Apa itu Adat Berkodin Atau Masuk Suku?

‘Berkodin’ atau ‘masuk suku’ dalam Adat Perpatih bermaksud ‘menjadi ahli’ atau ‘anggota’, sementara ‘suku’ pula panggilan bagi suatu kelompok kekeluargaan yang terbesar dalam kalangan masyarakat adat.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku utama iaitu Biduanda, Batu Hampar, Seri Melenggang, Tanah Datar, Seri Lemak, Mungkal, Tiga Nenek, Paya Kumbuh, Anak Melaka, Anak Acheh, Batu Belang dan Tiga Batu manakala setiap anggota masyarakat Adat Perpatih ialah ahli keluarga atau anggota kepada salah satu daripada suku-suku tersebut.

Keanggotaan seseorang ahli masyarakat Adat Perpatih mengikut suku ibu iaitu jika ibunya anggota suku Biduanda maka anak-anaknya akan bersuku Biduanda. Manakala individu yang tidak mengamalkan Adat Perpatih boleh jadi ahli masyarakat adat dengan syarat dia menjadi ‘anak angkat’ kepada salah satu daripada 12 suku berkenaan dan proses menjadi anak angkat ini yang dikatakan oleh umum sebagai ‘masuk suku’.

Justeru, perbuatan masuk suku ini adalah satu proses menjadi anak angkat kepada salah satu suku dalam masyarakat Adat Perpatih. Istilah adat bagi perbuatan ‘masuk suku’ ini adalah ‘berkodin’ iaitu bermaksud bersaudara dan bersaudara bermakna menjalin ikatan kekeluargaan.

Ikatan kekeluargaan yang terjalin bukan terhad dengan keluarga yang menerima seseorang itu sebagai anak angkat tetapi seluruh kelompok kekeluargaan iaitu semua anggota suku keluarga angkatnya.

Keunikan Adat Berkodin Atau Masuk Suku Di Negeri Sembilan

Ada dua sebab dan dua cara orang masuk suku atau berkodin.

Pertamanya, orang luar khususnya lelaki yang hendak berkahwin dengan orang Adat Perpatih. Suku yang dimasukinya itu harus tidak sama dengan suku bakal isteri. Contohnya, jika bakal isterinya anggota suku Tanah Datar, maka dia harus mengganggotai salah satu daripada 11 suku lain.

Tujuan masuk suku dalam kes seperti ini ialah suku angkat individu tersebut akan bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku sebarang masalah semasa mereka menjadi menantu kepada suku isterinya. Pendek kata, dalam kodin disebabkan ini, individu berkenaan hanya menumpang bersaudara dalam suku yang menerima dan mengkodinkannya.

Berkodin atas sebab ini diistilahkan sebagai ‘kodin adat’ atau ‘kodin pinang sebatang’ atau dikatakan juga sebagai ‘kodin selayar atap atau sebilah lantai’. Aturan dan adat istiadat untuk kodin jenis ini adalah sederhana sahaja.

Kodin yang kedua adalah mengambil anak angkat perempuan. Anak perempuan dalam masyarakat Adat Perpatih ialah aset kerana perempuan sahaja yang mewarisi nama suku dan harta pusaka, sama ada material dan bukan material.

Jika sesebuah keluarga tidak mempunyai anak perempuan keluarga berkenaan dianggap sebagai ‘pupus’. Justeru, bagi mengelakkan keadaan ‘pupus’ ini, keluarga berkenaan akan mengambil anak angkat. Keahlian dalam kodin jenis ini merupakan keahlian penuh dimana anak angkat dan bakal keturunannya nanti akan mewarisi suku yang dimasukinya. Kodin atas sebab ini dikatakan sebagai ‘kodin adat dan pusaka’ atau ‘kodin aur serumpun’. Berkodin jenis ini membolehkan orang yang dikodinkan mewarisi pusaka. Kebiasaannya untuk perempuan ‘disebut tunas menumpang atau tunas yang ditutkan’ apabila keluarga berkenaan tidak mempunyai anak perempuan.

Keunikan Adat Berkodin Atau Masuk Suku Di Negeri Sembilan

Alat menjalankan istiadat berkodin jenis ini ialah semangkuk darah kerbau/lembu, kain puteh sekabung dan duit adat. Kain puteh melambangkan keiklasan hati menerima kodin dan darah (darah binatang) semangkuk dicampur setitik darah yg dikodinkan dan dilakukan istiadat ‘cecah darah’ upacara simbolik iaitu sama2 mencelupkan jari dlm darah sambil melapaskan taat setia dan bersaudara.

Walaubagaimanapun ada sesetengah luak menjalankan istiadat yang berbeza sedikit contohnya seperti di Johol dimana bagi ke dua-dua jenis kodin majlis adatnya sama iaitu dengan hanya memyembelih seekor kambing dan ditambah satu Al Quran (Boleh rujuk buku Luak Johol).

Keunikan Adat Berkodin Atau Masuk Suku Di Negeri Sembilan

Info Tambahan: Admin terbaca mengenai suatu perkongsian di Facebook mengenai adat berkodin yang tidak diamalkan oleh sesetengah luak berundang antaranya seperti Sg Ujong dan Rembau. Dikatakan kedua-dua luak ini membatalkan amalan Adat berkodin disebabkan berlakunya cubaan untuk mengambil kesempatan ke atas ahli suku terutamanya melibatkan tanah adat. Selain itu ia juga dikatakan bertujuan untuk menjaga hak dan kepentingan ahli suku itu sendiri. Apa pendapat anda pula?

Sumber – Utusan Online (Apa itu ‘masuk suku’?); Sinar Harian Online (Masuk suku: Antara waris dan harta); Adat Berkodin Luak Ulu Muar (Khalid Bonget, 1999); Prof. Yusof Mustafa – UTM (Masuk suku atau Berkadim); Gambar sekitar upacara adat ‘berkodin’ dilaksanakan di Kampung Air Hitam, Terachi.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.