Menara Jam Seremban Mercu Tanda Bandar Seremban Masa Lalu

Kalau anda semua nak tahu terutamanya anak-anak muda generasi 20s, bandar Seremban ni dulu ada Menara Jamnya sendiri. Walaupun tak sebesar Menara Jam di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Tapi Menara Jam ini umpama mercu tanda buat bandar ini. Nak tahu mana lokasi jam ni?

Menara Jam Seremban Mercu Tanda Bandar Seremban Masa Lalu

Kalau anda pergi Terminal One, Seremban. Sebelum adanya Stesen Bas sebesar tu, di hadapannya tersergam indah sebuah menara jam yang menjadi rujukan masa buat mereka yang menunggu Bas/Teksi di sekitar Stesen Bas Lama, Seremban. Menara jam ini dibina oleh Majlis Perbandaran Seremban pada awal tahun 1981 bersempena dengan pembangunan terminal bas Seremban yang baru. Kedudukannya diatas titik pertemuan Jalan Sungai Ujong dan Jalan Tuanku Munawir berhadapan muara Sungai Ujong adalah amat strategik bagi memberitahu orang ramai disinilah Bandar Seremban sebenarnya.

Menara Jam Seremban ini mengambil ilham kepada Menara Jam Gadang di Bukit Tinggi Indonesia, ketika ini hubungan antara Kerajaan Negeri dan Pihak Provisi Sumatera Barat adalah sangat akrab di sebabkan budaya minangkabau yang diamalkan oleh kebanyakan rakyat kedua-dua buah negeri ini. Rupabentuk menara jam ini kemungkinan diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu Dato’ Seri Utama Rais Bin Yatim, beliau juga merupakan Yang Dipertua pertama Majlis Perbandaran Seremban.

Menara Jam Seremban Mercu Tanda Bandar Seremban Masa Lalu

Berketinggian 18 meter, Jam besar ini bergerak secara mekanikal dan terdiri dari empat buah jam/empat muka jam yang menghadap ke empat arah penjuru mata angin dengan setiap muka jam berdiameter 80cm. Menara jam ini direkabentuk dengan mengikut rekabentuk bangunan minangkabau dengan atas atapnya melengkung seolah-olah seperti tanduk kerbau. Tiangnya pula mengambil ilham dari ruang depan bangunan Istana Gadang di Minangkabau. Walaubagaimanapun tidak diketahui siapakah arkitek bangunan menara jam ini. Menara Jam ini satu ketika dahulu akan berbunyi sekiranya jarum jam menunjukkan pukul 12 tengahari atau 12 tengah malam.

Bangunan ini menjadi mercu tanda kepada Bandar Seremban, ramai dari pelancong luar tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Menara Jam Seremban ini. Menara Jam Seremban ini juga menjadi panduan kepada orang ramai mengenai waktu dan masa terkini.

Setelah berkhidmat untuk Bandar Seremban selama 14 tahun, akhirnya Menara Jam kebanggaan penduduk Seremban ini terpaksa diruntuhkan pada tahun 1994 bagi memberi laluan kepada pembangunan Terminal Bas yang baru (Terminal One).

Menara Jam Seremban Mercu Tanda Bandar Seremban Masa Lalu

Namun begitu kenangan serta signifikannya kepada masyarakat Negeri Sembilan terutamanya penduduk Seremban tidak akan dilupakan begitu sahaja. Menara Jam Seremban akan terus dikenang sebagai ikon Bandar Seremban yang telah hilang. – Sumber beritan9.blogspot.my

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.