Lubang Jalanraya Ibarat Jerangkap Samar

PORT DICKSON, 7 Dis – Seorang warga emas parah setelah terjatuh kerana terlanggar lubang ketika menunggang motosikal di Jalan Pantai sekitar kawasan Bagan Pinang, di sini.

Ramli Arshad, 68, kini sedang dirawat di Hospital Port Dickson untuk menjalani pembedahan memasukkan besi pada tangan kanannya yang patah akibat insiden berkenaan.

Menurutnya, kejadian kemalangan itu berlaku sekitar 2 petang kelmarin ketika dia dalam perjalanan dari Port Dickson menghala ke Telok Kemang.

“Lubang itu terletak di laluan tepi yang sering digunakan penunggang motosikal, saya tak sempat nak elak. Terlanggar lubang, kemudian tak dapat kawal motosikal dan saya terpelanting ke hadapan. Akibatnya, saya cedera di muka, kepala, tangan kiri dan patah tangan kanan,” katanya di sini, semalam.

Ramli berkata, walaupun dia cedera parah dan kecewa dengan keadaan jalan di kawasan Port Dickson yang perlu lebih kerap diselenggara, bagaimanapun dia bersyukur kerana ketika kejadian selepas terjatuh, tidak dilanggar kenderaan lain.

Sementara itu, anak Ramli, Mohd Haslyzam Ramli, 37, berkata, bagi penunggang motosikal sepertinya, jalan berlubang dan berlopak sangat berbahaya.

“Saya tahu, ayah saya bukanlah satu-satunya mangsa jalan raya berlubang, ini kerana jalan raya berlubang bukan isu baru. Jalan raya di negara ni dah elok dan tersusun, namun aspek penjagaan pada saya selaku pengguna jalan raya ia masih tak mencukupi,” katanya.

Justeru dia memohon pihak bertanggungjawab memandang serius pelbagai aspek berkaitan kualiti jalan raya demi keselamatan pengguna jalan raya.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online(7 Disember 2017)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.