Pembunuh Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Larikan Diri Ke Negeri Sembilan

Kalau kita berbalik kepada sejarah pembunuhan Sultan Johor ke-10 iaitu Sultan Mahmud II yang juga merupakan keturunan terakhir Kesultanan Melayu Melaka pada satu Jumaat di perkarangan masjid pada tahun 1699 oleh Laksamana Bentan iaitu Megat Seri Rama. Ketika itu Sultan Mahmud II dijulang dari atas tandu ke tangga masjid oleh pengiring-pengiringnya.

Pembunuh Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Larikan Diri Ke Negeri Sembilan

Salah satu babak darii Filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang mula ditayangkan pada tahun 1961

Sultan Mahmud II sempat bersumpah sebelum ajalnya mengatakan bahawa “Aku sumpah tujuh keturunan Bentan akan muntah darah kalau pijak bumi Kota Tinggi”. Keris yang dicabut caripada perutnya sempat dibaling ke tanah sehingga terkena ibu jari kaki Megat Seri Rama. Dan apabila Megat Seri Rama mencabut keris tersebut dari kakinya maka tidak semena-menanya beliau memuntahkan darah yang banyak dan mati disitu juga.

Pembunuh Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Larikan Diri Ke Negeri Sembilan

Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terletak di Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor

Daripada cerita ini mengatakan 7 keturunan Bentan yang dimaksudkannya adalah daripada keturunan Megat Seri Rama sedangkan Dang Anum, isteri kepada Megat Seri Rama yang dibunuh oleh Sultan Mahmud II mati bersama-sama dengan satu-satu anaknya. Jadi dari mana datangnya 7 keturunan keturunan Bentan yg disumpah itu jika dia dan anaknya sudahpun mati?

Mengikut sejarah pembukaan Ulu Muar, Negeri Sembilan, ada mengatakan terdapat 7 orang pendatang Hindustan yang mudik ke Sungai Muar pada abad ke-18 dipercayai orang-orang Minangkabau yang diketuai oleh Mogek Si Ramo atau dengan sebutan Megat Seri Rama. Beliau bersama-sama pengikutnya antara orang yang bertanggungjawab meneroka serta membuka Ulu Muar.

Pembunuh Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Larikan Diri Ke Negeri Sembilan

Dari muara Sungai Muar, Muar Johor dapat dimudik hingga ke Ulu Muar, Negeri Sembilan

Tetapi bagaimana mereka digelar sebagai pendatang Hindustan tidak dapat dipastikan sedangkan daripada 7 orang pendatang itu, Dato’ Perdana, Dato’ Purba, Dato’ Bujang dengan isterinya Nenek Gadeh, dan Banun bersama suaminya Sheikh Abdul Rahman tiada satupun yang mencerminkan orang Hindustan kecuali Sheikh Abdul Rahman seorang sahaja.

Kedatangan mereka semua dari Singapura ke Negeri Sembilan adalah disebabkan huru-hara yang berlaku di Johor pada ketika itu iaitu pada saat penaklukan Raja Kechil yang dikatakan waris Kesultanan Melayu Melaka pada sekitar tahun 1715 – 1718. Dalam masa yang sama mungkin Megat Seri Rama melarikan diri daripada Raja Kechil (yang mendakwa putera Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) dengan mudik dari Sungai Muar ke kawasan pedalaman yang sukar dikesan oleh orang-orang raja. Beliau memilih Ulu Muar sebagai tempat bersembunyi dengan menyamar sebagai orang Hindustan.

Megat Seri Rama merupakan salah seorang pembesar di Istana Johor dan tentulah beliau banyak mengetahui tentang perkampungan di pendalaman di Negeri Sembilan memandangkan Negeri Sembilan adalah salah satu wilayah dibawah naungan Johor. Kalau dalam sejarah juga menyebut beliau berasal dari Bentan, jadi memang betullah beliau sebenarnya berketurunan Minangkabau.

Dalam keturunan Minangkabau juga tiada gelaran atau nama bermula dengan ‘Megat’. Jadi berkemungkinan juga Megat Si Ramo dengan Megat Sri Rama yang disebutkan adalah orang yang sama. Ini kerana Megat Seri Rama ialah gelaran pembesar istana yang mengawal perairan pada masa pemerintahan kerajaan Melayu Johor sebagai saingan kepada gelaran ketua lanun yang dikenali oleh masyarakat Melayu iaitu ‘Megat Alang Di Laut’.

Pembunuh Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Larikan Diri Ke Negeri Sembilan

Kubur Laksamana Megat Seri Rama serta anak dan isterinya, Dang Anum di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor

Skiranya dibandingkan dengan kedatangan Megat Seri Rama ke Ulu Muar dan peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud II ia mempunyai urutan sejarah yang sama dimana Sultan Mahmud II dibunuh sekitar tahun 1699 manakala Megat Seri Rama dan kaum kerabatnya mudik ke Ulu Muar pada ketika serangan Raja Kechil dari Siak pada tahun 1715-1718.

Pembunuh Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Larikan Diri Ke Negeri Sembilan

Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludi menunjukkan batu nisan yang dikatakan kepunyaan Megat Seri Rama di Bukit Jumbang, Seri Menanti

Ada juga pendapat mengatakan Megat Seri Rama membuat perkampungan di kaki Bukit Jumbang dan mendidik Orang Asal di situ dengan baiknya terutama dari segi adat, budaya dan juga agama. Ia telah mengakhiri hidupnya di situ dan makamnya ada di Lereng Bukit Jumbang.

Bagaimanapun masih banyak lagi kajian perlu dibuat untuk memastikan kesasihan cerita ini kerana tiada sumber bertulis yang betul-betul dapat mengaitkan kedua-dua identiti ini. Yang ada hanyalah sumber lisan yang dibukukan untuk generasi sekarang. Apapun kami berharap diluar sana sekiranya ada bukti yang boleh menyokong perkaitan ini, bolehlah berikan sebarang informasi di ruangan komen.

Sumber – Raja Melewar dan Yamtuan Negeri Sembilan (A. Samad Idris); Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram: Luak Tanah Mengandung (A. Samad Idris, dll); infinatus-lagendamelayu.blogspot.my (Sultan Mahmud Mangkat Dijulang); oldhistoriesofmalaya.blogspot.my (Laksamana Bentan Masih Hidup); Sinar Harian Online (Makam Raja Melewar di Tepi Sungai, 3 APRIL 2017)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.