Cerita Disebalik Kewujudan Batu Megalitik Di Negeri Sembilan

Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu tentang kewujudan batu ‘megalitik’ yang merupakan salah satu khazanah peninggalan bersejarah yang terdapat di negeri ini yang secara tidak langsung mempengaruhi serta merujuk kepada perkembangan tradisi dan budaya masyarakat pada suatu ketika dulu.

Cerita Disebalik Kewujudan Batu Megalitik Di Negeri Sembilan

Batu Megalitik yang terdapat di Pengkalan Kempas, Linggi

Perkataan ‘Megalitik’ yang berasal dari perkataan Greek ‘Mega’ yang membawa maksud besar dan ‘Lithos’ iaitu batu, boleh didefinasikan sebagai batu besar yang didirikan di atas tanah secara bersendiri dan berpasangan. Istilah tersebut mula diperkenalkan pada tahun 1870 (Robert: 1970). Selain itu ia juga membawa maksud ‘Built of Large Stones’ (Warwick & David: 1970). Di Malaysia, ia lebih dikenali sebagai ‘Batu Hidup’ terutamanya masyarakat Minangkabau yang terdapat di Negeri Sembilan.

Zaman Batu Megalitik dikatakan bermula sejak abad ke-18 lagi dan kebanyakan batu-batu yang terdapat di negeri ini dikenali dengan jenis ‘Menhir’. Penemuan batu tersebut di sekitar negeri ini merupakan tanda perkembangan penempatan masyarakat awal yang menjadikannya sebagai tempat pemujaan, selain menaruh pelbagai kepercayaan yang diyakini mampu mempengaruhi ekonomi (pertanian) serta kebudayaan masyarakat ketika itu.

Cerita Disebalik Kewujudan Batu Megalitik Di Negeri Sembilan

Stonehenge yang terdapat di Sweden merupakan salah satu dari jenis Batu Megalith yang tedapat di dunia ini.

Pada ketika itu juga, masyarakat yang bergantung terhadap pertanian sebagai sumber ekonomi utama sehingga ada yang mempercayai bahawa penyembahan serta pemujaan batu megalitik mampu membantu mereka untuk memperoleh tanaman yang subur.

Berdasarkan penemuan yang dibuat, kebanyakan batu-batu megalitik jenis Menhir ini boleh didapati di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak. Di Negeri Sembilan dan Melaka sahaja, dikatakan lebih daripada 100 tapak megalitik telah dikenalpasti.

Kebanyakan tapak Megalitik di Melaka dan Negeri Sembilan terdiri daripada batu menhir yang didirikan berpasangan dan disusun dalam beberapa barisan di atas tapak tanah yang berbusut

Batu Megalitik yang biasanya mempunyai ketinggian di antara 0.6 meter hingga 1.8 meter disusun berorientasikan arah utara-selatan secara berpasangan dan diatur dalam barisan timur-barat. Dalam kelompok megalitik pula, biasanya terdapat satu batu tegak yang terbesar dan dikenali sebagai ‘ibu’ serta diberi nama khusus sebagai ‘Tok Bongkok’ dan sebagainya.

Cerita Disebalik Kewujudan Batu Megalitik Di Negeri Sembilan

Tapak Megalitik yang terdapat di Terachi

Batu-batu Megalitik yang merupakan monumen bersejarah ini turut digunakan sebagai tempat masyarakat dahulu berkumpul dan mengadakan persembahan tradisi untuk tujuan riadah.

Peredaran masa dan kemasukan agama ke negara ini membuatkan masyarakat semakin mengubah fungsi batu tersebut dari masa ke semasa. Perubahan pada budaya, sosio dan ekonomi masyarakat dari semasa ke semasa turut membuatkan masyarakat menukarkan fungsi batu megalitik dengan menggunakan serpih batu sebagai batu nisan serta peralatan harian.

Cerita Disebalik Kewujudan Batu Megalitik Di Negeri Sembilan

Batu Megalitik Datuk Nisan Tinggi di Repah, Tampin. Ketinggiannya sudah menjangkau 3.3 meter.

Walaubagaimanapun kewujudan batu megalitik ini masih lagi menjadi misteri kepada masyarakat umum dan juga penyelidik. Ini kerana pelbagai persoalan masih timbul tentang pengaruh kebudayaan ini sama ada ia datang melalui jalan laut atau darat. Tambahan pula, sehingga kini ia masih belum dapat dipastikan oleh mana-mana pihak.

Kemasukan pengaruh Megalitik di Negeri Sembilan berkemungkinan juga mempunyai hubungan dengan peranan imigran yang berhijrah dari Sumatera. Perkembangan tersebut amat jelas memandangkan kebanyakan menhir atau batu hidup ini juga banyak terdapat di sana. Disini pula ia hanya terdapat di Melaka dan Negeri Sembilan dimana seperti yang seperti kita ketahui, kedatangan orang Minangkabau bermula di negeri-negeri ini.

Antara tapak megalitik yang dikenal pasti di sekitar negeri ini ialah Pengkalan Kempas, Kuala Pilah, Kampung Ipoh dan Pulau Sebang di Tampin, Lembah Terachi, Kuala Pilah, Kampung Gedang, Kampung Padang Lebar, Kampung Kundangan Kiri, Kampung Masjid, Kampung Parit Tengah dan Kampung Talang – kesemuanya dalam mukim Terachi (Tampin-Kuala Pilah).

Cerita Disebalik Kewujudan Batu Megalitik Di Negeri Sembilan

Antara tapak Batu Megalitik lain yang terdapat di sekitar daerah Kuala Pilah

SUMBER – Utusan Online (14 Januari 2009; 28 November 2015; 19 Mac 2016); Slideshare.net (Kebudayaan-Megalitik)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.