Muzium Istana Lama Seri Menanti Ditutup Untuk Umum

SEREMBAN – Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dijangka akan ditutup untuk tempoh tiga tahun berikutan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf, kata Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip.

Muzium Istana Lama Seri Menanti Ditutup Untuk Umum

Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih fasa pertama yang melibatkan penggantian empat tiang seri telah bermula 1 Disember 2016 dan dijangka siap pada Mei 2018.

“Apabila fasa pertama siap, kerja-kerja fasa kedua yang melibatkan tiga komponen akan dilaksanakan selepas itu iaitu baik pulih keseluruhan bangunan, kerja-kerja pengisian pameran serta menaik taraf landskap dan kemudahan persekitaran.

“Kerja-kerja fasa kedua ini juga kita jangkakan akan mengambil masa setahun ke setahun enam bulan untuk disiapkan. Untuk itu kita jangka muzium akan ditutup untuk tempoh tiga tahun,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya konservasi (baik pulih dan naik taraf) ini mengambil masa lama kerana ia tidak boleh dibuat tergesa-gesa, apatah lagi bangunan ini merupakan bangunan yang telah mendapat pengiktirafan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan.

Istana Lama Seri Menanti setinggi empat tingkat yang dibina pada 1902 dan siap tahun 1908, diperbuat daripada kayu dan tidak menggunakan sebarang paku besi serta mempunyai 99 batang tiang itu kini dijadikan Muzium Diraja. – Sumber Bernama

Artikel berkaitan:
Sejarah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti Kuala Pilah

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.