Kisah Disebalik Nama Bukit Putus Kuala Pilah

Sekiranya anda melalui jalan baharu Bukit Putus, sudah pasti ada diantara anda semua terbayang 32 selekoh tajam di jalan lama yang meninggalkan banyak kenangan. Banyak tragedi kemalangan berlaku disini malah ada juga dengar pelbagai kisah-kisah menakutkan di laluan lama ini.

Namum begitu, pemandu yang melalui Kuala Pilah – Seremban tidak perlu bimbang lagi untuk melalui selekoh tajam di jalan Bukit Putus itu memandangkan sudahpun ada jalan lurus yang kini lebih cepat dan pantas, malah disebut sebagai ‘laluan sutera moden’ bagi sesetengah orang dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

laluan baru bukit putus

laluan baru bukit putus

Biarpun jalan lama ditinggalkan sepi sejak jalan baharu itu dirasmikan pada 29 November 2009, kini hanya tempat tinggal binatang liar yang bebas berkeliaran di atas jalan raya, khususnya kera. Inilah nostalgia jalan yang suatu ketika dahulu telah banyak berkhidmat kepada penduduk setempat khususnya di daerah Kuala Pilah, Jempol dan Gemas. Apa pun, jalan lama Bukit Putus ini, sekadar menjadi memori terutama bagi mereka yang gemar menikmati selekoh tajam dan hutan rimba di sekitarnya.

laluan baru bukit putus

Lagenda Asal Usul Nama Bukit Putus

Sehingga hari ini bagaimana Bukit Putus mendapat namanya masih tidak diketahui dengan jelas. Hanya satu saja kisah legenda yang pernah sampai ke telinga pada zaman kanak-kanak dahulu. Nenek pernah bercerita kononnya dulu ada kejadian raksasa bergaduh hingga berparang. Dalam pergaduhan itu, salah satu raksasa tersebut yang mahu menetak lawannya tertetak bukit tersebut sehingga terputus-putus dan kerana itu ia dinamakan Bukit Putus.

Perang Bukit Putus

Bukit Putus ini juga pernah menyaksikan pertumpahan darah paling dasyat pernah berlaku pada suatu ketika dahulu dimana disini merupakan tempat tercetusnya peperangan antara Yamtuan Antah dengan penjajah Inggeris. Perang yang dikenali dengan nama “Perang Bukit Putus” meninggalkan luka yang amat dalam buat Negeri Sembilan dimana kekalahan Yamtuan Antah dalam peperangan itu bermulanya penguasaan Inggeris terhadap Negeri Sembilan.

Bukit Putus Simpan 1001 Misteri

Bila mengenang kembali Bukit Putus juga boleh menjadikan bulu roma meremang kerana banyak cerita mistik tersebar dari mulut ke mulut. Antaranya kisah seorang lelaki mengilai tanpa kepala di satu pokok besar dekat sebatang selekoh. Ada juga yang nampak sekumpulan manusia sedang berjalan mengusung keranda membawa obor dan ada juga yang melihat ‘pocong’ berdiri di kaki bukit.

Cerita bantal peluk bergolek mengejar kenderaan, bebola api berterbangan di sekitar jalan, gerai misteri yang berniaga di tengah malam sehinggalah cerita terlihat sepasang manusia lelaki dan wanita melapah daging monyet di selekoh yang terdapat juraian air bukit.

Biarpun jumlah kenderaan yang menggunakan jalan lama ini semakin berkurangan, malah boleh dikatakan sudah tiada, kisah mistik dan misteri itu masih dapat didengari dimana-mana di Negeri Sembilan.

Laluan Lama Bukit Putus Kian Sepi

Laluan berusia lebih 40 tahun itu tidaklah terlalu panjang. Hanya 8 kilometer sahaja. 4 kilometer ke puncak dan 4 kilometer lagi ke kaki bukit. Laluan berliku dan berbukit ini kurang disukai pemandu. Selekohnya tajam. Jalannya sempit. Mengerikan bagi pemandu baharu yang baru pertama kali melaluinya.

Walaupun, selepas jalan baharu yang lebih pendek dan lurus dibuka dan kenderaan yang melalui jalan Bukit Putus semakin berkurangan, ada ura-ura untuk menjadikan laluan ini sebagai tempat riadah dan rekreasi. Namun sehingga hari ini, tidak kelihatan apa-apa usaha dilakukan. Bukit Putus kekal menjadi laluan sunyi.

kisah seram jalan bukit putus

Laluan kawasan ini amat berpotensi menjadi kawasan tarikan pelancong memandangkan kawasan-kawasan sekitar bukit putus ini dilitupi dengan kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan jalan. Ditambah pula kawasan ini juga terdapat dusun-dusun buah-buahan yang boleh dijadikan sebagai kawasan agro pelancongan. Pelbagai aktiviti juga boleh diwujudkan seperti sukan lasak misalnya maraton, longboard, berbasikal, rock climbing, meredah hutan, mendaki bukit dan pelbagai lagi. Pendek kata sekiranya terdapat usaha untuk memajukan lagi kawasan ini, sudah pasti cerita kurang enak mengenai kawasan ini akan tenggelam malah lebih ramai lagi pengunjung dalam dan luar negara untuk datang kesini.

Artikel berkaitan:
Peristiwa Peperangan Bukit Putus Negeri Sembilan

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.