Jangan Salah Guna Label Nama Wakaf Semata-Mata Untuk Kaut Keuntungan

SEREMBAN 20 Sept. – Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan nama dan label wakaf untuk mengaut keuntungan tidak munasabah.

Mufti Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, hal demikian akan mendatangkan kemurkaan Allah kerana tujuan asal berwakaf adalah untuk meningkatkan ketakwaan dan iman seseorang.

“Roh wakaf hendaklah dijaga agar boleh dijadikan sebagai budaya positif selain menggalakkan masyarakat untuk suka dan ringan tangan untuk membantu. Biarlah sumbangan wakaf yang dihulurkan akan menjadi sebaik-baik bekalan di hari akhirat kelak,” katanya ketika berucap dalam Majlis perasmian Muktamar Waqf Iqlimi 2017 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dekat sini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pengarah Institut Sains Islam, Prof. Dr. Norita Md Dali.

Dalam pada itu Mohd. Yusof berkata, penyumbang wakaf di negara ini juga masih belum pada tahap optimum.

Oleh yang demikian katanya, kempen kesedaran berwakaf perlu diperhebat agar masyarakat dapat berkongsi manfaat daripada projek-projek yang dianjurkan Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

Sementara itu, program Muk­tamar Waqf Iqlimi 2017 yang dianjurkan akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.

Program dengan tema ‘Kelestarian wakaf dan kewangan sosial Islam dalam memperkasakan pembangunan ummah global’ itu bertujuan memperluaskan aplikasi wakaf me-rangkumi pengajaran, penyelidikan dan jaringan industri.

Dzulkifli ketika berucap ber­kata, instrumen wakaf mem­punyai potensi untuk me­nyediakan peluang pen­didikan, sokongan kepada aktiviti penyelidikan, menyedia­kan peluang pekerjaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan.

“Banyak kajian mencatatkan kejayaan institusi wakaf yang diurus dengan baik, contohnya pendidikan dan penyampaian perkhidmatan sosio ekonomi kepada ma­syarakat. Justeru sumbangan wa­kaf sama ada dalam bentuk tunai ataupun bukan tunai harus digalakkan supaya dapat me­ningkatkan ketakwaan dan ke­imanan dalam kalangan masyarakat muslim,” ujarnya.

Sumber – Utusan Online (21 September 2017 | 3:00 AM)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.