Kenali Syamsul Debat, Penceramah Motivasi Terkenal Kelahiran Negeri Sembilan

Asalkan sahaja penceramah sampaikan ceramah dengan menyelitkan hadis dan ayat al-Quran, sudah pasti mereka akan menggelarnya ustaz tanpa mengira latar belakangnya. Hal sama turut dilalui oleh pakar motivasi terkenal, Syamsul Amri Ismail atau lebih terkenal dengan gelaran Syamsul Debat.

Kenali Syamsul Debat, Penceramah Motivasi Terkenal Kelahiran Negeri Sembilan

Syamsul Debat Yang Lucu Tapi Ceramah Jenaka Penuh Berisi

Anak jati Negeri Sembilan yang dilahirkan di Kampung Ayer Dedali, Jempol, Negeri Sembilan ini mengakui ramai yang menyangka dirinya seorang ustaz kerana setiap kali memberi ceramah motivasi, beliau akan menyelitkan dakwah serta ayat al-Quran dalam ceramahnya.

“Saya ni pemberi motivasi sahaja, bukan ustaz. Senang cakap, saya ni naqil, orang yang berkongsi ilmu yang didapati daripada agamawan dan mereka yang bertauliah dalam bab agama,” katanya dalam sebuah akhbar tempatan.

Kenali Syamsul Debat, Penceramah Motivasi Terkenal Kelahiran Negeri Sembilan

Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali dengan nama ‘Syamsul Debat’

Dek kerana sikapnya bersahaja ketika memberi ceramah membuatkan beliau semakin popular serta menjadi pilihan menyampaikan ceramah motivasi. Ditambah pula dengan selitan jenakanya, membuatkan ceramahnya menjadi perhatian ramai.

Beliau juga mengakui tidak mudah berceramah sambil berjenaka, namun itulah kelebihan beliau kerana lawaknya bukan kosong. Ia mempunyai makna tersirat dan pengajaran kepada masyarakat.

Berkenaan bagaimana pembabitan beliau dalam dunia ceramah adalah berlaku dengan tidak sengaja. Menurutnya kira-kira 12 tahun yang lalu, beliau pernah menjadi peserta program ilmiah di Mambau, Negeri Sembilan. Dan disebabkan individu yang sepatutnya memberi ceramah tidak hadir dan kebetulan penganjur tersebut adalah kenalannya maka beliau disuruh untuk menggantikan penceramah asal itu. Disebabkan beliau tidak mahu menghampakan rakannya, beliau teruskan juga berceramah dalam prgram berkenaan. Bermula dari situlah, orang mula mengenali siapa beliau dan tertanya-tanya siapakah beliau.

Kenali Syamsul Debat, Penceramah Motivasi Terkenal Kelahiran Negeri Sembilan

Ceramahnya menjadi tumpuan golongan tua serta muda. Tak hairanlah dimana-mana ceramah yang disampaikan beliau, sentiasa dipenuhi tetamu yang ingin mendengarnya

Bercerita melalui Ceramah

Pendekatan yang digunakan beliau ketika menyampaikan ceramah ialah menyelitkan cerita tetapi mengurangkan perkara berfakta semata-mata. Menurutnya kaedah itu ternyata lebih difahami.

Sebagai contoh kalau ingin memberitahu info mengenai kesihatan, kebiasaannya penceramah akan memberikan penerangan mengenai penyakit tersebut. Tetapi beliau sebaliknya ambil pendekatan berbeza dengan menceritakan kisah pesakit itu. Dengan cara itu mungkin juga lebih menarik minat pendengar.

Penceramah berusia 38 tahun itu berkata, ibu bapanya amat menitikberatkan ilmu agama dan secara tidak langsung dapat dikongsi bersama masyarakat. Selain keluarga, Syamsul Debat pernah mendapat pendidikan di dua sekolah agama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syeikh Haji Mohamad Said, Seremban dan Sekolah Menengah Agama Labu, Negeri Sembilan.

“Ayah dan datuk saya merupakan bilal. Jadi, penduduk sekeliling amat menghormati kami dan saya menerimanya dengan rendah diri,” katanya.

