Misteri Kelibat Wanita Di Jalan Gemas-Palong

Sebenarnya kisah-kisah mistik, seram dan cerita-cerita hantu terlalu banyak di Malaysia ini. Tidak terkecuali ni Negeri Sembilan turut terpalit kisah-kisah seperti ini. Kali ini kami ingin bercerita sedikit kisah yang kami dengar sekitar FELDA Palong. Kebenaran atau kesahihan cerita ini mungkin penduduk setempat sahaja yang mengetahuinya. Tapi kami mengalu-alukan sebarang komen mengenai cerita ini agar dapat berkongsi dengan rakan-rakan kita yang lain di Negeri Sembilan ini.

misteri jalan gemas palong

Pengalaman Ahmad Badrul Hisham, 27 yang pernah mengalaminya sangat menyeramkan dan ia benar-benar terjadi ketika ia melalui jalan Gemas-Palong ketika pulang dari menziarahi ibunya di Taman Desa Permai, Gemas, Negeri Sembilan.

AHMAD Badrul Hisham, 27, mundar mandir di ruang tamu rumah ibunya yang terletak di Taman Desa Permai, Gemas, Negeri Sembilan. Sesekali matanya mengerling ke arah dinding. Jam menunjukkan pukul 7.10 malam. Sebentar sahaja lagi azan Maghrib akan berkumandang.

“Tak payahlah balik hari ini. Balik esok jelah. Ibu tak sedap hatilah kamu balik seorang diri malam-malam ni,” luah ibunya seakan-akan dapat membaca apa yang sedang bermain dalam minda Badrul. Anak muda bersosok sederhana itu hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang respons.

Sebenarnya, memang sejak awal lagi Badrul sudah rasa tidak sedap hati. Dia mula menyesal kerana tidak memandu kereta ke rumah ibunya. Tetapi bila memikirkan yang dia harus tiba awal di sekolah pada keesokan hari, Badrul meneruskan niatnya untuk pulang ke kuarters malam itu juga.

“Tak apalah bu, takut esok terbangun lewat, lambat pula sampai ke sekolah. Lagipun jalan itu Along dah biasa lalu tak ada apa-apa rasanya, kata Badrul yang bekerja sebagai seorang kerani di Sekolah Kebangsaan (SK) Palong 2.

Sudah menjadi kebiasaan buat Badrul untuk pulang ke rumah orang tuanya pada setiap hujung minggu jika ia tidak ke rumah isterinya di Seremban. Selalunya dia akan pulang semula ke kuarters guru yang didiaminya di SK Palong 2 pada waktu petang atau tengah hari. Namun hari ini, seakan-akan ada sesuatu yang menghalang Badrul daripada berbuat demikian.

Selesai mengerjakan solat Maghrib, lelaki berkumis nipis itu menghidupkan enjin motosikal jenis Honda miliknya. Sebaik enjin motosikal panas, Badrul memulakan perjalanan ke Felda Palong 2 yang mengambil masa lebih kurang 35 minit dari kawasan rumah ibu beliau.

Namun, rasa tidak sedap hatinya makin menjadi-jadi. Sebelum ini bukan Badrul tidak pernah pulang pada waktu malam, cuma hari ini entah mengapa rasanya lain benar. Tapak tangannya mula berpeluh-peluh.

Jalan yang dilaluinya malam itu gelap pekat. Hanya lampu motosikalnya sahaja yang menerangi laluan. Sepanjang perjalanan, Badrul perasan tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut sedangkan waktu itu jam baru pukul 8.00 malam. Pelik! Kepalanya tidak memikirkan perkara lain, melainkan mahu segera tiba ke destinasi. Minyak dipulas hingga maksimum. Dalam kegelapan malam, motosikalnya meluru laju membelah jalan raya.

misteri jalan gemas palong

Walaupun sudah separuh perjalanan, namun rasa berdebar masih lagi belum hilang dari benak Badrul. Serba-serbi rasa tak kena. Tunggang menegak tak kena, duduk menyenget pun tak kena. Sungguh, hatinya betul-betul tak keruan.

“Ah, tak ada apa-apalah. Mainan perasaan saja kut,” getus Badrul untuk menyedapkan hati. Dia tidak mahu terus melayan perasaan yang tidak enak itu. Yang penting, dia mahu sampai ke rumah.
Namun, sebaik melintasi Jabatan Perhilitan yang terletak berhampiran Kampung Londah, mata Badrul tiba-tiba terlihat satu kelibat putih terbang melintasi motosikalnya. Besarnya lebih kurang satu depa lelaki dewasa.

“Apa benda pulak tu… jangan-jangan…”kata Badrul dengan nada yang tersekat-sekat. Dengan serta-merta mindanya mula mengimbas kisah-kisah seram yang pernah didendangkan oleh penduduk setempat.

