Perjanjian Penentuan Sempadan Wilayah Rembau – Melaka Tahun 1833

Sebahagian besar mukim-mukim yang terdapat di kawasan utara Melaka iaitu dalam lingkungan kira-kira 320 km persegi bukanlah terkandung dalam wilayah adat perpatih. Hanya sebahagian sahaja yang terlibat dalam wilayah adat ini. Ia termasuklah 25 buah mukim di Alor Gajah, Melaka dan 3 buah mukim di dalam daerah Jasin, Melaka. Boleh dikatakan wilayah adat ini melingkungi seluruh kawasan pedalaman Melaka Utara.

Perjanjian Penentuan Sempadan Wilayah Rembau - Melaka Tahun 1833

Lakaran Peta Luak Naning sekitar tahun 1825

Dahulunya wilayah ini merupakan sebahagian daripada penubuhan Negeri Sembilan lama yang terdiri daripada Ulu Kelang, Sungai Ujong, Naning, Jelai, Ulu Pahang dan Johol. Sehinggalah peperangan yang meletus di wilayah Naning pada tahun 1832 sehingga mengakibatkan wilayah ini ditakluki sepenuhnya oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (British) dan diletakkan dibawah naungan pentadbiran wilayah Melaka pada tahun 1833.

Perjanjian Penentuan Sempadan Wilayah Rembau - Melaka Tahun 1833

Peta persekutuan Negeri Sembilan lama yang dibentuk sekitar tahun 1773

Jadi tidak hairanlah mengapa sebahagian kawasan seperti Masjid Tanah, Naning, Lubuk Cina dan kawasan-kawasan yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan, masih lagi bertutur dengan loghat Negeri Sembilan dan Mengamalkan adat pepatih.

Bagi meneruskan penguasaan Syarikat Hindia Timur Inggeris (British) di wilayah Naning, satu perjanjian telah dimeterai pada tahun 1833 bagi menentukan sempadan di antara Rembau dan Melaka telah ditandatangani. Perjanjian ini telah dibuat di antara Ketua Pemerintah Rembau, dan pembesar-pembesarnya dengan wakil-wakil dari Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Perjanjian Penentuan Sempadan Wilayah Rembau - Melaka Tahun 1833

Dato’ Dol Said (Dato’ Undang Naning ke-9) yang juga merupakan pahlawan Naning yang menentang penjajahan Syarikat Hindia Timur Inggeris (British)
di Melaka pada tahun 1831

Di antara yang mewakili pihak Rembau ialah Yam Tuan Besar Raja Ali dan Yam Tuan Muda Sharif Saban bin Ibrahim Al-Kadaree, Datuk Penghulu Maharaja Lela dan Datuk-Datuk dari Lapan Suku Rembau iaitu Datuk Maharaja Gampar, Datuk Mara Wangsa, Datuk Sangsuria, Datuk Balang Wangsa, Datuk Saunia Raja, Datuk Andika, Datuk Maharaja Sendang dan Datuk Mandaleka.

Pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris pula telah diwakili oleh Robert Ibbetson, Gabenor Majlis Pulau Pinang, Singapura dan Melaka dan Samuel Garling, Penasihat Residen Melaka.

Di antara isi perjanjian yang termeterai di Naning ini ialah:

  • Sempadan di antara Rembau dan Melaka ialah Kuala Sungai Jenai hingga ke Bukit Bertam, kemudiaan hingga ke Bukit Jelutong, ke Bukit Putus, kemudian hingga ke Jerat Kancil, ke Lubuk Taling, hingga ke Dusun Perinjai, ke Dusun Kacur hingga ke Buluh Sangkar dan ke Bukit Putus. Sempadan-sempadan tersebut dipersetujui secara ikhlas dan akan dikekalkan selama-lamanya. Perubahan-perubahan terhadap sempadan tersebut tidak akan dibuat lagi.
  • Walau sesiapa pun yang akan menjadi pemerintah Kerajaan Melaka atau Kerajaan Rembau kemudiannya, mereka hendaklah menghormati dan mematuhi perjanjian yang telah dibuat ini.
  • Daripada tarikh ini, kedua-dua pihak yang menandatangani perjanjian ini, hendaklah membatalkan kesemua perjanjian-perjanjian dan persetujuan yang telah dibuat sebelumnya berkaitan dengan sempadan di antara Rembau dan Melaka.

Perjanjian Penentuan Sempadan Wilayah Rembau - Melaka Tahun 1833

Lambang Jata Luak Naning

Dengan termetrinya perjanjian yang ditandatangani pada hari tersebut dalam tahun 1833, terbentuklah sempadan di antara Melaka dan Rembau yang akan memudahkan perhubungan di antara kedua-dua belah pihak. Dalam masa yang sama juga, Naning juga terlepas ke tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris di Melaka serta terkeluarlah Luak Naning dalam persekutuan Negeri Sembilan yang ditubuhkan sebelum tahun 1773 (Jemputan Raja Melewar ke Negeri Sembilan sebagai Raja).

Sumber – malaycivilization.ukm.my (Sejarah Adat Perpatih Wilayah Naning di Melaka); hids.arkib.gov.my (PERJANJIAN SEMPADAN REMBAU).

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.