Kenali Syamsul Debat, Penceramah Motivasi Terkenal Kelahiran Negeri Sembilan

‘Duo Syamsul’, Rancangan terbaru terbitan TV Al Hijrah bermula 22hb September Setiap Jumaat Jam 7.30 petang Di TV Al Hijrah

Semakin Dikenali

Graduan Diploma Pentadbiran Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga semakin sibuk dengan jadual ceramah motivasi di beberapa agensi kerajaan dan swasta di seluruh negara.

“Saya pernah berceramah di enam lokasi yang berbeza di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor dari pagi hingga malam. Ketika Ramadan, saya pernah berceramah enam kali sehari di tempat berbeza sehingga berbuka puasa di dalam kereta sahaja,” selorohnya.

Buku adalah peneman beliau. Ia sesuai dengan profesionnya yang memerlukan beliau mempunyai ilmu untuk berkongsi dengan pendengar.

“Saya memang ada koleksi bahan bacaan dalam kereta. Kalau dulu, saya tak boleh membaca dalam kereta, namun sekarang ini, Alhamdulillah, ALLAH SWT permudahkan urusan. Biasanya, saya akan membuat rujukan sebelum memberi ceramah supaya tidak tersilap fakta,” katanya.

Biarpun akan menyelitkan ayat-ayat al-Quran dalam siri motivasinya, namun Syamsul Debat berkata, beliau tidak sekali-kali membincangkan isu agama yang tidak arif dan mendalam.

Bagi memastikan statusnya sebagai penceramah tidak dipertikaikan, beliau sudah mengambil tauliah daripada pihak bertanggungjawab bagi menangkis persepsi tersebut.

Pencapaian Beliau Dalam Pidato & Debat

Beliau seorang yang sangat aktif dalam persatuan-persatuan pelajar sewaktu menuntut di UiTM, antaranya pernah menyandang jawatan Presiden Kelab Usahawan (MEDEC UiTM), Exco Jawatankuasa Perwakilan KOMSIS UiTM, Presiden Kelab Debat & Pidato UiTM Shah Alam dan juga Naib Presiden Persatuan Wawasan UiTM Shah Alam.

Kenali Syamsul Debat, Penceramah Motivasti Terkenal Kelahiran Negeri Sembilan

Bukan sahaja seorang penceramah,
malah menjawat jawatan penting dalam sektor awam

Di antara pencapaian cemerlang En. Syamsul Amri sepanjang penglibatan beliau dalam dunia pidato dan debat ialah Johan Pidato UiTM Melaka (1998), Johan Debat Piala Provos UiTM Melaka (1998), tempat Ketiga Debat DiRaja di USM Pulau Pinang (Pendebat Terbaik Keseluruhan) (1999), Johan Pidato Kenegaraan Negeri Sembilan (2000), Johan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan di Ipoh (2000), tempat ketiga Debat DiRaja di UUM (Ranking Pertama Pendebat Terbaik Seluruh Malaysia) (2002), Johan Debat Perdana anjuran Majlis Peguam Malaysia (2002), Johan Debat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) (Pendebat Terbaik Keseluruhan) (2002), Johan Debat Komuniti Bestari Negeri Sembilan (2003), Johan Debat Komuniti Bestari (Pendebat terbaik pertandingan akhir) (2003) Johan Pidato KEMAS Negeri Sembilan (2003), Johan Pidato anjuran KEMAS Negeri Sembilan (2004).

Beliau turut menjadi ketua hakim bagi pertandingan-pertandingan debat yang dianjurkan, jurulatih debat dan memiliki sijil Penghakiman Debat yang dikeluarkan oleh MADUM.

Terakhir sekali, Johan Pidato Perdana Islam Hadhari Kebangsaan di PWTC di hadapan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada tahun 2006. Kini menjadi jurulatih sambilan untuk Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh serta beberapa buah Universiti Tempatan termasuk UNIMAS di Sarawak.

Kenali Syamsul Debat, Penceramah Motivasti Terkenal Kelahiran Negeri Sembilan

Kenyataan Syamsul Debat mengenai akaun sosial media dibawah kelolaan beliau.

Sumber – Sinar Harian Online (20 Januari 2017); belogsjm.blogspot.my (28 Jun, 2017)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.