Punca Bilik Hotel Runtuh Akibat Letupan Pemanas Air

PORT DICKSON, 1O Okt – “BUNYI letupan dan dentuman kuat menyebabkan saya segera naik ke tingkat enam untuk memeriksa. Saya melihat dinding bilik berkenaan runtuh,” kata saksi kejadian runtuhan di sebuah bilik hotel di Port Dickson, pagi ini.

Pengawal keselamatan hotel berusia 43 tahun itu berkata, dia turut mendengar jeritan mangsa sebaik menghampiri bilik terbabit.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, pasangan suami isteri berusia 50-an yang menginap di bilik berkenaan cedera akibat terkena runtuhan manakala anak lelakinya berusia 27 tahun selamat.

“Keadaan agak kelam kabut kerana gelap. Saya dan beberapa pekerja cuba membantu mangsa tetapi tidak berjaya kerana mereka terperangkap di bawah runtuhan selain cedera di kepala serta kaki. Kami tidak dapat berbuat apa-apa dan menunggu pasukan bomba tiba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat letupan pemanas air.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya mengarahkan bangunan itu ditutup sementara sehingga siasatan selesai.

“Kejadian hanya membabitkan satu bilik di tingkat atas dipercayai akibat letupan dari alat pemanas air. Setakat ini, bangunan ini masih disahkan selamat,” katanya.

[BERITA BERKAITAN: Siling, Bumbung Hotel Runtuh Di Port Dickson.]

Siling, Bumbung Hotel Runtuh Di Port Dickson

Suami isteri cedera ringan selepas siling dan bumbung bilik penginapan di sebuah hotel di Port Dickson runtuh awal pagi tadi. – Foto Bomba

Memetik daripada berita lain dari akhbar yang sama, Kumpulan Hotel Avillion Port Dickson, kesal dengan kejadian letupan yang berlaku di sebuah bilik di hotel itu sehingga mengakibatkan suami isteri tersebut cedera.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amirul Azhar Baharom berkata, kedua-dua mangsa cedera ringan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Port Dickson.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan mengesahkan tingkat satu dan tiga blok yang kebanyakannya terdiri daripada bilik mesyuarat selamat diduduki, namun pihak pengurusan memutuskan untuk menutup keseluruhan blok berkenaan dan memindahkan tetamu ke blok lain.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. Malah, jurutera hotel juga akan menyertai siasatan itu.

“Kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber – Petikan berita daripada Harian Metro (10 Oktober 2017 | 11:37 AM)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.