan nama “Rendang Maman”.

Orang Johol Suko Bonar Rendang Maman

“Orang sini memang suko bonar rondang maman. Laie-laei bilo nak rayo. Kalau tak do maman, tak rayolah Monceh,” seloroh Meriam Pilus, 63, dalam loghat Negeri Sembilan.

Menurut anak jati Gemencheh itu, keakraban masyarakat tempatan dengan rendang maman memang tidak boleh dipertikaikan.

Katanya, masakan tersebut bukan sahaja diminati oleh orang Melayu malah orang Cina dan India. Juadah wajib ada semasa perayaan Aidilfitri itu turut menjadi hidangan pilihan keluarga semasa sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali.

“Jangan pelik kalau masyarakat Cina dan India di sini pun sudah pandai masak rendang maman,” katanya yang berasal dari Kampung Geduk, satu-satunya kampung di Gemencheh yang mengusahakan tanaman sayuran maman secara komersial.

Sejarah Rendang Maman

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Geduk, Fahim Mahmod, 49, sayur maman telah dijumpai lebih 100 tahun dahulu di kawasan Gemencheh seperti di Kampung Geduk, Sungai Dua, Kampung Seri Asahan, Gemencheh Lama, Kampung Sungai Jernih, Bukit Rokan dan Felda Bukit Rokan.

Rendang Maman Dari Negeri Sembilan Terlazat Di Dunia

Menurut cerita lisan daripada generasi terdahulu, rendang maman pernah mendamaikan perselisihan antara orang Johol dan orang Gemencheh di Negeri Sembilan. Ia berlaku sekitar akhir 1800-an dan awal 1900-an, orang Johol dan Gemencheh berbalah kerana suku dan berebut lombong emas di Gemencheh.

Orang Gemencheh sepakat mahu kenakan orang Johol yang datang bertandang. Ketika mahu masak rendang maman, mereka masukkan cili api dan santan dalam jumlah yang banyak supaya orang Johol yang makan kepedasan dan serik untuk datang membuat kacau di Gemencheh.

Namun, apa diharapkan tidak menjadi. Orang Johol sebaliknya menggemari rendang maman malah ingin kembali ke Gemencheh untuk menikmati rendang maman.

Sayur Maman RM18 sekilo

Fahim yang turut mengusahakan tanaman maman juga mempunyai ladang seluas 1.6 hektar yang mampu menghasilkan kira-kira hampir 200 kilogram (kg) maman setahun dengan pendapatan RM8,000 sebulan.

Rendang Maman Dari Negeri Sembilan Terlazat Di Dunia

“Menjelang musim cuti sekolah dan perayaan, saya tidak menang tangan hendak penuhi permintaan pelanggan. Kalau lagi dua-tiga hari hendak raya, macam pesta orang datang membeli sayur maman. Malah, sampai ada yang bergaduh berebutkan sayur maman di pasar tani,” katanya yang menjual antara 300 hingga 400kg maman di pasar tani setiap hujung minggu.

Menurutnya lagi, pada hari biasa, sayuran berbunga itu dijual pada harga RM6 sekilogram namun menjelang musim perayaan, ada yang mengambil kesempatan menjual sehingga RM18 sekilogram.

Maman atau nama saintifiknya Cleome Gynandra merupakan sayuran yang boleh tumbuh dan dituai sepanjang tahun. Hanya mengambil masa selama 25 hari sebelum boleh dituai, penjagaan pokoknya yang berbatang lembut juga tidak cerewet.

Rendang Maman Dari Negeri Sembilan Terlazat Di Dunia

“Yang penting perlu pastikan ia mendapat air yang secukupnya. Selain itu, ia juga perlu dibaja dan diracun secara berkala. Sesekali dalam seminggu, rumput dan pokok bayam pasir yang sama-sama berebutkan khasiat baja tahi ayam perlu dicabut bagi memastikan maman mempunyai peluang untuk membesar dengan sempurna” kata seorang pekerja ladang maman, Hanipah Meon, 27.

Dia yang berasal dari Surabaya, Indonesia mengenali maman ketika bekerja di ladang tersebut dan kini sudah pandai memasak rendang maman seperti orang tempatan.

Rendang Maman Dari Negeri Sembilan Terlazat Di Dunia

Tidak hanya dinikmati ketika musim perayaan, rendang maman turut menjadi juadah pilihan dalam majlis kenduri-kendara dan menu seharian masyarakat Gemencheh. Hidangan tradisi itu juga sering menjadi menu harian apatah lagi jika ada anak-anak yang balik bercuti ke kampung.

Sumner – Kosmo Online (26 Feb 2012)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.