Konvoi Gerek Tua Di Kuala Pilah Imbas Nostalgia Kenangan Lama

KUALA PILAH – Basikal tua atau lebih dikenali sebagai gerek tua kini kembali menjadi kegilaan ramai. Walaubagaimanapun fungsinya pada masa ini adalah sebagai hobi dan koleksi barangan antik. Justeru bagi mengembalikan kegemilangannya yang pernah menjadi ‘kenderaan’ utama masyarakat dahulu, Persatuan Basikal Klasik Negeri Sembilan (PBKN9) menganjurkan Kayuhan Santai D’Joseh secara konvoi di beberapa lokasi menarik di Juasseh dan di Lonek, pada hujung minggu lalu.

Konvoi Gerek Tua Di Kuala Pilah Imbas Nostalgia Kenangan Lama

Presiden PBKN9, Anuar Abu berkata, acara kayuhan itu disertai oleh 15 peminat basikal antik berkenaan. “Basikal tua adalah kenderaan penting yang digunakan pada masa dahulu kerana hanya basikal yang mampu dibeli kebanyakan orang berbanding kenderaan bermotor. Kebanyakan basikal tua yang digunakan pada acara ini adalah buatan England kerana mungkin pengaruh penjajah yang pernah bertapak di negara ini. Antara jenama basikal tua yang digunakan adalah Raleigh, New Hudson, Hercules dan Robin Hood,” katanya.

Menurutnya, semua peserta mula berkumpul di Masjid Kariah Desa Anggerik, Batu Kikir dan acara kayuhan bermula jam 8 pagi melalui jalan Taman Peringkat 3 menuju ke persekitaran Homestay Lonek. “Konvoi kemudiannya melalui sekitar sawah di Kampung Lonek dan seterusnya menuju ke Teratak Za’ba iaitu tempat kelahiran Pendeta Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad di Kampung Bukit Kerdas. Peserta kayuhan turut melalui pekan Batu Kikir sebelum kembali semula di pekarangan Masjid Desa Anggerik dengan jarak kayuhan sejauh 10 kilometer (km),” katanya.

Konvoi Gerek Tua Di Kuala Pilah Imbas Nostalgia Kenangan Lama

Ujarnya lagi, bagi menyuntik suasana klasik dan membawa kelainan, peserta kayuhan diwajibkan untuk memakai pakaian ala 50-an. “Acara kayuhan ini juga dapat memberi kesedaran kepada orang awam mengenai budaya hidup sihat dengan mengayuh basikal, selain memelihara alam sekitar. Saya harap pada masa hadapan, lebih ramai orang yang akan menyertai acara seumpama ini sama ada dengan basikal tua atau basikal moden demi memelihara kesihatan dari penyakit tidak diingini,” katanya.

Seni[at]Nogori Warisan Budaya Joseh 14 Mei

Sementara itu, penyelaras program, Amran Yahya berkata, persatuan bakal menganjurkan program Seni[at]Nogori Warisan Budaya Joseh pada 14 Mei ini dengan menaiki basikal tua. “Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pengayuh dari Indonesia yang diketuai Alex Setiawan. Penglibatan dari negara jiran ini membuktikan bahawa persaudaraan kedua-dua negara utuh menerusi acara berbasikal tua. Malah Indonesia juga masih mengekalkan penggunaan basikal tua sehingga kini, ia bukan besi buruk tetapi sebaliknya memiliki aura tersendiri. Bertepatan dengan cogan kata Indonesia ‘satu speda sejuta saudara’,” katanya.

Konvoi Gerek Tua Di Kuala Pilah Imbas Nostalgia Kenangan Lama

Dalam pada itu, Amran turut mengalu-alukan pencinta basikal antik dari seluruh negara termasuk negeri ini untuk sama-sama memeriahkan lagi program tersebut. Semua peserta akan berkayuh dengan menggunakan basikal tua sejauh 10km sambil menikmati suasana indah di sekitar sawah padi di daerah ini. – Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.