Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Berdasarkan penceritaan orang-orang dahulu, Naam merupakan anak keturunan daripada pencatuman benih antara orang asal dan seorang pemimpin puak Minangkabau. Ibunya bernama Tok Batin Tengkis sementara Ayahnya Khatib Akhir seorang pemimpin Minangkabau dari daerah Pahang yang mempunyai cita-cita yang sangat tinggi.

Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Memandangkan Naam masih kecil ketika itu, ayahnya memangku jawatan Penghulu Luak Ulu Muar. (dahulunya Batu Hampar yang sekarang dikenali sebagai Seri Menanti). Setelah dewasa, Naam ditabalkan pula sebagai Penghulu Luak dan kemudian menjemput seorang anak raja dari Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai Raja. Walaubagaimanapun, Pagar Ruyung yang sepatutnya menghantar Raja Melewar (Raja Mahmud) ke sini, dihantarnya dulu Raja Khatib sebagai peninjau disamping mengatur persiapan bagi menyambut kedatangan Raja Melewar di Seri Menanti.

Apabila Raja Khatib menjejakkan kaki di Seri Menanti. Penduduk tempatan di Seri Menanti menyambut baik kedatangan Raja Khatib sebagai wakil raja. Namun begitu, ekoran daripada layanan yang istimewa yang diberikan oleh orang kampung, Raja Khatib telah mengambil kesempatan dengan menjadi ‘gunting dalam lipatan’. Beliau mengisytiharkan pula dirinya sebagai raja yang diutuskan oleh Raja Pagar Ruyung, Sultan Abd Jalil.

Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Penghulu Naam yang tidak mengetahui hal sebenar mempercayai kata-kata Raja Khatib tersebut dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepadanya. Lalu diraikan Raja Khatib sebagai Yang Dipertuan Seri Menanti selama tujuh hari tujuh malam dengan beralik gadang (kenduri besar). Tumbanglah segala kerbau, lembu, kambing dan ayam di reban semata-mata untuk menyambut keraian tersebut. Penghulu Naam pula telah mengahwinkan anaknya Warna Emas dengan Raja Khatib untuk mengekalkan talian kekeluargaan dan mengangkat martabatnya.

Sikap Raja Khatib ‘pepat di luar rencong di dalam’ ini telah mendapat kemurkaan daripada Raja Melewar. Baginda telah mengambil keputusan untuk memerangi Raja Khatib di Seri Menanti. Baginda dan angkatannya melalui kawasan Ulu Penajis, Rembau ke Seri Menanti melalui Bukit Tujuh. Dalam masa yang sama, khabar mengenai kedatagan Raja Melewar ini juga telah diketahu oleh penduduk Seri Menanti. Dengan itu barulah mereka tahu, Raja Khatib telah mereka selama ini dengan mengistiharkan diri beliau sebagai raja yang diutuskan.

Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Bagaimanapun, Penghulu Naam tetap dengan kesetiaan serta pendiriannya menerima Raja Khatib sebagai Yang Dipertuan Seri Menanti, apalagi ketika itu Raja Khatib juga adalah menantunya. Penghulu Naam sememangnya dikenali sebagai seorang pahlawan yang gagah perkasa. Beliau berpegang kuat kepada janjinya mempertahankan maruah luaknya setelah bersetuju melantik Raja Khatib menaiki takhta.

Dalam tahun 1772 itu Tok Panglima Sutan Karu mengatur persiapan menyerang Seri Menanti bagi mengusir Raja Khatib. Tetapi Raja Khatib telah dibantu Penghulu Naam yang tetap mempertahankan anak raja yang sudah menjadi menantunya itu. Dalam serangan pertama yang dibuat oleh Raja Melewar ke atas Seri Menanti telah mengalami kekalahan. Beliau terpaksa berundur ke Sungai Seperi di Rembau akibat pertahanan orang-orang Penghulu Naam yang begitu kukuh.

Menyedari kekuatan pertahanan Penghulu Naam ini, Raja Melewar balik semula ke Astana Raja dan mengatur serangan buat kali kedua. Bagaimanapun serangan kali kedua ini menyebabkan pertahanan Penghulu Naam dapat dikalahkan, manakala Raja Khatib melarikan diri. Penghulu Naam yang dapat ditawan diminta mengaku untuk mencurahkan kesetiaan kepada Raja Melewar tetapi beliau menolak dan tetap dengan pendiriannya. Maka Penghulu Na’am dijatuhkan hukuman pancung.

Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Terdapat CERITA MISTIK semasa hukuman pancung yang dijatuhkan kepada Penghulu Na’am. Peristiwa ini mungkin tidak masuk akal buat generasi sekarang memandangkan ada unsur-unsur yang tidak masuk akal dalam peristiwa ini. Tetapi demikianlah cerita dari mulut ke mulut orang-orang tua dari Seri Menanti mengenai kehebatan serta kesaktian Penghulu Naam ini.

Diceritakan ketika itu, Tok Panglima Sutan Karu ditugaskan memancung Penghulu Naam disebabkan tidak seorangpun yang sanggup menjalankan tanggungjawab tersebut. Tok Panglima Sutan Karu telah memancung kepala Penghulu Naam pada waktu senja dengan membiarkan mayatnya tidak dikebumikan sebagai hukuman kepada sesiapa yang menderhaka kepada raja seperti di Pagar Ruyung. Bagaimanapun sewaktu embun turun ketika subuh, kepala Penghulu Naam yang terpenggal bercantum semula dengan badannya.

Yamtuan Melewar telah diberitahu mengenai kejadian Penghulu Naam hidup semula setelah dipancung. Beliau telah memerintahkan Tok Panglima Sutan Karu memancung Penghulu Naam sekali lagi dengan mengkebumikan terus sebaik sahaja hukuman dijalankan. Tok Panglima Sutan Karu menjalankan perintah tersebut lantas menyuruh penduduk-penduduk kebumikan mayat Penghulu Naam setelah kepalanya dipenggal.

Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Tetapi orang-orang kampung menjadi gempar sekali lagi apabila Penghulu Naam balik semua ke rumah menemui anak isterinya. Oleh itu Tok Panglima Sutan Karu terpaksa memujuk Penghulu Naam memberikan petua membunuhnya supaya hukuman tersebut tidak berulang kali dilaksanakan. Ia bertujuan bagi memelihara keamanan diluaknya supaya tidak berlaku huru hara berterusan di Seri Menanti. Penghulu Naam bersetuju menjalani hukuman itu bagi membolehkan Yamtuan Melewar mendirikan adat Perpatih.

Setelah dipancung kepalanya, Tok Panglima Sutan Karu mengkebumikan mayat Penghulu Naam dengan menggali dua buah kubur yang dipisahkan oleh anak air. Badannya dikebumikan di sebuah bukit, manakala kepalanya dikebumikan di bukit bersebelahan. Hingga sekarang bukit tempat badannya dikebumikan dikenali Bukit Tabuh (mengambil sempena tubuhnya), manakala sebuah lagi dikenali Bukit Tempurung (sempena tempurung/tengkorak kepalanya). Walaubagaimanapun, sehingga sekarang tidak dipastikan dimanakah jasadnya dikebumikan.

Menurut cerita lisan orang tua-tua, penduduk-penduduk di situ mendengar laungan selama beberapa hari (Ada yang kata 3 malam dan ada yang kata 44 malam) dari Bukit Tempurung mengajak badannya bercantum semula.

Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Kisah ini memperlihatkan pengalaman pahit Penghulu Naam berjuang bermati-matian untuk menegakkan sistem beraja di Negeri Sembilan. Situasi yang berlaku sekitar 200 tahun yang lalu jelas disebabkan oleh kekeliruan dan salah faham yang amat malang. Penghulu Naam juga tidak pernah diberitahu tentang perjanjian di Pagar Ruyung bahawa Raja Khatib ialah seorang perutusan raja dan Raja Melewar lah sepatutnya ditabalkan menjadi Raja. Atas sikap amanahnya, beliau sanggup menentang sesiapa sahaja yang cuba menggugat kedaulatan rajanya hatta dengan nyawanya sekalipun.

Kita tahu orang-orang Minangkabau yang berhijrah ke Seri Menanti itu mempusakai adat pepatih yang berasal dari tanah Minangkabau. Mereka berpegang kuat kepada peraturan adat dalam menegakkan ketuanannya ‘Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata’. Beliau lebih rela dipancung daripada melihat kedaulatan rajanya musnah.

Kisah Kesetiaan Penghulu Naam Memperjuangkan Kedaulatan Rajanya

Kekeliruan dan salah faham yang dibangkitkan oleh Raja Khatib ini lah menyebabkan berlakunya peristiwa pembunuhan ke atas Penghulu Naam walaupun beliau sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab pada peringkat awalnya menjemput raja. – Sumber berdasarkan beberapa kajian text dan artikel ditulis dari keturunan batu hampar.

Artikel berkaitan:
Sejarah Raja Melewar Yang di-Pertuan Besar Pertama Negeri Sembilan

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.