Pencapaian Keputusan SPM 2016 Negeri Sembilan Kedua Terbaik Di Malaysia

Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan tahniah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 Negeri Sembilan yang telah berjaya meletakkan Negeri Sembilan di tangga kedua terbaik peringkat kebangsaan. Menurut beliau sekolah-sekolah di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan yang amat baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.79 berbanding 4.90 pada 2015.

keputusan spm 2016

“Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga hasrat kerajaan negeri untuk terus mencemerlangkan agenda pelajaran dapat direalisasikan. Tahniah kepada semua pelajar-pelajar yang berjaya, kepada semua ibu bapa dan penjaga dan syabas kepada semua warga pendidik yang bertungkus lumus dan tak pernah kenal erti jemu, terus dengan gigih mendidik anak bangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kolej Tunku Kurshiah kerana muncul sekolah terbaik dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh di seluruh negara.

keputusan spm 2016

“Tahniah dan syabas juga kepada semua sekolah-sekolah agama yang mencapai keputusan yang amat baik dengan 11 buah sekolah agama di negeri ini mencapai kedudukan 20 buah sekolah terbaik keputusan SPM tahun ini. Keputusan sekolah-sekolah di luar bandar amat memberansangkan dan ini jelas menunjukkan bahawa sekolah-sekolah luar bandar juga mencapai kecemerlangan dalam prestasi mereka,” katanya.

Mengikut statistik keputusan SPM 2016, daripada 15,129 calon di Negeri Sembilan, 85.8 peratus layak mendapat sijil berbanding 84.7 peratus pada 2015. Daripada jumlah itu juga 499 mendapat semua A. – Petikan daripada BERNAMA

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.