Kebakaran 3 Buah Kedai Di Rembau – Baju Melayu terakhir Sebelum Bercuti Panjang

REMBAU, 27 Okt – “Baju Melayu terakhir sebelum bercuti panjang…,” Itulah status yang dimuat naik di Facebook milik seorang tukang jahit, Selasa lalu yang mengusik hati bakal ibu pengantin, Samiah Omar, 44.

Kebakaran 3 Buah Kedai Di Rembau - Baju Melayu terakhir Sebelum Bercuti Panjang

Samiah menunjukkan gambar kain baju Melayu untuk pernikahan anaknya pada 2 Disember ini. Gambar kecil: Baju nikah warna putih.-
FOTO Sinar Harian

Kata Samiah, baju Melayu itu merupakan baju nikah anak sulungnya yang musnah dalam kebakaran membabitkan tiga unit kedai Majlis Daerah Rembau (MDR), di Pekan Chengkau, tengah hari semalam.

[BERITA BARKAITAN: Tiga Buah Kedai Terbakar Di Pekan Chengkau]

Menurutnya, sebaik dimaklumkan kejadian itu, dia terus teringatkan keadaan tukang jahit, Shima Harun, 43, yang juga merupakan jirannya, kini dalam keadaan kurang sihat serta perlu menjalani pembedahan.

“Masa dapat tahu tu, semua akak terkenang. Ingat pada tuan kedai sebab jiran, ingat dekat baju nikah sebab ini kali pertama anak akak kahwin. Majlis akan berlangsung 2 Disember ini di Kedah.

“Ikutkan jiran memang dah berhenti ambil tempahan baju kerana akan buat pembedahan tak lama lagi. Tapi sebab semangatnya yang kenangkan perkahwinan anak akak, dia gagahkan juga siapkan baju nikah warna putih ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, walaupun sedih dengan kejadian berkenaan, namun dia reda lantaran itu adalah sebahagian daripada takdir.

“Akak tak salahkan mana-mana pihak sebab ini dah ketentuan ALLAH. Macam baju ni kita boleh cari lain. Cumanya akak sedih bila kenangkan status yang dimuat naik jiran ni. Dia memang bersungguh siapkan tempahan dan baru sahaja menggunting kain yang dihantar,” katanya.

Kebakaran 3 Buah Kedai Di Rembau - Baju Melayu terakhir Sebelum Bercuti Panjang

Noraziah (kiri) melihat keadaan mesin serta barangan di kedai santannya yang berjaya diselamatkan orang awam. – FOTO Sinar Harian

Sementara itu, bagi Shima, dia sememangnya sudah berhenti mengambil tempahan baju sejak sebulan lalu kerana ingin berehat buat sementara waktu sebelum menjalani pembedahan fibroid tidak lama lagi.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat kira-kira 20 tempahan yang sudah diterima sebelum dia menutup tempahan dan sedang dalam proses untuk disiapkan.

“Ada yang dah siap, ada yang belum lagi dibuat. Dalam kejadian ini, empat mesin jahit industri musnah terbakar. Malah baju-baju juga tak dapat diselamatkan kerana semasa kejadian, saya tiada di kedai,” katanya.

Saksi kejadian, Azman Abdul Jalil, 50, berkata, dia berada di kedai makan emak saudaranya dan menerima panggilan daripada tukang masak yang mengatakan bahagian dapur tempat memasak terbakar.

Menurutnya, ketika itu dia berada di hadapan kedai dan mengarahkan kesemua yang berada di kedai untuk keluar dari kedai.

Kebakaran 3 Buah Kedai Di Rembau - Baju Melayu terakhir Sebelum Bercuti Panjang

Keadaan di lokasi kejadian di mana anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran membabitkan tiga unit kedai MDR di Pekan Chengkau, semalam. – FOTO Sinar Harian

“Dalam keadaan cemas cuba padamkan api, saya teringat cucu ibu saudara yang tidur dalam buaian di kedai.

“Saya segera bawa keluar kanak-kanak berkenaan dan memujuk ibu saudara untuk tak masuk ke dalam kedai. Dia nak masuk kedai nak ambil dokumen penting dan selamatkan barangan. Saya larang kerana api dah marak,” katanya.

Menurutnya, dalam masa lima belas minit sahaja sebelum pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke kedai sebelah dan asap naik berkepul-kepul.

Salah seorang mangsa, peniaga santan, Noraziah Abd Ghani, 54, berkata, dia baru setengah jam pulang ke rumah dan terkejut apabila menerima panggilan daripada suaminya menyatakan kedai terbakar.

Menurutnya, dia segera ke lokasi kejadian dan sebaik tiba melihat keadaan kedainya sudah musnah.

“Alhamdulillah, orang di sini tolong selamatkan barangan akak kerana bahagian pintu gelangsar akak tak kunci sebab niat akak nak datang balik untuk kemas kedai.

“Mesin perah kelapa akak berjaya dikeluarkan orang ramai. Malah, ALLAH bantu selamatkan beg yang menyimpan jualan santan akak hari ini yang tak dibawa pulang daripada turut sama musnah terbakar,” katanya.

TEMPATKAN SEMENTARA PENIAGA DI LOKASI BAHARU

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lada yang juga Ahli Majlis, Abd Latip Alias berkata, pihaknya kini berusaha berbincang bersama MDR bagi mencari penempatan sementara untuk operasi tiga peniaga berkenaan.

“Bagi kedai santan kita akan usahakan untuk memindahkan operasi di Pasar Chengkau.

“Manakala bagi dua lagi peniaga kita akan lihat kemungkinan operasi di premis kosong lain,” katanya.

Susulan kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari dua balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Tampin diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fuad Majid dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira 12.50 tengah hari.

Menurut Mohd Fuad, sebaik tiba pada jam 1.02 petang, api marak membakar sebuah kedai makan dan sedang merebak ke kedai bersebelahan iaitu sebuah kedai jahitan pakaian.

“Kita ambil masa selama 10 minit bagi mengawal kebakaran. Bagaimanapun, kedai makan dianggarkan terbakar kira-kira 95 peratus, diikuti kedai jahitan pakaian terbakar kira-kira 40 peratus.

“Kedai santan pula terbakar kira-kira 20 peratus. Punca dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (27 Oktober 2017

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.