Perigi Godang Simpan Sejarah Tersendiri

KUALA PILAH – Kewujudan sebuah perigi Godang yang mempunyai mata air di Kampung Bukit Istana, Johol memiliki sejarahnya tersendiri. Perigi itu dikatakan berusia 200 tahun, menggunakan nama Godang diambil sempena nama Undang Gobah yang ketika itu dilantik sebagai Undang Luak Johol keenam, sekitar tahun 1820 hingga 1840-an.

Perigi Godang Simpan Sejarah Tersendiri

Tok Batin, Alam Suhut berkata, mengikut sejarah dahulu perigi itu dijadikan tempat mandi untuk Undang Gobah.

“Dek kerana memiliki ilmu kesaktian luar biasa, dikatakan jika orang melintas belakangnya tanpa izinnya, orang itu boleh rebah (gobah). Maka dari situlah Undang Gobah dapat gelarannya. Difahamkan orang yang rebah itu kemudiannya dipulihkan semula oleh Undang Gobah, dengan ambil air perigi dan diberikan minum dari basuhan tangannya,” katanya.

Perigi Godang Simpan Sejarah Tersendiri

Alam berkata, masih ramai masyarakat di kawasan sekitar belum mengetahui sejarah dan kewujudan perigi Gobah kerana ia jarang diperkatakan.

“Sehinggalah kepada Majlis Kerjan Undang Luak Johol ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah. Perigi ini dikenali semula oleh semua pihak. Bagi sesiapa yang dilantik serta menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, perlu ikut tradisi wajib seperti mandi berlangir (bersiram) di perigi Godang. Selain itu, mereka turut perlu ikuti adat menaikkan daulat beliau (Muhammed) di Makam Gobah iaitu Undang Luak Johol keenam,” katanya.

Tambah Alam, sejurus selesai majlis berlangir, beliau akan menggunakan tepung tawar dan direnjiskan di kepala serta badan datuk undang.

Perigi Godang Simpan Sejarah Tersendiri

“Tepung tawar itu perlu guna daun sedingin dan daun sepulih. Dua jenis daun ini dipilih secara simboliknya untuk mendinginkan jasmani dan rohani serta memulihkan segala unsur kurang baik kepada yang baik. Ia dipercayai akan menjadikan seorang pemimpin yang gagah perkasa, bersih zahir dan batin,” katanya. Menurut Alam, perigi tersebut juga sehingga kini dijaga oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan. – Sumber Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.