Istana Seri Menanti Pernah Dijadikan Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan

Gambar dibawah diambil pada tahun 1962, setahun sebelum penubuhan Malaysia. Ini ialah gambar di hadapan bangunan sementara Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan (SUMT NS).

Istana Seri Menanti Pernah Dijadikan Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan

Anak-anak muda di dalam gambar ini ialah pelajar dari kumpulan pertama bagi sekolah tersebut yang mula mengambil pelajarnya pada tahun 1959. Gambar ini diambil ketika sambutan hari raya pada tahun yang sama di sekolah tersebut. Kini lebih dari separuh pelajar di dalam gambar ini telah tiada.

SUMT NS adalah antara sekolah agama terawal negara yang menawarkan pendidikan agama dan kerohanian secara formal dan lebih sistematik dengan modul-modul pengajaran dan pembelajaran yang diiktiraf oleh universiti-universiti Islam seluruh dunia termasuklah Universiti Al-Azhar di Mesir.

Pelajar-pelajarnya diambil dari Sekolah Ugama Menengah Rendah di sekitar Negeri Sembilan. Setelah tamat SUMT, mereka akan dihantar ke Kolej Islam Malaya (kemudian dinamakan sebagai Kolej Islam Kelang dan kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) di Selangor. Kolej Islam ini merupakan persiapan bagi pelajar-pelajarnya sebelum ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Mereka ini antara kumpulan pertama anak Melayu Negeri Sembilan yang menikmati tajaan biasiswa kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk melanjutkan pendidikan di Mesir sehingga tamat peringkat tertinggi di Al-Azhar, Kaherah.

SUMT NS sememangnya merupakan DNA serta tunjang kepada sekolah-sekolah agama seluruh negara sejak mula penubuhannya sehingga selepas merdeka. Ia sekaligus mengangkat pendidikan Islam di Tanah Melayu secara lebih komprehensif dan teratur di mana membawa pelajar-pelajar terpilih dari segenap lapisan masyarakat dan latar belakang untuk mendalami pendidikan Islam ke tahap yang lebih tinggi.

Selain menjadi model contoh penubuhan sekolah agama di bawah naungan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, SUMT NS juga menjadi antara rujukan utama penubuhan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu dan Kajang yang masih wujud kini.

Istana Seri Menanti Pernah Dijadikan Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan

Sebelum wujudnya sekolah-sekolah ini, keperluan pendidikan agama Islam banyak dipelopori oleh sekolah-sekolah pondok seluruh negara. Ia menjadi alternatif pilihan lain pendidikan agama Islam negara.

Sejak penubuhan SUMT NS, ia telah melahirkan ramai ulama’ dan tokoh-tokoh agama Negeri Sembilan dan menyumbang kepada perkembangan Islam seluruh negara. Antara ulama’ yang dilahirkan oleh SUMT NS ialah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang ke-2 iaitu Allahyarham Dato’ Haji Hasan Bin Sail dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan ke-4 yang kini masih bertugas iaitu Dato’ Hj Mohd. Yusof Bin Hj Ahmad.

Jika anda melihat kembali gambar di bawah ini, perhatikan bangunan sekolahnya (latarbelakang gambar). Mungkin biasa bagi sesetengah orang, tetapi mungkin juga agak asing bagi orang lain.

Bangunan tersebut adalah Istana Besar Seri Menanti, menggantikan Istana Pulih yang musnah terbakar akibat perang. Istana lama ini yang terkenal tanpa paku adalah istana yang sama tempat asal bersemayamnya Yamtuan Besar Negeri Sembilan sejak 1908 hingga tahun 1931.

Yamtuan Antah kemudiannya berpindah ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama. Sejak itu, ia ditinggalkan kosong dan tidak berpenghuni kecuali diletakkan barang-barang istiadat dan relik-relik diraja dan digunakan hanya ketika upacara khas istiadat diraja sahaja.

Dengan izin DYMM Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad sendiri pada tahun 1959, peranan istana ini berubah kemudiannya apabila dijadikan sebagai Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan. Untuk keselesaan pelajar-pelajarnya, bahagian bawah istana dijadikan kelas dan turut menempatkan dewan makan dan asrama pelajar pula ditempatkan di tingkat satu.

Sebagaimana dinyatakan sendiri oleh bekas pelajar SUMT NS ini, baginda bertitah dalam ucapannya semasa menyerahkan Istana untuk kegunaan sebagai sekolah agama ini, baginda menyatakan bahawa ia adalah terjemahan kepada ketinggian martabat Islam yang dijunjung tinggi di Negeri Sembilan dengan ditadbir dengan penuh ehsan dan amanah oleh baginda tuanku sebagai ketua Agama Islam negeri. Ia menzahirkan bahawa Islam dan pemerintah berpisah tiada.

Istana Seri Menanti ini kembali sepi selepas penghujung 1964 apabila SUMT NS berpindah ke di bangunan tetapnya, kemudian dikenali sebagai Sekolah Menengah Tinggi Ugama di Bukit Merbah, Seremban. Sekolah tersebut terletak di kawasan yang sama dengan Kolej Tunku Kurshiah yang lama. (kini ditukar menjadi Sekolah Menengah Sains Perempuan selepas TKC berpindah kini ke tempat baru di Bandar Enstek, Nilai, NS).

Istana Seri Menanti Pernah Dijadikan Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan

Istana ini kemudiannya diwartakan secara rasmi sebagai Muzium Diraja Negeri Sembilan oleh DYMM Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 1992. Ia kekal megah sebagai Muzium Diraja selain masih menyimpan memori lama bekas pelajar SUMT Negeri Sembilan sehingga hari ini.

Info Tambahan: Sebenarnya, SUMT NS mengekalkan nama yang sama untuk beberapa tahun selepas ia berpindah ke tempat baru. Kemudian apabila diserap di dalam sistem pendidikan kebangsaan sekolah tersebut diambil dari kerajaan NS untuk diletakkan dalam sistem SMAK yang baru diperkenalkan, ia ditukar menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said atau singkatannya SHAMS. Sekolah tersebut kekal di tempatnya kini dengan nama baru itu.

Sumber – Artikel ini asalnya ditulis oleh penulis, KAM untuk The Patriots

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.