Mari Kenali Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

Diharap tidak keterlaluan kami katakan sekiranya Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah diibaratkan umpama watak Stryder atau Aragorn di dalam epik fiksyen Lord of The Rings (LOTR), iaitu seorang pewaris takhta sah yang diketepikan haknya sebagai raja.

tuanku muhriz biodata

Cuma jika di dalam LOTR, Aragorn dinafikan haknya sebagai raja kerana perebutan takhta dan penyelewengan kuasa sesama manusia, Tuanku Muhriz pula tidak ditabal sebagai Yang Di-Pertuan Besar selepas kemangkatan ayahandanya Tuanku Munawir pada 1967 kerana faktor umur baginda tuanku ketika itu hanya 18 tahun, yang dianggap terlalu muda untuk diangkat menjadi raja.

Tanggungjawab menduduki takhta ketika itu diambil oleh bapa saudaranya iaitu Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Tuanku Abdul Rahman sehingga baginda mangkat pada 2008 dan digantikan atau dikembalikan semula pada susur galur asal dengan darah raja yang tulen iaitu Tuanku Muhriz.

tuanku muhriz

Setelah lama baginda Tuanku Muhriz berkelana, membina kerjaya korporat sebagai peneraju syarikat pengiklanan, pembinaan, kejuruteraan di dalam dan di luar negara dan yang terakhir sebagai CEO Bangkok Bank, baginda tuanku dan keluarganya juga telah lama menjalani hidup berkeluarga seumpama rakyat biasa dan berjiwa kebanyakan sebelum menduduki takhta.

Sesungguhnya, sistem pentadbiran dan pemilihan raja di Negeri Sembilan sejak sekian lama menggunakan aturan Adat Perpatih. Ia juga adalah antara rujukan utama dan tulang belakang yang membentuk Majlis Raja-Raja serta Sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

Melalui kaedah saringan calon dan persetujuan melalui konsensus sebulat suara menggunakan Adat Perpatih, baginda Tuanku Muhriz telah dipilih sebulat suara oleh Undang Yang Empat sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke-11. Baginda adalah “Raja yang kembali menduduki takhta” atau dalam peribahasa Melayu disebut sebagai “Umpama sirih pulang ke gagang”.

Sekalipun baginda tuanku lama ke luar telapak di luar lingkungan Adat Perpatih, ingatan dan hati beliau sentiasa menjunjung tinggi adat yang satu ini. Sepanjang naungan baginda tuanku, minat dan fokus baginda dalam menyelesaikan banyak isu-isu tergantung berkenaan Adat Perpatih banyak membantu mencari titik penyelesaian dan jalan keluar. Sepanjang tahun lepas sahaja, melalui titah perintah baginda tuanku, ditubuhkan Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan Adat Perpatih.

Hasil dapatan jawatankuasa ini kemudiannya dipersembahkan kepada Tuanku, kemudian kepada Undang Yang Empat. Akhirnya krisis selama hampir dua tahun menentukan Undang Luak Johol akhirnya selesai dengan pertabalan Undang Luak Johol yang baharu.

Jawatankuasa yang sama juga kini sedang berusaha sebaik mungkin bagi menentukan siapa yang layak menjadi Undang Luak Jelebu, krisis 4 tahun yang belum selesai. Ia akan terus giat dilaksanakan, sehingga perut yang benar-benar layak mendapat tempat seadil-adilnya.

Baginda Tuanku yang juga sentiasa dibantu oleh Menteri Besar Negeri Sembilan yang berwibawa, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan memastikan semua urusan pentadbiran dan kepimpinan sivil negeri berjalan lancar, adil, saksama, telus dan berintegriti.

Ujian terbesar baginda tuanku tahun lalu ialah kemangkatan anakandanya, Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin ibni Tuanku Muhriz yang merupakan seorang putera istimewa yang telah lama bertarung dengan pelbagai komplikasi sebagai anak istimewa. Pemergian anakanda Tunku Alif betul-betul selang sehari sambutan keputeraan baginda Tuanku yang ke-68 tahun lalu. Salam takziah Tuanku.

tuanku muhriz

Alhamdulillah, kami dengan rendah diri merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan tahniah diucapkan. Semoga Tuanku terus menerus memayungi Negeri Sembilan, negeri beradat negeri berdaulat. Semoga Allah terus menerus memanjangkan umur dan memberi kekuatan kepada tuanku untuk memimpin kami dengan kebijaksanaan dan penuh kasih sayang kepada kami hamba rakyat.

Semoga dengan izin dan keberkatanNya, tuanku terus dikurniakan kesihatan, ketajaman buah fikiran agar dapat memaju dan menaungi kami sekalian hamba rakyat membawa Negeri Sembilan kepada kejayaan yang lebih gemilang di masa-masa mendatang. InsyaAllah. – Sumber Khairul Ashraf Muhamad

Dirgahayu Kebawah Duli Tuanku,
Dirgahayu Kebawah Duli Tuanku,
Dirgahayu Kebawah Duli Tuanku!

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.