Dua Tiang TM Patah, Wayar Tersangkut Pada Besi Treler

TAMPIN, 7 Dis – Dua tiang Telekom Malaysia (TM) patah selepas wayarnya tersangkut di besi treler di jalan Felda Bukit Rokan Utara (FBRU) Gemencheh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemandu treler muatan mozek tersebut dalam perjalanan menghantar muatan ke sebuah projek perumahan generasi kedua di Felda berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Rokan Utara, Mohd Sharif Burok berkata, ketika kejadian penduduk yang menikmati sarapan pagi di sebuah kedai berhampiran dikejutkan dengan bunyi kuat.

“Sebaik pandang ke arah jalan, didapati wayar telefon telah tersangkut di besi treler yang sedang bergerak sehingga menyebabkan dua tiang telefon patah.

“Kejadian ini menyebabkan ada kediaman penduduk yang menggunakan talian telefon tetap dan internet terjejas sementara,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sehingga jam 6 petang, pemandu treler masih tidak membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (7 Disember 2017)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.