Jelebu Syurga Durian

Mungkin ramai tidak tahu, daerah Jelebu juga merupakan salah satu kawasan yang mewah dengan tanaman buah-buahan, termasuk durian.

Jelebu Syurga Durian Di Negeri Sembilan

Zainal Dahalan (pertama dari kiri) dan Hasim Rusdi (tiga dari kiri). Turut kelihatan, Adun Klawang, Datuk Yunus Rahmat (pertama dari kanan).

Bagaimanapun, mungkin disebabkan tiada usaha untuk menjenamakannya menyebabkan ‘durian Jelebu’ kurang dikenali, namun hanya diketahui masyarakat setempat sahaja.

Menyedari perkara itu, kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk menjenamakan semula ‘durian Jelebu’ sebagai salah satu produk pelancongan Negeri Sembilan.

Malah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelebu turut menganjurkan program Moh Makan Durian dengan tema Kono Durian Kepalang Garang, Rasa Sekali Terkonang-Konang.

Bertempat di Golden Valley Fruits Park, Titi di Jelebu, dianggarkan sebanyak 650 pokok durian sedang aktif mengeluarkan buah termasuk durian king yang dijaga rapi dengan baik.

Kebun berkenaan diyakini mampu membantu memperkenalkan Jelebu sebagai lembah buah-buahan terutama durian.

Di bawah pokok durian king itu juga dipasang jaring bagi mengelakkan buah durian gugur mencecah tanah dan menjaga kualiti buah tersebut.

Sambil menikmati buah-buahan segar di atas bukit, pengunjung turut boleh melihat pemandangan indah dari atas bukit, di samping merasai pengalaman sendiri berada di dusun.

Tidak hairanlah, ada antara pengunjung datang dari Kuala Lumpur yang jaraknya hanya 90 kilometer sahaja.

Selain durian kampung, turut terdapat di situ, durian duri hitam, musang king, kunyit, XO, D24 dan udang merah.

Tidak Terdapat Di Tempat Lain

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasakan kempen agro pelancongan khususnya di Golden Valley Fruits Park itu dalam usaha untuk tambah nilai produk pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha untuk menjenamakan semula durian Jelebu sebagai salah satu produk pelancongan Negeri Sembilan.

Jelebu Syurga Durian Di Negeri Sembilan

Pengunjung menikmati pelbagai jenis durian yang disediakan. Foto – Sinar Harian

“Bukan durian saja, banyak lagi buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis, nanas dan nangka madu akan ditanam di daerah ini sebagai usaha untuk memperkenalkan Jelebu sebagai Fruit Valley,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 145.04 hektar tanah diperuntukkan untuk tanaman buah-buahan khususnya durian, sekali gus menjadikan Jelebu sebagai pusat pengeluaran buah-buahan.

“Durian Titi adalah antara durian yang terbaik, sama tarafnya dengan buah durian yang ditanam di negeri lain.

“Titi merupakan antara lokasi dusun durian terbaik negara disebabkan keadaan muka buminya yang unik, berbukit-bukau dan cuaca yang agak dingin, menjadikan durian di Jelebu mempunyai rasa yang tersendiri.

“Cubalah cari durian Jelebu di tempat lain, tak sama rasanya. Kelazatan dan keenakan durian Titi Jelebu ini hanya boleh dimakan di Negeri Sembilan sahaja. Sebab itulah, kalau boleh kita mahu perkenalkan durian Jelebu ini ke tempat luar agar lebih dikenali sama dengan durian lain,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan

Jelebu Syurga Durian Di Negeri Sembilan

Hasim turut menikmati durian yang diusahakan PPK Jelebu. Foto – Sinar Harian

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Azizan Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Hamzah Bahari.

Ramai Sudah Beralih Ke Tanaman Durian

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Zainal Dahalan berkata, sebanyak RM200 juta peruntukan isediakan sebagai inisiatif Sumber Kekayaan Baharu sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018.

“Bagi industri durian, kementerian mensasarkan pengeluaran durian sebanyak 28,000 matrik tan menjelang 2020.

“Saya yakin, hasrat itu akan dicapai dengan mudah memandangkan ramai pengusaha dan peladang kita telah beralih arah menanam durian,” katanya.

Menurutnya, usaha PPK Jelebu ini mampu membantu negara dalam meningkatkan pengeluaran makanan, selain memperkenalkan durian sebagai sumber kekayaan baharu.

Difahamkan, projek berkenaan dibangunkan sejak 1997 dengan tanaman pokok sebanyak 850 batang pokok durian, namun yang aktif mengeluarkan buah hanya 650 pokok sahaja.

Pada musim ini, pokok di ladang PPK Jelebu mengeluarkan banyak hasil, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 3,140 ahli PPK Jelebu.

Seramai 80 ahli peladang mengusahakan tanaman durian sekitar Jelebu dengan jumlah sebanyak 8,791 pokok durian yang ditanam.

Kesemua ahli peladang ini turut dibantu LPP melalui pergerakan Pertubuhan Peladang yang akan memberi bantuan kepada semua ahli merangkumi aspek pembangunan kawasan tanaman, input pertanian, pembinaan pusat pengumpulan, dan pusat pemprosesan serta lain-lain bantuan.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (10 JANUARI 2018)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.