MATTA Fair Di Palm Mall, Seremban Pada 29 Sept – 1 Oct 2017

SEREMBAN, Sept 25 – Orang ramai terutama penduduk Negeri Sembilan akan berpeluang membeli pakej dan tawaran menarik pelancongan menerusi Pameran Pelancongan MATTA Negeri Sembilan 2017 di Palm Mall Seremban pada 29 Sept hingga 1 Okt.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cabang Negeri Sembilan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan akan mengadakan pameran itu melibatkan 66 gerai, 19 ejen pelancongan, lapan agensi bank dan tiga kelab percutian.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Mohd Azri Abd Razak berkata pameran itu merupakan venue sehenti bagi para penggiat industri menawarkan pakej menarik kepada pengguna dengan harga yang berpatutan.

MATTA Fair Di Seremban Pada 29 Sept - 1 Oct 2017

MATTA Fair yang akan berlangsung di Palm Mall, Seremban

“Pameran itu akan mempamerkan pelbagai produk pelancongan dan percutian untuk pencari percutian. Dalam tempoh tiga hari itu, pelawat boleh mengharapkan untuk mendapatkan tawaran yang menarik dan nilai hebat dalam semua pakej tawaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pameran itu juga untuk memudahkan orang ramai membeli terus pakej pelancongan dalam negara dengan harga yang kompetitif dan berpatutan, di samping mewujudkan budaya melancong dalam negara secara terancang.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang pameran ini ialah derma darah, persembahan buskers, kuiz pelancongan, ‘putar dan menang’, cabutan bertuah, jualan pakej murah dan pertandingan mewarna.

“Dijangka seramai 10,000 pengunjung akan datang memeriahkan pameran ini. Seramai 40 anggota delegasi dari Indonesia turut mengambil bahagian,” katanya.

Mohd Azri berkata pameran itu dijangka akan dirasmikan oleh Presiden MATTA Malaysia Datuk Tan Kok Liang pada 30 Sept.

Sumber – Bernama (25 September 2017)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.