Balai Cerap Teluk Kemang Miliki Teleskop Terbesar Di Malaysia

Balai Cerap Teluk Kemang terletak di Kompleks Baitul Hilal Teluk Kemang, Port Dickson. Ia terletak di dalam kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar diatas sebuah tanjung yang mempunyai keluasan pandangan ufuk yang luas. Teleskop yang terdapat di balai cerap ini adalah yang tercanggih di Asia Tenggara serta terbesar di Malaysia.

balai cerap teluk kemang

Balai Cerap Teluk Kemang mempunyai kubah dan menghadap ke perairan Selat Melaka dilengkapi dengan teleskop bersaiz 24 inci dan uniknya ia berkemampuan membuat cerapan sehingga 0 darjah bagi tujuan cerapan hilal ataupun anak bulan. Ia dilengkapi dengan tiga unit teleskop penjejak dan mempunyai kubah bersaiz lima meter yang mana sistem komputer digunakan untuk mengawal teleskop tersebut. Kubah balai cerap ini adalah dari jenis PTCS iaitu sama seperti digunakan di Kit Peak National Observatory, Amerika Syarikat.

Balai Cerap Teluk Kemang mula beroperasi secara rasmi pada 1970 dan telah melalui beberapa siri penambahbaikan dan naik taraf. Sejumlah RM38 juta daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan diperuntukkan bagi membina Kompleks Baitul Hilal yang meliputi Balai Cerap, serta kemudahan 84 bilik hotel yang dinamakan sebagai Klana Beach Resort Port Dickson.

balai cerap teluk kemang

balai cerap teluk kemang

Balai Cerap Teluk Kemang dinaik taraf pada 2009 sebelum siap sepenuhnya pada 2012. Ia kemudian dibuka kepada umum bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menimba pengalaman menyaksikan alam semesta menggunakan teleskop. Balai Cerap Teluk Kemang sering menjadi tumpuan pengkaji ilmu Falak ataupun ilmu astronomi dalam dan luar negara kerana balai ini merekodkan kenampakkan anak bulan paling tinggi dalam sejarah balai cerap di seluruh Malaysia. Untuk pengetahuan anda semua, cerapan (melihat) anak bulan yang pertama kali dilakukan bagi menetapkan permulaan puasa seluruh Malaysia yang dibuat pada 7 Oktober 1972 (29 Syaaban 1392) adalah di sini.

Kompleks Baitul Hilal ini menjadi pusat rujukan dan penyelidikan penting bagi pelbagai kegiatan seperti melihat anak bulan, kaji bintang dan planet terutama bagi menjana pembangunan dan kemajuan ilmu astronomi.

balai cerap teluk kemang

balai cerap teluk kemang

balai cerap teluk kemang

Selain daripada itu, di balai cerap ini juga turut disediakan ruang pameran yang menempatkan lebih 20 artifak tentang ilmu falak yang merentasi masa yang digunakan pengkaji pada zaman dahulu. Bagi mereka yang datang ke sini selain boleh melihat angkasa lepas mereka juga boleh mengenali peralatan digunakan pengkaji terdahulu dalam kajian mereka tentang alam semesta.

balai cerap teluk kemang

Selain pameran statik, anda juga boleh bertemu terus dengan Pengasas Falak Online, Shahrin Ahmad pada hari-hari tertentu seperti gerhana dan hujan meteor dan beberapa lagi pengkaji dan pakar ilmu Falak yang akan diuar-uarkan pengurusan Balai Cerap Teluk Kemang dari masa ke semasa. Orang ramai juga dialu-alukan untuk turut serta semasa Jabatan Mufti dan bahagian falak jabatan agama melihat anak bulan setiap bulan ketika menentukan tarikh-tarikh bulan Islam.

Jadi bagi sesiapa yang berkelah di pantai teluk kemang (Batu 8), Port Dickson. Bolehlah datang kesini kerana jaraknya dengan pantai Teluk Kemang tidaklah berapa jauh. Anda boleh melihat bangunan ini daripada persisir pantai Teluk Kemang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.