Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Gunung Datuk merupakan puncak tertinggi di daerah Rembau, Negeri Sembilan, dengan ketinggian 884 meter, menjadi lokasi riadah bagi mereka yang gemar mendaki gunung.

Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Pemandangan Dari Kaki Gunung Datuk, Rembau

Selain Gunung Datuk, Negeri Sembilan juga mempunyai lapan gunung lain, bagaimanapun Gunung Datuk adalah yang paling popular berikutan mempunyai flora dan fauna yang belum tercemar, dan keindahan alam semula jadi.

Mengambil masa sekitar dua jam untuk sampai ke puncak, kebanyakan mereka gemar mendaki pada awal pagi untuk melihat matahari terbit. Malah, pengunjung juga turut dapat melihat kapal belayar di Selat Melaka.

Gunung Datuk juga menyimpan seribu satu kisah sejarah kerana di atas batu puncak gunung itu dikatakan terdapatnya kesan tapak kaki Hang Tuah. Namun begitu, mungkin ramai tidak menyedari sejarah di sebalik Gunung Datuk. Malah puncak berkenaan juga dikatakan mempunyai kisah mistik.

Kerajaan Prabu Disebalik Gunung Datuk

Mengikut sejarah, kesan Ekspedisi Pamalayu pada tahun 1275 antara Kerajaan Singasari di Jawa ke Kerajaan Dharmasraya di Sumatera menyebabkan pembukaan lima kerajaan tua di Negeri Sembilan, termasuk Kerajaan Prabu yang lokasinya kini terletak di Gunung Datuk.

Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Peta lakaran D’eredia (1613) yang menunjukkan Kerajaan Rambo dan Gunung Datuk yang lebih dikenali sebagai Gunung Rembau

Empat lagi kerajaan dikatakan terbentuk sebelum kedatangan orang Minangkabau ke negeri beradat itu ialah Kerajaan Sang Hyang Ujong yang kini terletak di Tanjung Tuan (Port Dickson), Kerajaan Kepayang di Seremban 2 (Seremban), Kerajaan Air Garam di Mambau (Seremban) dan Kerajaan Fo Lo An di Beranang atau Broga, bersempadanan antara Negeri Sembilan dan Selangor.

Kawasan Kerajaan Prabu berfungsi sebagai pusat pembelajaran agama yang dianuti mereka, Buddha Tantrayana dengan kaedah bertapa bagi menambah ilmu. Catatan mengenai Kerajaan Prabu ini ada ditulis pakar rujuk adat dan budaya Negeri Sembilan, Allahyarham Profesor Norhalim Ibrahim. Namun, catatan itu tidak dicetak dalam mana-mana buku dan hanya dibuat dalam bentuk laporan.

Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Gunung Datuk mempunyai sejarah yang tersendiri.

Walaupun tidak pernah dibukukan, tradisi Gunung Datuk sebagai lokasi istimewa serta beradat diteruskan dalam catatan sejarah yang dipaparkan di tapak kaki Gunung Datuk. Mengikut catatan berkenaan, pada tahun 1372, puncak Gunung Datuk digunakan Datuk Perpatih Nan Sebatang untuk mengumpulkan Ketua-ketua Adat dan mengisytiharkan gelaran serta nama penyandang Datuk Lembaga.

Sehingga awal tahun 90-an, ada maklumat mengatakan lokasi puncak gunung ini dijadikan sebagai lokasi pertapaan oleh individu yang berhajat untuk mendapat ilmu. Malah, sehingga ke hari ini, mungkin masih ada lagi amalan bertapa di puncak gunung berkenaan.

Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Antara laluan yang perlu ditempuhi oleh pendaki untuk sampai ke puncak Gunung Datuk.

Perlu diingatkan, mengikut cerita orang dulu-dulu, puncak Gunung Datuk merupakan lokasi pertapaan bagi mendapat ilmu putih (ilmu baik). Manakala, puncak Gunung Gagak yang juga berada tidak jauh dari lokasi berkenaan merupakan lokasi pertapaan bagi mendapatkan ilmu hitam.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi Gunung Gagak kerana kebanyakan kes sesat membabitkan individu yang terpesona dan tersasar menuju ke gunung berkenaan.

Mengikut cerita orang dulu-dulu, ada juga kes orang tak pulang-pulang lepas ke pintu masuk Gunung Gagak yang merupakan kawasan mata air di tapak kaki puncak yang membezakan dua laluan – ke Gunung Datuk dan Gunung Gagak.

Jadi sebaik-baiknya orang ramai yang mendaki Gunung Datuk dinasihatkan untuk tidak terlalu suka dan menjaga niat mereka supaya tidak ‘TERPANGGIL’ ke Gunung Gagak. Ada juga yang terdengar bunyi deruan air atau diajak seorang orang tua ke sana (Gunung Gagak).

Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Pemandangan dari atas puncak Gunung Datuk.

Tapak Kaki Hang Tuah

Kewujudan kesan sebelah tapak kaki yang didakwa kepunyaan Hang Tuah di atas puncak Gunung Datuk berkenaan menjadikan lokasi puncak gunung semakin menarik untuk dikunjungi.

Bagaimanapun, katanya, sesiapa sahaja yang pernah sampai dan cuba bergambar di tapak kaki berkenaan pasti akan tertanya-tanya, mengapa saiz tapak kaki itu seperti saiz tapak kaki mereka.

Antara persoalan yang pasti akan terlintas di hati pengunjung ialah saiz badan Hang Tuah. Betulkah ia benar-benar milik tapak kaki Hang Tuah?

Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Lubang pada batu yang seakan-akan seperti tapak kaki yang dikatakan adalah milik Hang Tuah

Tiada pengkaji yang merungkai kebenarannya, namun perlu diingatkan tiada manusia yang boleh menghasilkan kesan tapak kaki di batu sebaik melangkah. Oleh itu, ada logiknya bukan saiz badan yang membuatkan kesan tapak kaki berkenaan tetapi ketinggian ilmu yang dimiliki oleh pemilik sehingga terjadinya kesan tapak kaki berkenaan.

Menurut cerita terdahulu, dikatakan sebelah tapak kaki Hang Tuah itu berada di puncak Gunung Datuk, manakala sebelah lagi terdapat di Tanjung Tuan. Walaubagaimanapun masih ada sejarah yang tersembunyi dan belum terungkai kerana tapak kaki berkenaan juga ada didapati pada batu di salah sebuah sekolah di daerah Rembau.

Kerajaan Tua Disebalik Gunung Datuk, Rembau

Para pendaki yang berjaya sampai ke puncak Gunung Datuk memberikan suatu kepuasan kepada mereka.

SUMBER – Sinar Harian Online, 21 FEBRUARI 2017 (Temuramah bersama Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari dan Osman Mohammad)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.