Kenapa Negeri Sembilan Digelar Dengan Nama Darul Khusus?

Negeri Sembilan Darul Khusus adalah sebuah negeri beradat yang mengamalkan Adat Perpatih. Namun, pernahkah anda terfikir apa maksud perkataan Darul Khusus dan asal-usul nama itu diberikan?

Kenapa Negeri Sembilan Digelar Dengan Nama Darul Khusus?

Sebenarnya penggunaan Darul ini telah mula diperkenalkan oleh Kerajaan Kedah sejak tahun 1136M lagi. Gelaran Darul tersebut diberikan oleh Syeikh Abdullah Al Qumairy. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.

Di Negeri Sembilan penggunaan Darul Khusus bermula sejak zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad yang juga Yamtuan Negeri Sembilan ke-8 lagi. Darul Khusus bermaksud sebuah negeri istimewa dan hebat dalam sesuatu tamadun yang besar dan tinggi, khususnya dalam konteks Islam dan adat.

Kenapa Negeri Sembilan Digelar Dengan Nama Darul Khusus?

Almarhum juga berperanan menggerakkan amalan tasauf dan suluk di negeri ini terutama di Seri Menanti melalui pintu masuk di Senaling hingga ke dalam istana. Malah, Almarhum sendiri sering mengundang ulama untuk datang ke istana. Perkembangan syarak begitu pesat hingga Senaling ke Seri Menanti dianggap lubuk untuk orang belajar agama terutama bidang tasauf dan suluk.

Pengkhususan dan kehebatan negeri ini dalam bidang agama berjaya melahirkan beberapa tokoh guru terkenal. Ia termasuklah Lebai Maadah Layang, Tuan Guru Haji Majid, Ustaz Jani, Ustaz Hasim Ghani, Tuan Haji Ahmad Rembang Panas, Tuan Haji Ujang dan Tuan Haji Tahir.

Pada ketika itu juga wujud kepemimpinan Tuanku Besar Burhanuddin yang begitu berminat khususnya dengan syarak dan akhirnya perkara ini berkembang pesat di Seri Menanti. Perbahasan berkenaan syarak juga begitu sihat dan berkembang pesat dan berjaya membentuk masyarakat yang kuat berpegang pada agama.

Kenapa Negeri Sembilan Digelar Dengan Nama Darul Khusus?

Syarak dikiaskan seperti sebatang pokok yang berdiri teguh dan mempunyai urat tunjang, dahan, ranting, daun dan akhir sekali pucuk. Ini yang menjadikannya hebat. Kehebatan ini wujud pada zaman almarhum hingga dipandang tinggi.

Bagi almarhum juga, nama “Sembilan” yang ada pada negeri ini membawa maksud sembilan wali, sembilan pancaindera, sembilan kedudukan, sembilan kawasan, sembilan keturunan dan sembilan raja. Paling khusus lagi pada ketika itu amalan Adat Perpatih yang bertunjangkan syarak begitu teguh. Adat dan syarak saling kukuh memperkukuhkan antara satu sama lain.

Dikatakan kehebatan almarhum ketika itu khususnya di bidang agama mendorong Majlis Raja-Raja Melayu bermuafakat melantiknya sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama.

Sumber – Temubual Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin oleh Harian Metro. (Dipetik daripada artikel 5 Februari 2016)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.