Di kawasan itu, ada yang pernah terserempak dengan perempuan berjalan seorang di tepi jalan. Bila ditoleh, perempuan itu tiba-tiba hilang. Ada juga yang mendakwa pernah ternampak pasar yang riuh dalam kawasan ladang getah. Sama juga apabila mereka toleh ke belakang, pasar yang meriah itu tiba-tiba hilang.

“Aduh… janganlah kacau aku…” bisik Badrul. Dia mula membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hati. Baca yang mana ingat sahaja. Itu pun agak terabur dek kerana perasaan takut yang menyinggah.

Tangannya terus sahaja memulas tombol minyak. Sesekali matanya menjeling ke arah cermin sisi untuk melihat kelibat tadi. Tapi, bayangan itu hilang entah ke mana. Ghaib dalam kegelapan malam. Namun, sewaktu motosikal Badrul melintasi kawasan perkuburan di Kampung Londah, hidungnya tiba-tiba menangkap bau wangi. Bau yang macam mana, susah hendak dia terangkan. Tapi, memang wangi.

Belum sempat bau itu hilang, matanya seakan melihat sesuatu di tepi jalan. Badrul memberanikan diri untuk menoleh. Sah, ada wanita berpakaian putih sedang berdiri di situ. Rambutnya panjang, namun mukanya dipalingkan daripada pandangan Badrul. Dia sendiri tidak tahu adakah wanita itu kelibat yang melintasinya tadi, atau…Hatinya serta-merta menjadi kecut. Tanpa berlengah, dia cuba memecut. Tetapi, motosikalnya seolah-olah hilang upaya. Seperti ada ‘benda’ berat sedang menumpang di belakangnya.

misteri jalan gemas palong

Badrul tukar ke gear rendah. Masih juga sama, seperti ada kuasa kuat yang sedang menarik dari arah belakang. Badrul tidak peduli, dia gagahkan juga memulas tombol minyak, namun keadaan motosikalnya seperti ‘lemah syahwat’. Enjin mengaum, tapi terlalu berat untuk bergerak. Kalau betul kau ada kat belakang aku…cepatlah turun!” kata Badrul separuh berbisik.

Kereta yang datang daripada arah bertentangan pula semuanya memberikan ‘high-beam’ setiap kali berselisih dengannya. Mungkin mereka pun ternampak ‘penumpang’ yang tidak diundang itu. Kalau ikutkan hati, hendak saja dia berpatah balik. Tetapi Badrul sudah pun separuh perjalanan. Kalau dia berpatah balik sekalipun, jaraknya sama sahaja. Lelaki itu gagahkan diri, walaupun pada ketika itu jantungnya seperti mahu tercampak keluar. Tuhan sahaja yang tahu betapa menggigilnya tubuh Badrul pada ketika itu.

Sewaktu motosikalnya semakin menghampiri kawasan Felda Palong 5, sayup-sayup kedengaran azan Isyak berkumandang dari masjid berhampiran. Motosikal Badrul yang tadinya bergerak perlahan seperti basikal tua, tiba-tiba sahaja meluncur laju ke hadapan. Berat yang menumpang seolah-olah sudah terbang pergi.

Dia tidak putus-putus mengucapkan syukur di dalam hati. Kurang sepuluh minit kemudian, Badrul tiba di kuarters guru SK Palong 2. Segera dia menerpa masuk ke rumah dan berselubung dalam selimut. Tubuhnya masih menggigil. Fikirannya kusut. Bukannya dia tidak biasa dengan laluan di situ, tapi…

Semua penduduk di sekitar tahu, laluan tersebut bukan sembarangan. Sudah banyak berlaku kejadian misteri di situ. Macam-macam cerita pelik yang mereka dengar. Contohnya, sebelum masuk ke kawasan Felda, terdapat sebuah jambatan yang di bawahnya merupakan laluan kereta api. Pernah seorang pemuda yang pulang lewat malam ternampak seorang lelaki sedang berdiri dengan joran di tangannya. Bila ditanya, jawabnya ‘tengah memancing’.

Memancing apa namanya di laluan kereta api tengah-tengah malam buta? Khabarnya kawasan itu dahulu adalah kubu Jepun. Sewaktu acara ‘tolak tanah’ pun banyak senjata lama termasuk peluru mortar yang ditemui.

Apa-apa pun, Badrul bersyukur kerana si ‘penumpang’ hanya duduk diam di belakang. Bayangkan kalau dia menyergah, mungkin di situ juga dia terkencing dan pengsan!” Itulah, ibu dah pesan, tak mahu dengar!” bentak ibunya sewaktu mengetahui perkara sebenar.

Sumber Mastika 2015

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.